Ramai yang terkejut dan tidak percaya dengan kemampuannya mengemudi sebuah syarikat besar, namun wanita ini ternyata sudah lama merancang untuk memulakan bisnes.

“Sebenarnya saya sudah lama berhasrat memulakan perniagaan sendiri, namun saya perlu mencari pengalaman terlebih dahulu.

“Jadi, tamat sahaja pengajian dalam jurusan kewartawanan dari Rutgers University, New Jersey, Amerika Syarikat, saya memulakan kerjaya sebagai pegawai perhubungan awam.

“Bidang tersebut saya anggap sebagai batu loncatan untuk saya membina rangkaian, menjalinkan perhubungan dan mengetahui selok belok dunia media.

“Bagi saya, tiga tahun sudah cukup untuk membuat persiapan, kerana saya tahu selagi tidak mula saya tidak akan tahu sejauh mana potensi dalam bidang perniagaan.

“Saya sendiri sudah bersedia dengan segala risiko dan cabaran yang bakal dihadapi,” katanya ketika ditemui di Studio Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mesra disapa sebagai Zaty, pada mulanya dia tidak pasti jenis perniagaan yang harus dipilih, namun masalah kulit wajah yang dihadapinya bagai memberi peluang perniagaan kepadanya untuk membantu orang yang senasib.

Dalam tempoh rawatan untuk memulihkan wajah yang berjerawat teruk, dia diperkenalkan kepada rakan bapanya yang merupakan seorang pakar kulit dermatologi.

Pakar tersebut mencadangkan agar Zaty menggunakan jenama produk penjagaan kulit wajah milik seorang jurusolek terkenal dari Korea Selatan yang kebetulan adalah kenalannya, S2J.

Produk tersebut ternyata serasi dengan masalah kulit wajah yang dihadapi. Pakar tersebut lalu mencadangkan agar dia mengambil peluang menjalin kerjasama dengan jurusolek tersebut yang kebetulan mahu mencari pasaran baharu di Asia Tenggara.

Zaty melihatnya sebagai peluang perniagaan yang terbuka luas dan tidak berfikir lama untuk bersetuju.

Kini, wanita ini adalah pemilik kepada jenama S2J Malaysia, produk yang dikilangkan di sini namun berasaskan teknologi dari Korea Selatan.

Menyedari semakin ramai menunjukkan minat terhadap perniagaan kecantikan dan kosmetik, Zaty mengakui risiko persaingan tinggi yang bakal dihadapi untuk bertahan lama.

“Saya fikir apa sahaja perniagaan pasti ada risikonya. Kalau kita tak berani nak hadapi risiko tersebut, susah untuk kita berjaya. Inilah dilema yang dihadapi anak muda sekarang, ramai yang minat berniaga tetapi takut pada risiko.

“Tak mengapa kalau kita nak fikirkan risiko, tetapi kalau kita tidak berhadapan dengannya dan tidak melaluinya dengan menerima pengajaran, susah untuk maju. Apa pun usahakan yang terbaik, tawakal dan percaya pada rezeki Allah, ini prinsip kejayaan sebenar,” katanya.

Dia sendiri sedar mempunyai kekurangan tertentu dari segi kepakaran yang boleh merencatkan potensi perniagaannya. Jadi, dia perlu mengatasinya dan berusaha mendapatkan kepakaran dari luar negara dengan menjalin kerjasama bersama jenama yang sudah kukuh pasaran.

Disebabkan itu juga Zaty telah membuat perancangan awal untuk memastikan perniagaannya kekal relevan sampai bila-bila.

Syarikatnya, Bimyou Creations, bukan sahaja memfokuskan kepada produk penjagaan wajah semata-mata, bahkan pada masa akan datang akan mengembangkannya kepada rangkaian kosmetik dan fesyen.

Tidak memikirkan keuntungan semata-mata, anak kelahiran Subang Jaya, Selangor ini, memasang niat untuk membantu orang lain melalui perniagaannya.

Zaty berpendapat definisi kecantikan pada hari ini telah disalah erti, yang mana ramai melupakan kecantikan dalaman yang sepatutnya dibawa oleh setiap individu.

Dia melihat gadis-gadis muda sekarang gemar mengenakan solekan kerana bagi mereka solekan mencantikkan wajah dan mampu menutup segala kekurangan, sedangkan persepsi tersebut adalah salah.

“Kebanyakan mereka mengabaikan penjagaan kulit wajah kerana tahu solekan boleh menutup kecelaan, sedangkan solekan hanyalah untuk menaikkan seri pada wajah.

“Bagi saya cantiknya seseorang itu adalah apabila dalamannya turut ‘cantik’, iaitu bagaimana dia membawa diri, ilmu pengetahuan, cara percakapan, keyakinan yang tinggi, dan adab dengan orang keliling.

“Dalam masa yang sama penampilan juga perlu dititikberatkan seperti penjagaan kulit wajah, bukan bertopengkan solekan semata-mata hanya untuk kelihatan cantik,” ujarnya. - Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB