Melalui perspektif gender, lelaki memainkan peranan sosial yang mencabar seperti kedudukan utama dalam masyarakat dan keluarga. Perkara ini seolah-olah membentuk sahsiah lelaki yang dikatakan sebagai seorang yang ego.

Kajian menunjukkan lelaki sebenarnya terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit. Jangka hayat lelaki kurang lima hingga enam tahun daripada wanita. Lelaki yang berumur 45 hingga 54 tahun tiga kali ganda lebih kerap mati akibat serangan sakit jantung berbanding dengan wanita.

Mengikut statistik, lebih kurang 10 hingga 20 peratus lelaki menghadapi masalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat. Antara penyakit yang menjadi risiko utama kaum lelaki kini ialah pembesaran prostat (BPH) dan kanser prostat.

Penyakit ini merupakan antara pembunuh utama golongan lelaki tetapi masih ramai dalam kalangan mereka tidak memiliki kesedaran dan pengetahuan mengenai bahayanya.

Prostat ialah organ utama dalam sistem pembiakan lelaki. Fungsi utamanya ialah menghasilkan sejenis bendalir yang memberi zat kepada sperma serta melicinkan dan mengangkutnya sewaktu ejakulasi. Kelenjar prostat terletak antara rektum dan juga dasar pundi kencing (organ yang menyimpan air kencing).

Kelenjar prostat mengelilingi salur kencing, iaitu saluran yang menyalurkan air kencing dari tubuh kita. Disebabkan lokasi prostat yang sebegini, maka pembesaran prostat akan merumitkan pembuangan air kencing.

Menurut Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Datuk Dr. Selvalingam Sothilingam, BPH ialah sejenis penyakit progresif. Pada mulanya, gejala mungkin menimbulkan ketidakselesaan dan gangguan kecil sahaja tetapi boleh mengakibatkan kerumitan jangka panjang yang serius.

“Jika dibiarkan tanpa rawatan, uretra mungkin menjadi tersekat sepenuhnya. Keadaan yang juga dikenali pembendungan kencing akut boleh menyebabkan pesakit mengalami risiko kerosakan buah pinggang, jangkitan salur kencing dan batu pundi, sambil menjejaskan kualiti hidup penghidap dengan ketara,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran kempen BPH oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd. (GSK) dan Persatuan Urologi Malaysia (MUA) yang turut menyokong pihak Blue Cap Moment untuk memberikan penerangan tentang gejala-gejala BPH di Malaysia.

Tanda-tanda

Tambah beliau, golongan yang berisiko ialah lelaki yang berusia 40 tahun dan ke atas, mempunyai sejarah BPH dalam keluarga, menghidap masalah perubatan sedia ada seperti obesiti, sakit jantung, masalah peredaran darah dan diabetes jenis 2.

Sementara itu, prostat akan melalui dua tempoh tumbesaran dalam hayat seseorang lelaki. Tempoh pertama berlaku pada peringkat awal baligh dan ketika inilah ia tumbuh dengan cepat sehingga mencapai saiz orang dewasa (sebesar buah berangan).

“Bagaimanapun, bagi kebanyakan lelaki, prostat mereka akan membesar sekali lagi ketika mereka mencapai usia 50-an dan biasanya ia akan terus membesar sepanjang hayat mereka.

Apabila prostat menjadi semakin besar, ia boleh menghimpit salur kencing dan menimbulkan tanda-tanda kerumitan dalam membuang air kencing serta kerumitan yang lain pada masa mendatang. Keadaan ini dikenali sebagai BPH dan pembesaran prostat ini bukanlah barah.

“Ramai lelaki mengalami tanda-tanda BPH yang menyusahkan dan boleh memberi kesan pada gaya hidup. Antaranya, kerap kencing pada waktu malam, daya pengaliran air kencing yang semakin lemah dan berasa tidak berupaya untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.

“Pesakit akan mengalami kesukaran untuk mula kencing, kencing yang terhenti-henti berulang kali dan terdapat sisa air kencing selepas kencing,” ujarnya.

Tanda-tanda ini juga boleh timbul atas sebab-sebab yang lain dan mungkin menjadi risiko kepada penyakit yang lebih serius seperti jangkitan kuman pada pundi kencing atau barah pundi kencing.

Apa yang perlu anda lakukan ialah memberitahu doktor sekiranya anda mempunyai sebarang tanda-tanda tersebut agar beliau dapat mengesahkan punca masalah anda.

Justeru, kerjasama GSK-MUA mahu menyediakan fasilitasi pemeriksaan penyakit ini. BPH boleh dikesan dan didiagnosis dengan menggunakan uroflow meter – alat yang mengukur jumlah air kencing dalam aliran kencing pesakit dan kelajuan pembuangan air kecil.

Inisiatif ini akan menempatkan 12 peranti di klinik-klinik yang tidak mempunyai akses kepada peralatan tersebut dengan sokongan di lokasi oleh sebuah agensi kejururawatan tempatan untuk melatih pengguna.

Klinik yang tiada kemudahan uroflow meter boleh memohon untuk program pemeriksaan tahunan menerusi laman web MUA dan program ini boleh digunakan untuk mengenal pasti penghidap BPH dan membantu mencegah penularan penyakit.