Selama itu jugalah dia tidak mendengar suara isterinya apatah lagi untuk melihat wanita itu menggerakkan mana-mana anggota tubuhnya, melainkan mata sahaja yang menjadi perantara komunikasi.

Apa yang dapat dilakukan oleh Mohd. Amran Mat Raji, 37, hanya berserah dan berdoa kepada Tuhan agar isterinya, Suraya Ayob, 38, segera sembuh seperti sediakala.

Doktor sendiri tidak mampu memberi jaminan bilakah isterinya akan sedar daripada koma atau berterusan berkeadaan begitu selamanya.

“Selama ini, isterilah yang menguruskan makan minum dan pakai saya serta anak-anak, tetapi apabila dia terlantar begini kami ibarat hilang tempat bergantung.

“Anak bongsu baru berusia tiga bulan, kasihan melihat dia tak dapat minum susu badan, sebaliknya bergantung pada susu formula sahaja.

“Anak-anak yang lain pula sedikit terabai kerana saya terpaksa menghantar mereka ke rumah ibu mentua untuk dijaga.

“Sekarang saya hanya bergantung dengan wang simpanan dan sumbangan orang ramai. Saya tidak boleh meninggalkan Suraya untuk keluar bekerja kerana dia sering diserang sawan dan perlu dipantau setiap masa,” katanya yang menetap di Taman Seri Wangsa, Batu Gajah, Perak.

Selain anak bongsu, Muhammad Arfan Qayyum Amran, pasangan itu turut mempunyai dua anak lain berusia 11 tahun dan 2 tahun 6 bulan.

Sebelum ini, Amran bekerja mengambil upah kerja-kerja pendawaian elektrik secara kontrak, namun sejak tiga bulan yang lalu dia tidak lagi bekerja.

Kini dia berdepan dengan bebanan kos keperluan khas yang mencecah RM1,000 sebulan seperti susu khas dan lampin untuk isteri, serta susu formula bayinya bagi menggantikan susu ibu.

Dia juga perlu menanggung sewa rumah RM400 sebulan, yang kini sudah tertunggak selama tiga bulan kerana wang yang ada hanya cukup untuk makan minum mereka anak-beranak.

Menurutnya, sebelum ini isterinya tidak pernah menghadapi sebarang komplikasi ketika bersalin dua anak terdahulu, namun mengalami masalah tekanan darah tinggi ketika hamil anak ketiga menyebabkan jantungnya terhenti selama setengah jam ketika dalam pembedahan caesarean.

Sejurus selepas pembedahan tersebut, isterinya tidak sedarkan diri dan disahkan koma selepas 14 jam kerana oksigen tidak sampai ke otak.

BANTUAN
 

“Doktor memaklumkan saraf otaknya banyak yang telah rosak menyebabkan dia koma dan sukar untuk sembuh. Jika dia sedar pun, mungkin ingatannya akan terganggu.

“Saya masih berharap isteri saya kembali sedar. Anak-anak perlukan dia, tak sama kasih sayang daripada seorang ayah sahaja, mereka perlukan kasih sayang ibu.

“Sedih mengenangkan isteri dia tidak berpeluang melihat anak bongsu kami. Namun, andai takdir menentukan isteri saya tidak akan sedar selama-lamanya, saya reda dengan ketentuan ini.

“Apa pun, saya berjanji akan berada di sisinya dan menjaga dia sepanjang hayat saya kerana dia isteri yang melahirkan ketiga-tiga zuriat saya.

“Ketika dia sihat, dia menjaga saya dan membesarkan dua cahaya mata kami dengan baik. Tidak mungkin saya akan meninggalkan, apatah lagi dalam keadaan dia sebegitu,” katanya dalam nada sayu.

Amran mengakui, awalnya berasa kekok untuk menguruskan keperluan isteri termasuk memberi makan menggunakan tiub, membuang kahak, memandikan malah menukar lampin pakai buang.

Namun, dari sehari ke sehari, dia dapat menyesuaikan diri dan belajar banyak perkara dengan jururawat di hospital bagaimana untuk menjaga pesakit terlantar.

Tidak pernah diuji sebegitu sebelum ini, dia belajar untuk menerima hakikat tentang keadaan yang menimpa isterinya.

Bantuan yang diterima setakat ini adalah dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam bentuk peralatan khas seperti katil, mesin sedut kahak dan kerusi roda serta bantuan susu serta lampin daripada Baitulmal. - GAMBAR SYEFRY MONIZ