Walaupun punca sebenar kanser usus besar ini masih kabur, namun dengan pengesanan awal peluang pesakit untuk sembuh adalah tinggi.

Sungguhpun begitu, kesedaran terhadap risiko dan pencegahan awal terhadap kanser usus besar ini masih di tahap rendah.

Kanser usus besar atau kanser kolon ialah kanser yang menyerang kolon dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan-bahan kumuh.

Dianggarkan 1.2 juta kes baharu kanser usus besar dicatatkan di seluruh dunia pada tahun 2007 dengan anggaran 63,000 kematian setiap tahun.

Presiden Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Dr. Christina Ng yang juga merupakan Pakar Runding Onkologi memberitahu, punca sebenar kanser usus besar masih belum diketahui, tetapi banyak faktor yang menyumbangnya dalam jangka masa panjang.

Antaranya ialah faktor umur, sejarah keluarga, diet, penggunaan tembakau, gaya hidup, dan penyakit usus.

“Secara nisbah seorang daripada tiga orang lelaki berisiko tinggi untuk menghidap kanser usus besar ini. Malah mereka yang berisiko mendapat penyakit ini adalah seiring dengan pertambahan usia.

“Banyak kes yang dicatatkan di Malaysia melibatkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Statistiknya dijangka akan meningkat setiap tahun.

“Seperti kebanyakan penyakit kanser yang lain, sejarah keluarga turut menjadi faktor seseorang itu berisiko tinggi mendapat kanser usus besar,” ujarnya ketika ditemui pada Kempen Kanser Usus Besar 2015 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdapat empat peringkat kanser usus besar yang mana pada peringkat pertama, kanser ini akan berada di dalam lapisan kolon atau rektum dan mula merebak ke dinding kolon pada peringkat kedua.

Pada peringkat ketiga pula mula merebak di kawasan berhampiran nodus limfa dan akhirnya ke beberapa bahagian organ badan seperti hati dan paru-paru.

Sehubungan itu, pencegahan awal sangat penting sebelum seseorang itu menunjukkan sebarang simptom yang mengaitkannya dengan kanser usus besar.

“Kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa saringan untuk penyakit ini kemudian diikuti dengan kaedah perubatan yang sesuai boleh mengurangkan morbiditi berkaitan penyakit dan juga kematian.

“Oleh yang demikian, saringan awal sangat penting dan golongan yang berumur 50 tahun ke atas disarankan melakukan ujian bagi mencegahnya di peringkat awal.

“Yang pasti, didikan mengenai fakta kanser usus besar serta kadar penyembuhan yang dapat dicapai jika melalui pengesanan dan rawatan awal mampu menyelamat nyawa,” tutur Dr. Christina. - Gambar faisol mustafa

Tahap kesedaran rendah

Menyedari tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat hari ini, Persatuan Advokasi Kanser Malaysia baru-baru ini telah melancarkan kempen Kesedaran, Saringan, dan Rawatan Kanser Usus Besar yang ke-5 di PPR Hiliran Ampang, Kuala Lumpur.

Melalui kempen tersebut, Presiden Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Dr. Christina Ng memberitahu, pihaknya ingin memastikan keperluan kesihatan sebenar bagi masyarakat Malaysia yang kurang berkemampuan dapat dicapai.

“Projek ini bertumpu kepada golongan kurang berkemampuan dan miskin di komuniti PPR Hiliran Ampang, sebuah komuniti besar masyarakat miskin bandar di Kuala Lumpur ini.

“Sukarelawan dengan bantuan pemimpin setempat bekerjasama bagi memberikan pendedahan mengenai kanser usus besar melalui risalah dan ceramah-ceramah.

“Pada masa yang sama kami turut menangani ketegangan emosi mereka dan membantu menunjukkan saluran yang betul bagi melalui proses pengubatan yang optimum,” ulasnya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen tersebut, orang ramai boleh layari laman sesawang www.empowered.org.my atau laman sosial Facebook EmpoweredMY.