Berbeza dengan mas kahwin, wang hantaran hanyalah sekadar sebuah pemberian secara sukarela sebagai hadiah daripada pihak lelaki kepada bakal isteri mengikut kemampuan yang ada padanya. Mas kahwin pula, satu pemberian wajib pengantin lelaki kepada bakal isteri.

Pemberian itu diberikan sama ada dalam bentuk wang tunai, barangan atau sebagainya.

“Itu sebab mas kahwin tidak boleh digunakan oleh orang lain termasuk suami, kerana ia merupakan hak mutlak kepada isteri. Berbanding wang hantaran kerana bukan hak mutlak kepada pengantin perempuan dan boleh digunakan oleh orang lain untuk tujuan tertentu.

“Jika melihat kepada jumlahnya, mas kahwin jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan kahwin dan hantaran yang begitu tinggi, sedangkan dalam Islam tiada disebut mengenai hantaran perkahwinan.

“Wang hantaran sekadar adat yang telah dilakukan sejak berkurun dahulu dan masyarakat hari ini dilihat lebih ‘menjunjung’ dan ‘meninggikan’ adat berbanding hukum syarak. Tiada dalil yang menetapkan kewajipan memberi wang hantaran dalam majlis perkahwinan,” kata Ustazah Fatimah Salleh, Pensyarah Kanan di Fakulti Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Menurutnya lagi, memandangkan wang hantaran ialah satu pemberian sukarela daripada bakal suami, jumlahnya seharusnya terpulang kepada pihak lelaki.

Tidak terlalu mahal atau terlalu murah, bergantung kepada kemampuan bakal pengantin lelaki kerana yang penting ialah kesederhanaan dan tidak menyusahkan.

Malangnya beliau berkata, dalam masyarakat kita pada hari ini, pemberian ‘sukarela’ tadi sudah menjadi sesuatu yang wajib dengan jumlah yang telah ditetapkan menyebabkan masyarakat sekarang terikat dengan perkara berkenaan.

“Pemikiran masyarakat kita hari ini telah ‘diselewengkan’ oleh adat dan pandangan masyarakat berbanding pandangan syarak. Kalau tidak beri hantaran, apa pula kata orang. kalau diberi sedikit rasa malu pula, rasa tidak cukup. kalau tidak minta rasa terbeban pula. Ini yang sering bermain dalam fikiran masyarakat, justeru cara terbaik perlu dilakukan oleh pasangan atau pihak kedua-dua belah keluarga ialah berbincang terlebih dahulu sebelum menetapkan jumlah hantaran mengikut kemampuan supaya tidak terbeban di kemudian hari.

“Perkahwinan ialah satu perkongsian antara suami isteri dan segalanya perlu bermula dengan mencapai satu pemahaman dan satu kata sepakat.

“Sebab selepas kahwin, banyak perkara yang perlu ditanggung dan memerlukan perbelanjaan, kita tidak mahu pasangan pengantin ini akan terbeban dengan hutang sehingga ke anak-pinak akibat mahukan segala-galanya diraikan dengan meriah.

“Rasullullah SAW pernah bersabda, sebaik-sebaik wanita apabila berkahwin ialah yang rendah mas kahwinnya, selain melihat agama, keturunan dan sebagainya.

“Apa yang penting apabila ada pasangan yang ingin berumah tangga, pastikan matlamatnya betul, mudahkan segala urusan dan berlandaskan hukum syariah. Kita harus balik semula ke matlamat asal perkahwinan yang merupakan ibadah, satu sunnah dan perlu dibuat dengan rasa ikhlas,” katanya.

Menurut Ustazah Fatimah, Islam juga meminta setiap perkahwinan yang ingin dilakukan itu perlu diuar-uarkan atau ‘diiklankan’.

Ini dalam usaha untuk memberitahu kepada masyarakat mengenai perkahwinan individu berkenaan, agar tidak menjadi satu fitnah pada masa depan.

Apabila ‘mengiklankan’ (memberitahu) sesuatu majlis perkahwinan, itu yang kita tidak diminta berlebih-lebihan sehingga membazir hanya disebabkan mahu majlis yang diadakan penuh cita rasa dan meriah sehingga melebihi kemampuan.

“Terdapat juga berlaku ketika meminang, pihak perempuan meminta sejumlah wang hantaran kononnya untuk membayar perbelanjaan majlis yang akan diadakan oleh pihak perempuan. Pada masa sama si lelaki juga perlu mencukupkan wang bagi menyempurnakan majlis yang bakal diadakan di rumahnya, malah membeli barangan hantaran, barangan kemas dan sebagainya. Ini sebenarnya yang menyebabkan perkahwinan itu dilihat sebagai suatu yang menyusah dan membebankan.

“Pemberian hantaran seperti ini memang dibolehkan, malah tidak salah sekiranya meraikan adat selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Namun, seelok-eloknya tidak sehingga menjadikan pihak lagi satu terbeban. Dalam perkara seperti ini apa yang sebenarnya perlu dilakukan ialah perbincangan antara kedua-dua belah keluarga.

“Sepatutnya sebelah pihak itu jangan menyusahkan sebelah pihak lain sehingga ada perumpamaan hantaran tinggi itu seolah-olah ingin menjual anak kerana ingin bermegah-megah.

“Ada pula yang mengenakan jumlah wang hantaran mengikut ukuran taraf pendidikan, pekerjaan atau darjat seseorang. Bagi yang mampu, dikenakan wang hantaran yang tinggi mungkin tidak memberi sebarang kesan kepada mereka, bagaimana pula bagi mereka yang kurang mampu sedangkan perkara ini sedikit pun tidak berkait dengan kehendak syariah,” kata Ustazah Fatimah.

Beliau menambah, masalahnya dalam masyarakat hari ini, segala-galanya tidak ‘selesa’ dengan orang sekeliling sehingga terpaksa menurut kata-kata orang agar tidak malu.

Alangkah elok sekiranya sebelum berbuat sesuatu mengukur kemampuan diri sendiri.

Elok juga sekiranya mendengar cakap orang sekiranya ke arah yang baik yang boleh dijadikan iktibar.

“Ini yang sepatutnya diterapkan kepada generasi hari ini agar mengubah beberapa pemahaman yang dirasakan tidak perlu selagi ia tidak melanggar syarak,” katanya.

Hantaran bukan lambang dimiliki

Terdapat pula yang mengaitkan pemberian hantaran itu seolah-olah melambangkan isteri itu kepunyaan suami dan mereka menjadi ‘hamba’ kerana telah ‘dibeli’ dan menyebabkan mereka perlu melunaskan segala urusan rumah tangga.

Perkara itu, kata Ustazah Fatimah ialah suatu konsep dan pemahaman yang salah kerana seorang isteri jelasnya, bukanlah alat untuk ‘menyenangkan’ suami semata.

“Memang seorang isteri mempunyai tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan anak-anak, tetapi bukan sepenuhnya terletak di bahu mereka kerana mereka juga mempunyai hak-hak dan keistimewaan dalam institusi perkahwinan.

“Sebuah rumah tangga yang bahagia perlu mempunyai sifat sifat mawaddah dan rahmat, saling bertolak ansur, memahami dan bantu-membantu antara suami dan isteri,” katanya.