Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

[VIDEO] Kudrat ibu tunggal urus dua anak OKU

Kudrat ibu tunggal urus dua anak OKU 3

“Setiap hari adalah hari yang sukar bagi saya apabila perlu menguruskan dua anak istimewa. Namun, apabila dapat melihat apa yang berjaya Nia lakukan, bagaimana dia senyum dan ketawa, dan Abang pula mendengar cakap, tidak memberontak, itulah kekuatan saya untuk terus berjuang menjaga anak-anak syurga saya.”

Itu luahan jujur Siti Zailah Zainal, 39, seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak orang kurang upaya (OKU).

Anak sulungnya yang dipanggil Abang, iaitu Ahmad Bilal Iq’wan Ahmad Yamani, 12, mengalami gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), manakala si bongsu pula, Nur Nia Alisha, 7, menghidap Palsi Serebrum (Cerebral Palsy atau CP) keseluruhan badan bawah kategori Spastic Quadriplegic.

“Saya tidak mengharapkan kesembuhan buat kedua-dua anak saya, tetapi cukuplah jika saya diberi kudrat untuk menguruskan mereka setiap hari, dapat menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan kesabaran serta rezeki yang tidak putus untuk kami anak-beranak meneruskan kehidupan.

“Pada mata orang lain mungkin anak istimewa ini dilihat sebagai beban, namun daripada pengamatan saya, banyak hikmah diperoleh hingga benar-benar dirasakan sebagai satu anugerah,” katanya yang mahu disapa sebagai Siti sahaja.

Dia mengakui, pada mulanya berasa terkejut dan tidak dapat menerima keadaan anak-anaknya, di samping perasaan bersalah dan marah.

Namun, akhirnya dia reda dengan ketentuan tersebut.

Katanya, sebagai ibu segala bentuk dugaan dan cabaran harus diterima dengan hati terbuka biarpun perlu melalui fasa yang sukar, termasuklah ditinggalkan suami pada saat anak-anaknya memerlukan kasih sayang.

“Ada pandangan skeptikal terhadap anak-anak dalam kategori OKU ini. Mereka kerap dipandang pelik dan sinis hanya kerana tingkah laku yang berbeza dengan kanak-kanak normal.

“Apa pun, saya tidak mahu anak-anak saya dilihat seperti tiada jaminan masa depan, kerana saya tahu ada potensi dalam diri masing-masing.

“Disebabkan itulah saya tidak putus-putus berusaha sejak usia Nia tiga bulan lagi untuk memastikan dia sentiasa bawah pemerhatian doktor dan pakar fisioterapi. Saya mengharapkan ada sinar baharu kepada anak-anak istimewa saya menjalani kehidupan pada masa akan datang.

“Hasilnya, walaupun Nia disahkan CP keseluruhan badan tetapi kini dia boleh mengangkat kepala, kaki dan tangan berbanding anak-anak CP lain yang kebanyakannya hanya terlantar.

“Badan Nia juga sedikit berisi dan berjaya mematuhi berat ideal kanak-kanak CP berusia 7 tahun,” katanya yang berulang-alik tiga kali seminggu ke Hospital Rehabilitasi Cheras, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Rumah Payung Sepang, untuk mengikuti jadual rawatan dan fisioterapi anak bongsunya itu.

Tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain nafkah bulanan daripada bekas suami, Siti mahu puteri tunggalnya itu belajar tentang kemahiran asas harian supaya boleh berdikari kelak.

Malah, dia tidak kisah jika wang simpanannya dihabiskan semata-mata untuk rawatan sahaja.

Ujarnya, dia sendiri mempelajari teknik rawatan tersebut dengan pakar fisioterapi bagi dipraktikkan di rumah, selain mengikuti terapi-terapi alternatif seperti terapi naik kuda dan berenang bagi melatih Nia mempelajari sesuatu perkara yang baharu.

Memikirkan usianya yang semakin meningkat, dia tidak henti-henti berdoa supaya anak sulungnya, Bilal boleh mengambil peranan menjaga Nia suatu hari nanti meskipun tahu anaknya itu tidak sempurna seperti kanak-kanak lain.

“Untuk membantu Abang, saya banyak bercakap dengan dia untuk elakkan dia hilang fokus. Kalau dia buat perangai, cepat-cepat saya ingatkan dia supaya lihat kesusahan saya besarkan dia dan adiknya.

“Berbanding dulu, keadaan Abang semakin baik dan dia pun lebih memahami apa yang berlaku dalam kehidupan kami anak-beranak, mungkin kerana dia sudah mula memasuki usia remaja.

“Selain merujuk dia kepada pakar psikiatri kanak-kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, saya sendiri bantu dia supaya sentiasa berfikiran positif dan tidak merasa rendah diri dengan kekurangan yang dialami,” katanya yang menghuni di sebuah rumah kedai di Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor.

Dugaan semakin berat apabila Siti sendiri menghidap penyakit sendi, osteoartritis dan penyakit endo­metriosis. Keadaan dirinya semakin teruk apabila dia perlu mengusung dan mengangkat Nia kerana kediamannya di tingkat dua tidak mempunyai lif.

Berharap agar permohonan menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan secepat mungkin, Siti percaya dengan kemudahan itu dia dapat menguruskan diri dan anak-anak dengan lebih baik.

Dia juga mengharapkan ihsan orang ramai membantunya mendapatkan sebuah kerusi sokongan untuk kanak-kanak OKU berharga RM2,600. Kerusi itu direka khas untuk membantu anaknya membuat latihan tangan, makan, dan bermain.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan