Sepanjang tempoh itu, dia kehilangan bapa mentua, Mohd Yusoff Mohamed kerana kanser darah jenis Multiple Myeloma.Sekitar dua bulan selepas itu, bapanya sendiri pula didiagnos kanser prostat dan diikuti dengan isteri yang menghidap kanser Hodgkin’s Lymphoma.

Bertugas sebagai doktor perubatan di sebuah hospital kerajaan di utara tanah air, Dr. Azlan Kamalludin, 41, tidak pernah sedikit pun terfikir akan berdepan dengan ahli keluarga sendiri yang menghidap penyakit yang boleh dikatakan menjadi ‘makanannya’.

Ini kerana pengetahuan dan pengalaman mengendalikan kes-kes kanser sejak bergelar seorang doktor bukan sedikit.

Namun, terbukti merawat pesakit yang tiada apa-apa hubungan darah dan dengan ahli keluarga sendiri, perasaan serta tekanannya jauh berbeza.

Apabila diri sendiri diuji, bebannya terlalu berat malah pernah hampir berputus asa dan merasakan dunia ini tidak adil untuknya. Dia, yang boleh dikatakan seorang doktor berpengalaman, tetapi masih perlu belajar cara berhadapan dengan penyakit yang menyerang keluarga sendiri.

“Berhadapan dengan ahli keluarga menghidap kanser adalah detik yang amat sukar untuk saya. Apa yang berlaku telah mengubah pendirian saya tentang pengurusan pesakit kanser dan penjaga mereka.

“Ilmu yang saya miliki tidak cukup untuk memberi ketenangan kepada saya dan membantu keluarga saya melalui ujian tersebut dengan mudah.

“Sehingga hari ini, jika ada yang berkata kepada keluarga saya, ‘mujurlah Azlan seorang doktor, dia boleh jaga awak...’, saya akan kata balik pada mereka bahawa memang saya seorang doktor tetapi kerjaya ini tidak menjanjikan yang saya bersedia untuk menghadapi perkara ini.

“Kerana ujian ini juga saya sedar bahawa doktor juga manusia biasa. Apa yang dipelajari di fakulti perubatan tidak menyediakan saya sebagai seorang penjaga pesakit.

“Acap kali kita melontarkan simpati dan seakan memahami penderitaan yang ditanggung apabila mengetahui seseorang itu didiagnos sesuatu penyakit, lebih-lebih lagi jenis penyakit yang kritikal.

“Saya juga begitu dahulu. Apabila berhadapan dengan pesakit kanser semasa pusingan klinikal dan sesi pembelajaran, saya akan mengingatkan kepada pasukan pegawai perubatan supaya memahami perasaan setiap pesakit dan penjaga, namun hakikatnya apabila mengalami sendiri situasi tersebut tiada sesiapa yang akan memahami situasi yang sedang kita lalui.

“Kanser telah mengubah hidup kami sekeluarga, mengubah pandangan saya sebagai seorang doktor yang menjadi penjaga pesakit kanser.

“Saya mempelajari banyak perspektif baharu tentang cabaran berhadapan dengan penyakit kanser, tidak semudah yang kita anggap selama ini,” katanya.

Semua orang berfikir yang kehidupan seorang pesakit kanser akan berakhir dengan kematian jika disahkan menghidap kanser yang tiada penawar.

Menurut Dr. Azlan, pendapat itu sama sekali tidak benar.

“Tiada penawar bukan bermaksud tidak boleh dirawat. Bapa saya telah membuktikannya. Dia meneruskan rawatan terapi hormon untuk mengurangkan komplikasi dan perkembangan penyakit bagi meningkatkan kualiti hidup.

“Sehingga kini dia masih meneruskan kerja-kerja kebajikan seperti yang sering dilakukan, walaupun kansernya sudah merebak ke tulang. Isteri saya, disahkan bebas kanser selepas menjalani sesi kemoterapi sebanyak 12 kali sepanjang tiga tahun dan kini dalam proses pemulihan,” katanya yang ketika rencana ini disiarkan sedang mengerjakan umrah bersama bapanya.

Bersyukur dapat melaluinya dengan lebih baik dari sehari ke sehari, Dr. Azlan berkongsi rasa di Facebook dengan memuat naik sebuah posting kepada pejuang-pejuang kanser.

Tanpa disangka, posting tersebut dikongsi berkali-kali dan menerima banyak komen yang rata-rata kagum dengan cara dia berhadapan dengan tiga kanser dalam tempoh 10 bulan.

Sejak itu akaun media sosialnya dihujani pelbagai persoalan dan maklum balas.

Dia lalu mengambil keputusan menerbitkan buku untuk berkongsi pengalaman dengan masyarakat.

Ujarnya, kebanyakan pengetahuan dan pengalaman berkaitan kanser tidak banyak membantunya sepanjang menguruskan tiga jenis kanser dalam keluarganya, tetapi pengalaman yang berjaya dilalui mahu dikongsi buat mereka yang sedang berhadapan dengan situasi yang sama.

Bukan sekadar mahu memberi inspirasi kepada pesakit kanser mahupun keluarga terdekat yang berhadapan dengan dugaan ini, dia turut memberi panduan yang mengisahkan perjalanan, kaedah dan konsep yang telah membantunya ketika berhadapan dengan ujian getir tersebut.

Sudah memasuki cetakan kedua dengan 23,500 naskhah, buku 3 Kanser 10 Bulan yang ditulis sendiri oleh Dr. Azlan menduduki carta 10 teratas buku dalam talian, Amazon-Kindle untuk kategori kanser dalam edisi bahasa Inggeris.

Boleh dibeli dengan melayari laman web, http://drkazlan.com atau Facebook Dr. K Azlan, buku ini berharga RM29.90 untuk bahasa Melayu dan RM34.90 bagi bahasa Inggeris.

Kemelut sebagai penjaga

Menceritakan pengalaman buat pertama kali berhadapan dengan pesakit kanser dalam kalangan keluarga sendiri, Dr. Azlan Kamalludin berkata, perkembangan kanser bapa mentuanya berlaku lebih cepat yang mana bapa mentuanya didiagnosis dengan kanser selepas kemalangan ketika menunggang motosikal.

Baru sahaja mahu menikmati tempoh persaraannya, dalam tempoh dua bulan pertama, dia mula kehilangan fungsi otot badan dan kesihatannya semakin merosot secara keseluruhan.

Ketika arwah bapa mentua bertarung nyawa berjuang melawan kanser, bapanya, Kamalludin Abu Bakar menyuarakan hasrat supaya darahnya diperiksa khuatir dia juga menghidap penyakit sama.

Agak keberatan pada mulanya, namun akhirnya dia bersetuju membuat ujian darah tersebut. Sukar percaya dengan keputusan yang diperoleh, apabila ada sesuatu yang tidak kena dengan salah satu sampel, yang berkemungkinan besar petanda kanser prostat.

Umpama satu batu besar menimpa kepala, Dr. Azlan yang baru sahaja menerima berita bahawa bapa mentua menghidap kanser yang tiada penawar, kini bapa kandung pula diuji.

Mujur pakar urologi mengesahkan kanser prostat bapanya itu masih boleh dirawat. Dia sedikit lega, sekurang-kurangnya dapat membuat rancangan berdasarkan tahap penyakit dan pilihan rawatan.

Sangka Dr. Azlan, sudah cukup dia menerima berita-berita yang mengganggu fikiran itu. Namun, empat bulan selepas kematian bapa mentua, isteri pula menunjukkan simptom gatal pada tapak tangan dan kaki yang kemudiannya merebak ke dada, belakang badan dan abdomen.

“Pada mulanya doktor mengesahkan isteri saya mengalami gangguan kulit yang dikaitkan dengan alergi terhadap makanan bergandum. Dua bulan mengamalkan diet gluten dan mengambil tablet zat besi, keadaan masih sama, simptomnya tidak menunjukkan sebarang tanda akan pulih.

“Saya mengambil keputusan untuk meminta isteri menjalani imbasan CT untuk melihat sebarang tanda jangkitan yang tidak dapat dikesan melalui ujian darah.

“Apabila keputusan imej kelihatan di skrin, saya terkejut melihat begitu banyak ketumbuhan di sekeliling jantungnya, hampir tidak percaya dengan imej yang dilihat. Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang saya rasa, dada terasa sempit, tiada kata-kata mampu dilafazkan. Saya hanya terdiam menahan debar sendiri.

“Remuk hati apabila diuji sekali lagi. Bayangkan, saya baru sahaja berdepan dengan dua jenis kanser, bapa mentua baru meninggal, bapa kandung pula masih bergelut dengan penyakitnya, dan kini isteri pula disahkan menghidap kanser.

“Saya tak sanggup lagi berhadapan dengan kehilangan orang tersayang,” kata bapa kepada tiga anak perempuan hasil perkongsian hidup bersama isteri, Asfah Mohd Yusoff.

Meskipun sukar menerima, apa jua yang telah berlaku dia tahu tidak mampu untuk melawan takdir.

Dia mula merancang pilihan rawatan dan mempercepat persediaan kemoterapi.

Menurut Dr. Azlan, ramai yang tidak tahu bahawa penjaga pesakit juga berdepan dengan banyak masalah, terutama dari segi emosi tatkala menjaga ahli keluarga yang memerlukan perhatian.

“Bukan mahu mengeluh atau menganggap amanah itu sebagai beban, tetapi penjaga pesakit juga berhadapan dengan isu tersendiri. Mereka sebenarnya memerlukan sokongan dan kekuatan bagi mengurus pesakit yang dijaga tanpa mengabaikan penjagaan diri mereka sendiri.

“Banyak kemelut emosi dan fizikal yang mereka rasai tidak dapat dilihat secara zahir. Penjaga pesakit turut berdepan dengan keadaan yang mengundang tekanan, rasa bersalah, kecewa, takut, murung, kelesuan dan sebagainya.

“Bayangkan saya masih meneruskan pekerjaan saya di hospital seperti biasa dan mengambil cuti selama dua hari sahaja setiap kali isteri menjalani rawatan kemoterapi. Hanya cuti itu sahaja yang membolehkan saya berehat, melupakan sekejap beban kerja di hospital.

“Rakan-rakan di hospital ada menyedari perubahan saya, yang banyak mendiamkan diri. Saya penat, berat badan saya semakin susut tetapi saya perlu melakukan yang terbaik untuk isteri dan bapa saya,” katanya.

Pernah memikirkan untuk berhenti kerja dan menjual semua harta yang dimiliki untuk fokus kepada kebajikan keluarga, namun itu buka penyelesaian terbaik untuk menghadapi situasi sedemikian.

Perjuangan diteruskan. Dr. Azlan kembali memberi tumpuan kepada pengurusan kanser bapa dan isteri. Perancangannya juga cukup teliti. Dia dan isteri berbincang bagi memastikan anak-anak tidak mengetahui bahawa ibu mereka menghidap kanser agar tidak trauma berhadapan dengan perkara tersebut selepas datuk mereka meninggal dunia.