Pakar Perunding Kanan Oftalmologi Hospital Selayang, Dr. Elias Hussein berkata, jumlah berkenaan dijangka bertambah dua kali ganda iaitu mencecah 1.2 juta rakyat pada tahun 2030.

Namun setakat ini katanya, hospital kerajaan dan swasta di dalam negara hanya mampu melakukan di antara 60,000 hingga 80,000 pembedahan katarak setahun.

“Keperluan tersebut hanya membabitkan masalah katarak tidak termasuk masalah mata yang lain, jadi itu adalah cabaran yang cukup besar untuk menghadapi keperluan yang kini mencecah 600,000.

“Masalahnya berpunca daripada faktor kekurangan kemahiran pakar kerana hanya 24 hingga 30 pakar yang dikeluarkan setahun dalam pelbagai program. Ini tidak mencukupi kerana kita memerlukan dua kali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Simposium Oftalmologi Keenam sempena Persidangan Saintifik Bersepadu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Kesihatan Tahun 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengerusi Simposium Oftalmologi USM Keenam, Prof. Dr. Wan Ha­zabbah Wan Hitam dan Ketua Bahagian Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof. Dr. Liza Sharmimi Ahmad Tajudin.

Pada majlis tersebut, Elias turut menerima Anugerah Mohamed Noor Marahakim bagi menghargai sumbangannya dalam bidang pendidikan dan latihan kepakaran oftalmologi di negara ini.

Sementara itu, Ahmad Sukari berkata, simposium itu banyak membantu dalam perkembangan bidang perubatan dan menyumbang kepada lebih ramai pakar yang dihasilkan.

“Secara keseluruhannya, kita telah berjaya menghasilkan 7,433 pakar dalam semua bidang sejak 1973.

“Kepakaran yang kita hasilkan ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan untuk negara malah di luar negara yang menjadi satu pencapaian yang membanggakan,” katanya.