Kecenderungan tersebut pula menyebabkan wanita dua kali ganda lebih cenderung meminta cerai berbanding lelaki disebabkan kegagalan golongan itu dalam pelbagai aspek terutama sosioekonomi yang tidak stabil.

Profesor Program Terapi Keluarga dan Perkahwinan, Jabatan Sains Sosial Kekeluargaan, Kolej Pembangunan Manusia dan Pendidikan, Universiti Minnesota, Bill J. Doherty berkata, ketika ini menjadi trend golongan wanita atau isteri merasakan kehidupan mereka lebih baik tanpa lelaki atau suami disebabkan pasangan tidak dapat memberi komitmen yang sepatutnya.

Katanya, ramai wanita juga menganggap isu penceraian bukan sesuatu yang memalukan, sebaliknya isu peribadi yang tidak perlu diselesaikan bersama golongan profesional.

Oleh itu, menjadi trend juga ketika ini apabila pasangan lebih gemar meluahkan masalah rumah tangga di laman-laman sosial yang akhirnya membawa kepada situasi lebih buruk kepada perhubungan akibat campur tangan sama ada dari segi pandangan atau nasihat individu yang tidak dikenali.

“Wanita ketika ini terlalu mudah meminta cerai kerana alasan hanya tidak serasi, kurang sefahaman, masalah ekonomi serta tidak berpuas hati dengan komitmen pasangan, walhal perkara itu masih boleh diperbaiki.

“Menurut kajian, perkahwinan ketika ini boleh dikatakan lebih cenderung kepada consumer mariage, yang menganggap perkahwinan itu hanya sebuah gaya hidup yang perlu dilakukan sebagai melengkapi struktur kehidupan.

“Semuanya berlaku kerana sejak awal perkahwinan tujuannya sudah salah. Mereka beranggapan pasangan adalah seperti aksesori yang perlu ditayangkan kepada umum.

“Jadi, jika barang itu tidak menepati kehendak, mereka mula mencari salah masing-masing dan akhirnya membawa kepada penceraian yang dianggap sesuatu perkara biasa,” katanya pada penganjuran Persidangan Antarabangsa Persatuan Terapi Keluarga dan Perkahwinan Malaysia (AMFTM) 2017, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Doherty memberitahu, menurut kajiannya yang dijalankan di Minnesota, Amerika Syarikat, sebanyak 56 peratus daripada 577 pasangan memilih untuk bercerai berbanding berbaik semula.

Selain itu, hanya 12 peratus yang ingin atau mungkin berbaik semula, malah 32 peratus pasangan dikesan tidak pasti untuk bercerai ketika bertemu kaunselor.

Katanya, kebanyakan pasangan menilai perhubungan mereka tamat oleh sebab perkara-perkara kecil, seperti kurang gembira dengan pasangan berkenaan dan terus mengambil keputusan untuk bercerai tanpa merujuk kaunselor.

Lebih buruk pula, jika ada yang merujuk kaunselor, mereka gagal dikawal oleh kaunselor berkenaan kerana ilmu dan pengalaman yang tidak cukup golongan profesional itu dalam membantu pasangan.

“Lazimnya pasangan yang datang berjumpa kaunselor telah mempunyai keputusan untuk bercerai, manakala sebahagian lagi pula tidak pasti dengan keputusan mereka, maka di sinilah peranan kaunselor untuk membantu mereka.

“Kaunselor tidak boleh terlalu awal berputus asa, kerana kebanyakan pasangan yang ada keinginan untuk berjumpa dengan kaunselor adalah mereka yang masih berharap perhubungan itu dapat dipulihkan,” ujarnya.

Mengulas tentang perkahwinan di negara ini, jelas Doherty tiada kajian khas yang dilakukan, namun masalah budaya berbeza dilihat mampu menjadi punca penceraian yang tidak sepatutnya (unnecessary divorce).

Justeru, setiap pasangan harus melihat perkahwinan sebagai sebuah tempat di mana mereka perlu bekerjasama dalam pelbagai perkara agar tidak hanya seorang sahaja yang perlu menguruskan keluarga sehingga terasa terbeban.

“Masyarakat juga tidak harus mendiskriminasikan pasangan yang mahu bercerai, sebaliknya hulurkan bantuan kepada mereka secara bijak dan betul agar institusi kekeluargaan dapat dikekalkan,” jelasnya.