Menduduki tempat teratas, penyakit jantung juga dianggap sebagai penyumbang utama kepada kematian pramatang di dalam negara yang memberi impak negatif kepada kualiti hidup individu dan menjadi beban ekonomi kepada negara.

Timbalan Pengarah Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Rozlan Ishak berkata, penyakit jantung menjadi punca kepada masyarakat Malaysia meninggal dunia dalam usia muda iaitu sebelum usia 70 tahun yang dikategorikan sebagai kematian pramatang.

“Pada 2013, sebanyak 24.8 peratus kematian dilaporkan berlaku dalam kalangan pesakit jantung dan keadaan ini menunjukkan bahawa penyakit itu bukan sekadar isu kesihatan yang perlu diberi perhatian tetapi juga menjadi beban utama kepada ekonomi negara.

“Dalam usia yang muda, mereka mati di puncak perkembangan kerjaya di mana ketika ini pencapaian mereka sangat produktif untuk menyumbang kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Negara akan kehilangan individu pada kadar usia 30 tahun yang boleh memberi kesan kepada organisasi, seterusnya memberi kerugian yang berlipat kali ganda kerana produktiviti telah terjejas,” katanya ketika ditemui pada Sesi Interaksi Antara KKM dan Kumpulan Media Sempena Hari Jantung Sedunia 2015 di Institut Pengurusan Kesihatan, di Bangsar, Kuala Lumpur.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr. Feisul Idzwan Mustapha dan Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Serendah, Dr. Jemah Sajari.

Menurut Dr. Rozlan, berpandukan sasaran global yang dikeluarkan Persekutuan Jantung Sedunia, KKM menyasarkan mengurangkan kadar kematian pramatang dari 20 peratus ke 15 peratus merangkumi kesemua penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuklah penyakit jantung, kencing manis, obesiti, tekanan darah tinggi, dan strok,

Dalam pada itu, Dr. Feisul berkata, keengganan rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan menjadi faktor kepada peningkatan jumlah pesakit jantung yang seterusnya meningkatkan perbelanjaan dari segi ubat-ubatan.

Beliau berkata, melihat kepada situasi terkini tahap kesihatan rakyat Malaysia disarankan agar rakyat Malaysia menjalani saringan kesihatan secara berkala terutamanya kepada golongan yang mempunyai faktor risiko.

“Untuk memastikan jantung lebih sihat, orang ramai digalak melakukan aktiviti fizikal pada setiap hari sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi mengikut keupayaan individu. Selain itu, penyakit jantung boleh dielak melalui amalan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, tidak mengambil alkohol, menangani tekanan dengan baik, dan amalan pemakanan yang seimbang,” katanya.

Secara menyeluruh, aliran gaya hidup sihat penduduk Malaysia dilihat masih kurang berbanding negara-negara maju yang lain di mana masyarakat masih tidak mempunyai kesedaran untuk menjaga kesihatan mereka dengan amalan aktiviti kecergasan.

Namun demikian, perasan atau tidak, semakin ramai anak muda di negara ini yang semakin minat bersukan dan mengamalkan gaya hidup aktif. yang ternyata berbeza dengan golongan pertengahan usia yang lebih banyak menyibukkan diri dengan hal kerjaya dan mengabaikan keperluan gaya hidup sihat.

Jika dahulu, sukan futsal sering dijadikan pilihan untuk melakukan aktiviti bersukan, kini terdapat beberapa jenis sukan dan aktiviti kecergasan unik yang semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan orang muda seperti maraton, dodgeball, dan terbaharu tarian zumba.

Perkembangan ini dilihat sangat positif dan sejajar dengan tema Hari Jantung Sedunia yang disambut setiap 29 September yang dipilih KKM, iaitu Aktif Setiap Hari, Gaya Anda, Cara Anda, yang menyasarkan komuniti dewasa untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit jantung dan risiko utama yang menyumbang kepada penyakit tersebut selain menggalakkan perubahan tingkah laku bagi mengurangkan risiko-risikonya.

Arteri koronari

Berbeza pula dengan penyakit arteri koronari (CAD), ia berlaku apabila arteri menjadi sempit yang akan menyebabkan darah dan oksigen tidak dapat dibekalkan sepenuhnya kepada otot jantung.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Serendah, Dr. Jemah Sajari, keadaan tersebut akan menyebabkan serangan jantung kepada pesakit disebabkan plak yang menghalang pergerakan darah dan oksigen.

“Halangan ini menyebabkan kekurangan pengaliran darah yang membawa oksigen ke jantung, mengakibatkan sakit dada, degupan jantung tidak tetap, serangan jantung dan mungkin membawa maut,” katanya.

Ujarnya, tidak sukar untuk mencegah penyakit jantung kerana semuanya bergantung kepada diri sendiri. Pemakanan seimbang bagi memastikan tahap kolestrol rendah selain pengawalan diabetes dan darah tinggi perlu dilakukan supaya jantung sentiasa dalam keadaan yang sihat.

Walaupun penyaki jantung ada penawarnya, Dr. Jemah tetap menekankan tentang amalan gaya hidup sihat. Amalan merokok dan pengambilan alkohol juga meningkatkan risiko penyakit jantung selain meningkatkan pengurusan stres yang baik melalui pelbagai aktiviti santai yang boleh dilakukan individu bersama teman dan keluarga.

Kegagalan jantung berfungsi

Pengarah Heart Function Clinic, Alberta Heart Service, Universiti Alberta Kanada, Prof. Madya Dr. Justin A. Ezekowitz, menekankan penyakit kegagalan fungsi jantung (HF) sebagai isu utama yang mahu dibawa kepada orang ramai kerana ramai yang masih keliru dengan perbezaan mengenai serangan jantung dan HF. Perkara tersebut amat membimbangkan kerana satu daripada lima orang rakyat di seluruh dunia berisiko untuk terkena penyakit HF.

Menurutnya, kegagalan fungsi jantung adalah keadaan di mana jantung gagal mengepam darah yang cukup ke seluruh badan pada tekanan yang betul dan ia berlaku kerana otot jantung menjadi terlalu lemah atau gagal berfungsi dengan baik.

“Jika anda mempunyai masalah HF, ini tidak bermakna jantung anda telah ‘berhenti bekerja’, tetapi ini membawa maksud jantung anda memerlukan beberapa sokongan untuk menjalankan tugasnya, biasanya dalam bentuk ubat-ubatan dan amalan gaya hidup yang lebih sihat.

“Ramai yang tidak mengetahui HF menyebabkan risiko kematian tiga kali ganda berbanding kanser payudara serta kanser usus dan seluruh dunia terbeban dengan peningkatan kos ekonomi kesihatan yang mencecah RM4.6 bilion setahun,” katanya dalam sesi perkongsian Keep It Pumping anjuran syarikat farmaseutikal, Novartis di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujarnya, tanda-tanda kegagalan fungsi jantung boleh berlaku dengan cepat (kegagalan jantung akut) dan jika ini berlaku, mereka perlu dirawat di hospital dengan segera namun ia juga boleh berlaku secara beransur-ansur yang biasanya terjadi kepada pesakit kegagalan fungsi jantung kronik (CHF).

Simptom-simptom awal penyakit HF boleh dilihat jika pesakit mengalami kesukaran untuk bernafas. Mereka juga lebih cepat berasa letih dan menyebabkan gagal untuk melakukan latihan kecergasan ringan seperti menaiki tangga. Ada juga dalam kalangan pesakit yang mengalami gejala kaki dan buku lali yang bengkak.