Bau mulut sering dikaitkan dengan orang yang berpuasa. Sebenarnya bau mulut ialah masalah umum yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang mengawal pemakanan, mengubah waktu makan dan mengamalkan diet tertentu bukan hanya berlaku pada mereka yang berpuasa. Cuma mungkin mekanisme bagaimana bau mulut itu terjadi agak berbeza.

Ingin saya jelaskan terlebih dahulu, fungsi air liur di dalam mulut kita. Selain mengandungi enzim pencernaan untuk menghadamkan makanan yang dikunyah, air liur yang mengalir dan dalam kuantiti yang mencukupi berfungsi sebagai pembilas dan pencuci rongga mulut. Ia juga bertindak sebagai buffer untuk meneutralisasikan pH dalam mulut.

Dalam keadaan berpuasa dan tidak mengambil makanan dalam jangka waktu yang lama, aliran air liur kita akan berkurangan kerana tiada mekanisme mengunyah dan juga kurang bercakap semasa berpuasa kerana letih. Dalam keadaan ini, mulut dan mukosa mulut akan menjadi kering, pH dalam mulut akan lebih berasid disebabkan sisa makanan tidak dibersihkan dengan sempurna pada gigi menjadi sumber makanan bakteria di dalam mulut. Bakteria tersebut pula akan mengeluarkan volatile sulfur compound yang memberikan bau busuk pada nafas. Bau sulfur ialah seakan-akan bau belerang atau peledak peluru. Dalam keadaan berpuasa kita juga tidak boleh minum sepanjang hari, maka bau sulfur ini akan menjadi lebih menonjol.

Juadah waktu berbuka dan bersahur juga menyumbang kepada bau mulut. Berbeza dengan masalah mulut kering, makanan yang diambil akan dihadam dan seterusnya proses penghadaman akan menghasilkan gas yang berbau tajam dan kuat dari perut. Tambahan pula kita tidak boleh minum air sepanjang hari, menyebabkan bau akibat penghadaman itu agak kuat dan tidak terkawal. Makanan yang mengandungi bawang putih yang banyak, durian, petai, jering dan sepertinya akan menghasilkan bau yang kurang enak pada keesokan harinya.

Selain itu, penjagaan gigi yang kurang sempurna juga boleh menyebabkan bau mulut. Makanan yang terselit menjadi sumber penumpuan bakteria dan plak gigi yang berbau agak busuk. Plak boleh menyebabkan gusi membengkak dan berdarah jika dibiarkan terlalu lama pada gigi dan tidak dibersihkan dengan teliti. Darah yang bercampur dengan air liur akan menghasilkan bau agak kuat dan meloyakan terutama bila bangun daripada tidur. Dan apabila berpuasa, baunya akan lebih teruk kerana keadaan air liur yang lebih pekat daripada biasa dan aliran air liur yang berkurangan.

Sebenarnya penjagaan gigi yang sempurna dan optimum harus diamalkan walaupun berpuasa. Penjagaan kebersihan gigi dan mulut di rumah seperti berus gigi dua kali sehari ataupun tiga kali sehari pada waktu tengah hari apabila mulut berasa tidak selesa dan mula berbau, flos gigi sesudah berbuka, moreh dan sahur serta mengamalkan ubat kumur adalah sangat membantu mengawal bau mulut semasa berpuasa.

Pilihlah berus gigi yang sesuai, saya suka menyarankan berus gigi berbulu lembut, halus dan runcing untuk membersihkan lurah gusi dan celahan gigi dengan sempurna. Guna ubat gigi berflourida untuk mengelakkan gigi berlubang dan yang mempunyai bau segar seperti pudina untuk memberi bau harum dalam mulut.

Flos gigi juga penting untuk membersihkan makanan kenyal yang terselit di celah gigi seperti daging ayam dan lembu yang berserat serta plak yang melekat pada dinding gigi. Pilihlah flos yang diselaputi lilin agar lebih licin dan mudah dimasukkan antara celah gigi, malah ada juga flos yang disalut perisa pudina agar lebih segar.

Pemilihan ubat kumur juga penting. Dalam bulan puasa di kala aliran air liur berkurangan dan mulut menjadi kering, adalah dinasihatkan memilih ubat kumur tanpa alkohol kerana alkohol boleh menyebabkan mukosa mulut menjadi lebih kering. Pilihlah ubat kumur antibakteria yang mempunyai pudina untuk memberi kesegaran nafas dan mulut serta berkumurlah tiga kali sehari supaya nafas sentiasa harum.

Penjagaan gigi profesional juga penting. Ramai yang tidak mahu ke klinik gigi kerana tidak mahu ibadah puasa mereka terganggu. Memetik artikel oleh Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom dan Dr. Shahida Mohd Said, mereka merujuk kepada keputusan Persidangan Akademi Fiqah Islam Antarabangsa beberapa tahun lalu, persidangan tersebut telah memutuskan kaedah pergigian berikut tidak akan membatalkan puasa. Ia adalah pemeriksaan gigi, rawatan gigi seperti tampalan, cuci gigi, rawatan akar, mengambil gambar x-ray di dalam mulut, suntikan ubat kebas di dalam mulut serta cabutan gigi.

Justeru, adalah disarankan anda melakukan pemeriksaan gigi dan rawatan gigi seperti biasa dalam bulan puasa. Jangan kerana berpuasa anda biarkan lubang pada gigi tidak ditampal hingga lebih parah dan gigi tidak dicuci hingga berlakunya gingivitis (bengkak gusi) dan periodontitis (penyakit tulang gigi). Jika keadaan gigi terlalu parah, dan gigi terpaksa dicabut, anda masih boleh meneruskan ibadah puasa. Mungkin minta temu janji dengan doktor gigi anda di sebelah petang supaya ubat bius masih meninggalkan rasa kebas hingga waktu berbuka agar anda boleh mengambil ubat tahan sakit setelah berbuka puasa. Sementara itu, boleh legakan kesakitan dengan menuam kain direndam dengan air dingin atau ais ke kawasan pipi berhampiran tempat cabutan.

Ramadan menghampiri setahun sekali, nikmat ibadah dilipat kali. Jangan pula alpa, dalam kita menikmati juadah berbuka sepenuh meja, ada saudara hanya nikmati sebutir kurma. Saya insafi diri sendiri, moga Ramadan ini bukan yang terakhir kali. Hingga di helaian akan datang, senyumlah dari hati, senyuman yang ikhlas, wajah pasti berseri.