Kisah tersebut kali pertama tular di media sosial dan menghiasi tajuk-tajuk utama berita dunia pada pertengahan Mac tahun lalu.

Gambar Kapten Sharifah Czarena Suriany Syed Hashim bersama pegawai kanan pertama, Sariana Nordin dan Dk Nadiah Pg Khashiem yang ditularkan adalah gambar mereka di dalam kokpit pesawat sebelum penerbangan ke Arab Saudi pada 23 Februari 2016.

Gambar itu pada mulanya dikongsi di akaun Instagram syarikat pener­bangan itu pada hari yang sama tetapi berjaya menarik perhatian ramai netizen.

Gambar dan cerita tentang trio juruterbang wanita itu hanya mula tular di media sosial tiga minggu kemudian sele­pas dikongsi di Reddit dengan tajuk “Kru semua wanita mendaratkan pesawat di negara yang mereka tidak dibenarkan memandu,”.

Walaupun perbandingan dengan hak wanita di Arab Saudi mungkin memberikan sedikit nilai berita kepada cerita itu, tetapi tumpuan orang ramai tetap terarah kepada pencapaian hebat tiga juruterbang dari Brunei itu. Lagipun, Arab Saudi tidak melarang wanita menjadi juruterbang dan negara itu mempunyai dua juruterbang wanita sejak 2014. 

Sharifah Czarena, Sariana Nordin dan Dk Nadiah menjadi sebahagian daripada sejarah Royal Brunei apabila mengendalikan pesawat syarikat penerbangan itu yang julung kalinya menggunakan semua juruterbang wanita dalam penerbangan tersebut.

Kejayaan mereka itu bukan sahaja membanggakan umat Islam dan wanita, malah memberikan inspirasi kepada wanita untuk menjadi juruterbang.

Mereka membuktikan wanita juga tidak kurang hebatnya dan mampu bersaing dalam pekerjaan yang secara tradisinya dikuasai lelaki.

Selepas kisah mereka tular di media sosial, Sharifah Czarena terkejut apabila menerima sepucuk surat bertarikh 28 Mac 2016 yang ditulis dengan tulisan tangan daripada seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Kanak-kanak itu menulis “Ayah saya beritahu awak menerbangkan pesawat. Saya juga mahu menerbangkan pesawat suatu hari nanti, sama seperti awak.”

Sama seperti kanak-kanak itu, Sharifah Czarena juga mula memasang impian untuk menjadi juruterbang semasa berusia sembilan tahun.

Namun, dalam usaha mengejar cita-citanya itu, beliau pernah terfikir peluangnya mungkin tipis kerana 20 tahun lalu, Royal Brunei hanya ada juruterbang lelaki.

“Saya fikir, kita tinggal di Brunei dan itu tidak mungkin akan menjadi kenyataan... tetapi nampaknya, keadaan telah berubah,” katanya.

Royal Brunei kini mempunyai enam juruterbang wanita.

“Orang ramai biasanya melihat juruterbang sebagai pekerjaan yang sinonim dengan lelaki.

“Sebagai seorang wanita, ini satu pencapaian hebat dan menunjukkan kepada generasi muda terutama budak perempuan bahawa apa sahaja yang mereka impikan, mereka boleh mencapainya,” kata Sharifah Czarena.

Menurut wanita itu, sekiranya masih ada yang berasa ragu bahawa wanita mampu mengendalikan pesawat, beliau bersama Sariana dan Dk Nadiah telah membuktikan ia bukan sesuatu yang mustahil.

Kata Sharifah Czarena, bagi wanita yang berminat menjadi juruterbang, mereka perlu percaya kepada impian dan diri sendiri serta berusaha untuk menjadikan ia sebagai kenyataan.

Pada 2012, Sharifah Czarena mencatatkan sejarah sebagai juruterbang wanita pertama mendapat pangkat kapten dalam kalangan syarikat penerbangan nasional di rantau Asia Tenggara.

Ketika menggambarkan perasaannya menjadi kapten wanita pertama untuk syarikat penerbangan di rantau ini, beliau memberitahu “Saya terlampau gembira.”

Beliau mendapat latihan di Sekolah Penerbangan Cabair, Cranfield di United Kingdom (UK) pada 2003. Sejurus menamatkan latihan pada 2004, wanita itu ditempatkan sementara di Loganair sebagai pegawai pertama junior sebelum pulang ke Brunei pada 2006 untuk menyertai Royal Brunei Airlines sebagai pegawai pertama.

Meskipun juruterbang wanita atau pesawat dikendalikan oleh semua juruterbang wanita bukanlah sesuatu yang baharu, senario itu masih sesuatu yang janggal pada 2017.

Malah, untuk melihat dua orang juruterbang wanita di dalam dek pesawat juga sukar.

Sebab itu, pencapaian wanita dalam penerbangan menarik minat ramai.

Berdasarkan data dari Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan Wanita Antarabangsa (ISA), daripada 130,000 juruterbang di seluruh dunia, hanya 4,000 orang adalah wanita dan daripada angka itu, cuma 450 orang berpangkat kapten. Itu hanya kira-kira tiga peratus.

Tidak tahu di mana silapnya, tetapi wanita sudah menerbangkan pesawat sejak lebih 100 tahun lalu. Juruterbang wanita pertama yang memperoleh lesen ialah Baroness Raymonde de la Roche. Beliau menerima lesen daripada Aero Club of France pada 1910.

Bagi meraikannya, beberapa syarikat penerbangan komersial dari seluruh dunia mengambil inisiatif memberikan kepercayaan kepada kru wanita mengendalikan pesawat pada 8 Mac setiap tahun.

Juruterbang wanita pertama yang menyeberangi Selat Inggeris pada 1912, Harriet Quimby menerima lesen penerbangan pada 1911.

Amelia Earhart pula merupakan wanita pertama yang melakukan penerbangan solo merentasi Lautan Atlantik pada 1932.

Mereka ini dan ramai lagi juruterbang wanita lain telah memberikan inspirasi kepada wanita lain untuk mengikut jejak langkah mereka.

Usaha beberapa syarikat penerbangan seperti Royal Brunei, Air Zimbabwe, Ethiopian Airlines, Air India dan Air Canada yang memberikan kepercayaan kepada semua kru wanita mengendalikan pesawat sejak beberapa tahun lalu sewajarnya dipuji dan diharap dapat menarik minat lebih ramai wanita untuk menceburi kerjaya di awan biru.