Demikian luahan sayu Siti Barojah Abdullah Sahudi, warga emas berusia 71 tahun yang tinggal bersama dua anak lelakinya yang mengalami kecacatan mental.

Katanya, ibu mana yang tak sedih tengok anak-anak diperlakukan begitu.

“Walaupun anak-anak sudah dewasa tetapi fikiran mereka seperti anak kecil, tidak tahu apa-apa.

“Orang sekeliling ejek mereka gila, mereka diam saja, malah ada yang mengusik sampai nak cederakan mereka. Walau keadaan mereka begitu, anak-anak makcik masih punya hati dan perasaan.

“Kadang-kadang kalau tak tahan dikacau, mereka akan meracau, mengamuk dan bertindak ganas tapi makcik tak boleh nak buat apa. Makcik dah tua, tak ada kudrat dah nak kawal anak-anak makcik,” katanya.

Hampir setiap hari Siti Barojah terpaksa menghadapi gangguan tersebut. Laporan polis juga pernah dibuat, namun seperti tidak ada apa-apa tindakan yang dibuat bagi menghalang pekerja-pekerja asing yang bekerja di kilang belakang rumahnya daripada mengganggu kehidupan anak-anaknya.

 

Dia sendiri tak faham, entah apa yang tidak kena di mata orang sekeliling terhadap anak-anaknya.

Meskipun anak-anaknya mengalami kecacatan mental, tetapi dia tahu, mereka tidak pernah membuat masalah dengan orang sekeliling.

Malah, sebelum kedua-dua anak lelakinya yang berusia dalam lingkungan 40-an, Noor Hashim Sartumin dan Razali Sartumin, berkeadaan begitu, mereka yang menjaga dan menyara hidup Siti Barojah.

Segalanya berubah selepas kedua-duanya mengalami kemalangan jalan raya empat tahun lalu, yang telah memberi kesan kepada mental mereka,

Kini, Siti Barojah bergantung hidup dengan ihsan orang kampung di samping bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Walaupun mereka macam tu, anak-anak makcik selalu cakap, mak ni dah tua, jangan kerja lagi. Biar abang (Noor Hashim) saja yang kerja.

“Dia akan pergi mengecat rumah atau bekerja dengan mana-mana kontraktor di sekitar sini. Sekali cat, dapatlah upah dalam RM25. Cukup untuk dia beli nasi bungkus untuk kami.

“Walaupun keadaan anak-anak makcik tak sempurna, mereka tahu kesusahan yang makcik alami untuk jaga mereka. Si abang paling pantang tengok dompet makcik kosong. Dia akan persoalkan kalau tak ada duit macam mana nak makan.

“Kemudian dia akan keluar mencari kerja. Orang kampung memang tahu kami hidup susah, mereka yang tahu keadaan anak-anak makcik akan bagi peluang melakukan kerja-kerja buruh yang mudah sebab sebelum ini semasa mereka sihat, mereka melakukan kerja-kerja membaiki dan mengecat rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang baru-baru ini.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang menanggung, namun dia tidak pernah mengeluh apabila terpaksa menghabiskan sisa hidup sebegitu, begitulah kasih sayang seorang ibu.

Biarpun kudrat tidak sekuat dahulu, Siti Barojah tetap bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik untuk dia terus menjaga kedua-dua anak kesayangannya itu.

Doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang juga memantau anak-anaknya dengan melakukan pemeriksaan di rumah sebulan sekali. Suntikan ubat-ubatan diberi bagi mengelak kelakuan agresif dan sukar dikawal.

Ditanya masa depan anak-anaknya andai umurnya tidak panjang, Siti Barojah mengeluh panjang. Dia juga tidak tahu dengan siapa mahu meletak harapan.

Meskipun mempunyai anak lain, tetapi dia tahu anaknya itu juga hidup susah dan sudah berkeluarga, yang pasti sukar untuk menjaga kebajikan Noor Hashim dan Razali.

“Makcik tahu umur makcik dah tak panjang. Bila-bila masa sahaja Allah boleh panggil. Makcik ada berbincang tentang perkara ini dengan anak yang ketiga, tetapi dia marah makcik sebab cakap yang bukan-bukan.

“Dia tak mahu makcik pergi dahulu tinggalkan abang-abangnya kerana dia tahu dia tak mampu nak kawal mereka. Apapun, dia tetap anak yang baik, selalu bagi duit belanja bulanan kepada makcik, cuma dia khuatir tak mampu nak jaga abang-abangnya sebaik makcik.

“Makcik tak kisah kalau anak-anak dihantar ke rumah kebajikan JKM asalkan ada yang menjaga mereka, memberi pakaian dan makan minum itu sudah cukup memadai bagi makcik,” katanya.

Dalam pada itu, kunjungan kami ke rumah wanita tabah ini adalah atas usaha LZS yang sentiasa menyantuni asnaf tanpa mengira latar belakang dan keadaan mereka.

Pada kunjungan tersebut, Ketua Operasi Agihan Daerah Klang LZS, Mohamad Sharil Ritin memberi bantuan baik pulih rumah, serta memasang tembok tinggi di belakang rumah Siti Barojah bagi mengelakkan gangguan daripada pekerja-pekerja kilang yang sering mengganggu anak-anaknya.

Pihaknya juga menyampaikan sumbangan wang tunai dan sebuah peti sejuk untuk mengurangkan sedikit beban keluarga fakir tersebut. - Gambar FAISOL MUSTAFA