Tatkala menerawang di laman sesawang, saya terlihat video memutihkan gigi di rumah menggunakan serbuk arang.

Amat menarik videonya, model memberus gigi dengan bahan berwarna hitam dan selepas dicuci giginya putih bersih bak mutiara paling cerah.

Video tersebut mendapat jutaan penonton dalam masa satu hari, bermakna memang ramai orang di luar sana yang obses inginkan gigi putih. Saya sendiri di klinik sentiasa diajukan soalan dan berdepan dengan keinginan pesakit untuk mendapatkan gigi seputih kertas A4.

Saya terpanggil untuk menulis tentang ini kerana saya pasti ramai yang tertanya-tanya adakah arang efektif untuk memutihkan gigi? Malah penggunaan arang sebagai salah satu ubat gigi kuno memang telah diketahui umum. Nenek moyang kita menggunakan serbuk arang untuk memberus gigi.

Malah sekarang jenama terkemuka pengeluar ubat gigi dan berus gigi juga menggunakan arang sebagai salah satu komponen di dalam produk mereka.

Arang ialah substan hitam yang ringan hasil dari pembakaran tanpa oksigen dan semua partikel air dan semua bahan yang boleh meruap. Tetapi arang jenis ini digunakan sebagai kayu api dan barbeku dan tidak mempunyai nilai medikal.

Arang yang ingin saya ceritakan ialah arang yang diaktifkan (activated charcoal). Ini ialah arang yang telah dirawat dan melalui proses oksidasi seterusnya dikisar halus khusus untuk kegunaan medikal.

Arang teraktivasi ini dipanaskan ke satu suhu dalam kebuk oksigen untuk menghasilkan pori atau ruang-ruang kosong di dalam partikelnya yang berupaya menyerap toxin, kolesterol dan gas.

Ia telah digunakan sejak 1550 Sebelum Masihi oleh orang Mesir dan hingga sekarang digunakan dalam bidang perubatan untuk merawat keracunan akibat pengambilan racun, menyerap toksin yang dihasilkan oleh bakteria dan virus, cirit birit , sakit perut akibat gas dan cholestasis dalam wanita mengandung.

Dengan sifatnya yang kuat menyerap bendasing dan bahan kimia, saya tidak nafikan activated charcoal ada juga efeknya dalam membersih lekatan warna (stain) pada permukaan gigi.

Kesan warna kopi, teh, rokok yang melekat pada plak di permukaan gigi dan kemudiannya mengeras membuatkan ia satu lapisan yang mustahil dihilangkan dengan memberus gigi sahaja.

Seperti di dalam video yang saya sebut awal tadi, activated charcoal dalam bentuk serbuk yang disapukan pada gigi menggunakan mekanisma yang sama iaitu ia kuat menyerap partikel warna dan bakteria yang melekat pada permukaan gigi menyebabkan ianya mudah ditanggalkan apabila memberus.

Partikel arang yang kasar menggilap permukaan gigi menjadikan gigi wanita di dalam video tersebut putih berkilat apabila dibilas dengan air.

Ingin saya tekankan di sini, arang ini cuma membersihkan permukaan gigi, dan membuang kesan warna hanya di permukaan gigi. Ia tidak sama dengan power teeth whitening dan cosmetic teeth whitening yang kami doktor gigi jalankan di klinik.

Akan tetapi, saya tidak nafikan perbezaan warna gigi di dalam video tersebut jelas ketara dan saya yakin ramai yang terpanggil untuk berlari membeli activated charcoal dan jadikannya ubat gigi buatan sendiri.

Namun, nasihat saya dan saya percaya doktor gigi di luar sana sependapat, berhati-hati dan bersederhana dalam memberus gigi menggunakan arang.

Ini kerana partikel arang yang digunakan kasar dan besar, serta apabila digunakan berterusan, ia boleh menghakis permukaan enamel gigi dan seterusnya boleh menjurus kepada gigi sensitif.

Enamel gigi bukan seperti rambut atau kuku yang boleh tumbuh semula setelah dikerat. Enamel apabila hilang ia takkan berganti.

Jika kesan warna rokok, teh atau kopi menjadi kerisauan anda, carilah ubat gigi yang dicipta khas untuk menghilangkan kesan tersebut di mana partikel ubat giginya lebih kasar tetapi masih dalam kadar selamat dan tidak menghakis enamel jika digunakan dengan betul dan dengan berus gigi bulu lembut yang sesuai.

Anda juga boleh ke klinik gigi berhampiran dimana doktor gigi boleh membersihkan gigi dengan rawatan pengskaleran dan penggilapan yang biasanya dilakukan dalam tempoh enam bulan sekali.

Dengan rawatan berkala, anda akan dapat deretan gigi putih yang anda idamkan. Senyumlah dari hati, senyuman yang indah wajah pasti berseri.

  • Klinik Pergigian Irma Ariandi
  • Instagram @drgigi_irma (www.drirma.com)
  • Facebook Dr.Irma skincare &cosmetics