Beliau memaklumkan akan menaiki LRT sahaja memandangkan pejabatnya yang terletak di Jalan Sentral, Kuala Lumpur, berdekatan dengan stesen pengangkutan awam itu dan mengakui lebih mudah, selesa serta menjimatkan masanya.

Melihat penampilannya yang ringkas sudah pasti penumpang yang menaiki pengangkutan awam bersama wanita itu pada hari terbabit tidak akan menyangka wanita itu merupakan individu yang paling penting dalam operasi dan kelancaran pengangkutan berkenaan.

Mengakui tidak mudah berada di dalam bidang yang sering dipelopori golongan lelaki, Ketua Jabatan Pengurusan Modal (Capex) Rel, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datin Norlia Noah menyifatkan fasa kehidupannya berubah sebaik sahaja melangkah ke bidang industri landasan kereta api, 22 tahun lalu.

Masih segar di ingatan, ketika pertama kali diberi peluang menjawat jawatan sebagai Ketua Perkhidmatan Elektronik di Sistem Transit Aliran Ringan Sdn. Bhd. di mana beliau diberi tugasan untuk menyediakan dan menguruskan perjalanan operasi LRT STAR ketika pada awal pembinaan.

Menjadi pasukan perintis dalam pelaksanaan LRT STAR memberi cabaran getir buat Norlia yang merupakan satu-satunya wanita yang memegang jawatan tertinggi dalam pembinaan pengangkutan awam berkenaan kerana pada ketika itu, golongan wanita kurang mendapat tempat dalam bidang seperti tersebut.

Pernah digelar ‘emak tiri’ oleh kakitangannya kerana bersikap tegas dalam melaksanakan tugas dan memberi arahan, wanita itu menerima gelaran berkenaan secara positif demi kelangsungan perjalanan pengangkutan awam tersebut ketika itu.

“Bayangkan kakitangan saya semuanya lelaki dan mereka lebih senior dalam bidang berkenaan, namun mereka perlu bekerja bawah saya. Memang sangat sukar kerana ini berkaitan soal kerja dan kekananan.

“Namun, berpengalaman lebih lima tahun bekerja di sebuah syarikat Jepun membolehkan saya mengaplikasikan cara kerja di situ ketika bertugas dalam bidang landasan kereta api,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Menceritakan bagaimana mula menapak diri dalam lapangan itu, ujar wanita yang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang dan doktor itu, beliau sangat sukakan bidang kerja lasak serta mencabar.

Sebaik menamatkan pengajian di Australia dalam bidang kejuruteraan elektrik, beliau bekerja di sebuah syarikat dari Jepun yang membekal jana kuasa sebelum melibatkan diri dalam bidang industri landasan kereta api bermula dengan projek LRT - laluan Ampang, laluan Kelana Jaya dan monorel sehingga 2010.

Pakar dalam pembinaan struktur landasan kereta api, perancang dokumentasi, kejuruteraan teknikal, pembuatan bekalan kuasa dan transfomer, sistem telekomunikasi landasan, kemudahan serta depot jentera, malah kepakarannya turut membolehkan beliau menjadi antara ahli komite bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mewakili Malaysia ketika melaksanakan projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bharu ke Singapura.

“Ketika memulakan projek LRT STAR, saya menghabiskan hampir seluruh masa saya untuk berada di depot dan landasan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik memandangkan melibatkan nyawa penumpang,” katanya.

Ditanya antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan, jelas Norlia, ketika awal operasi LRT STAR pengangkutan awam itu sering mengalami masalah terputus bekalan elektrik setiap kali berlakunya kilat sehingga isu itu menjadi antara perkara yang sering dirungutkan orang ramai kerana melewatkan perjalanan.

“Sebenarnya, setiap kali hari nak hujan, langit gelap, saya sudah gelisah di pejabat dan selalu berdoa agar LRT STAR tak berhenti.

“Namun setelah mengenal pasti masalah itu, kita berjaya mengatasinya tetapi sehingga sekarang saya masih takut apabila hujan melanda,” katanya yang kini mengepalai Project LRT3 sebagai Pengarah Projek dan anak syarikat Prime bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai Ketua Pengurusan Modal (Capex) Rel.

“Pernah putus asa untuk hidup”

Biarpun Norlia dilihat ‘gagah’ di lapangan, siapa sangka beliau pernah melalui satu fasa yang amat sukar dalam kehidupan apabila anak sulungnya, Athira Kamalia Kamaruzaman, 15, meninggal dunia akibat kanser limfoma sembilan tahun lalu.

Athira Kamalia disahkan menghidap kanser ketika berusia 13 tahun dan akui Norlia, saat yang paling sukar adalah apabila terpaksa menemani anaknya melakukan rawatan kemoterapi.

“Sebelum bersiap untuk menghantar anak ke hospital, saya mesti menangis teresak-esak kerana tidak sanggup melihat wajah anak saya itu. Saya sentiasa suruh dia kuat hadapi penyakitnya, padahal saya yang tak cukup kuat apabila berdepan dengan perkara seperti itu.

“Sebelum meninggal dunia, banyak kali dia beritahu supaya saya reda jika dia tiada nanti. Waktu itu saya sudah berputus asa dengan hidup, namun saya ‘bangkit’ kembali apabila anak lelaki saya, Muhammad Nur Akmal Kamaruzaman, 22, menyedarkan bahawa saya masih mempunyai seorang lagi anak untuk disayangi dan dijaga.

“Setahun sebelum meninggal dunia, Athira Kamalia memberi cadangan agar saya menjaga ‘anak’ kecil sebagai mengganti tempatnya dan kebetulan saya dapat menjaga seorang kanak-kanak perempuan yang saya namakan Aisya Kamalia,” jelasnya yang turut memelihara seorang lagi kanak-kanak yang diberi nama Asyla Kamalia.

Kehadiran Aisya Kamalia, 10, dan Asyla Kamalia, 7, mengubat kerinduan Norlia apabila perlu kembali menjadi rutin seorang ibu untuk menguruskan kedua-dua anak itu.

Biarpun kekok, tetapi beliau seronok kembali sibuk seperti ibu bekerjaya lain dan nekad memberi sepenuh perhatian pada kedua-dua anaknya itu.

Mahu cabar diri

Memegang falsafah lakukan dengan betul bermula dari langkah pertama (do it right at the first time), akui Norlia, wanita perlu merebut peluang untuk berada dalam bidang yang sukar kerana kemampuan mereka sukar dijangka.

Jelasnya, sejak kecil beliau dicabar untuk tidak terlalu selesa dan harus meningkatkan keupayaan diri sama ada dalam ilmu pengetahuan, kemahiran mahupun keperibadian.

“Sejak kecil saya tidak bersekolah dekat dengan rumah. Ibu sanggup menghantar saya bersekolah lebih 10 batu kerana mahu saya mendapat pendidikan yang terbaik, walhal ada sekolah yang berdekatan.

“Ketika saya bekerja di syarikat Jepun itu juga, saya sudah selesa tetapi saya cabar diri untuk menyertai pasukan perintis pembinaan LRT bagi menyediakan perkhidmatan kereta api di bandar raya Kuala Lumpur.

“Saya juga mewakili negara menghadiri persidangan, perjumpaan serta berkongsi idea dengan pakar-pakar industri landasan ini di luar negara bagi memantapkan diri dan ilmu pengetahuan dalam bidang berkenaan agar saya dapat kembalikan kepakaran di tanah tumpah sendiri,” jelasnya.

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa sebagai isteri kepada bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Kamaruzaman Ali, 54, beliau mengakui tidak menetapkan cuti yang khusus untuk melancong ke luar negara bersama keluarga.

“Bekerja dalam bidang kritikal seperti ini tidak mempunyai masa terluang yang banyak, cukup sekadar bercuti di dalam negara dan penuhi dengan aktiviti yang boleh diingati hingga akhir hayat,” ujarnya mengakhiri perbualan.