Melihat anggota badannya yang normal serta tubuh yang berisi, pasti ramai tertanya-tanya apa yang tidak kena dengan Danish Iman?

Hakikatnya, nyawa anak kecil ini umpama berada di hujung tanduk kerana terpaksa bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen apabila disahkan menghidap proximal trancheomalacia, iaitu penyakit saluran pernafasan sempit agar dia boleh bernafas seperti biasa.

Ibunya, Wan Salmi Suhana Wan Majid, 36, memberitahu, Danish Iman didiagnos mengalami masalah saluran pernafasan sempit ketika berumur sembilan bulan.

“Menurut kata doktor, nyawa anak saya itu dikhuatiri boleh terancam terutama ketika sedang tidur, kerana saluran pernafasan boleh tertutup dengan sendiri. Mengikut kata doktor setakat ini tiada rawatan untuk memulihkan penyakit ini.

“Danish Iman juga perlu dimasukkan ke wad bila-bila masa sekiranya pernafasannya terganggu akibat kahak yang berkumpul di bahagian dada,” kata Wan Salmi Suhana yang berasal dari Jerteh, Terengganu ini.

Untuk itu, setiap empat jam sekali, Wan Salmi Suhana perlu memastikan anak itu disedut kahaknya bagi mengelakkan daripada tersumbat yang bakal mengganggu pernafasan.

Sehingga kini, akui wanita ini, hospital merupakan rumah kedua bagi dirinya dan anak-anak, kerana selain Danish Iman, keluarga ini turut diuji apabila anak ketiga, Akifa Naila, 5, dan keempatnya, Aqil Iman, 3, turut menghidap asma.

Aqil Iman bukan sahaja mengalami masalah asma kronik tetapi turut mengalami masalah tapak kaki rata sepenuhnya yang menyebabkan anak itu menghadapi kesukaran untuk berjalan atau berdiri terlalu lama, postur badan yang tidak seimbang dan pergerakan yang tidak ‘cantik’.

Selain itu, anak ini juga menghidap masalah perut buncit.

Bercerita mengenai masalah yang dihadapi Aqil Iman, Wan Salmi Suhana berkata, dia mula perasan kelainan pada anaknya itu ketika berumur setahun lapan bulan.

Kini dia perlu menunggu sehingga umur Aqil Iman lima tahun sebelum membuat keputusan sama ada kaki anaknya itu perlu dimasukkan besi atau urat kakinya ditarik bagi memperbetulkan postur kaki.

Namun Wan Salmi Suhana memberitahu, sehingga kini masalah perut buncit yang dialami anaknya itu tidak diketahui penyakit dan puncanya.

Meskipun keluarga ini turut menerima bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor, namun perbelanjaan bulanan keluarga ini masih tidak mencukupi.

Dengan pendapatan suaminya, Mohd. Irwan Amir Hashim, 36, RM1,000 sebulan sebagai pemandu Grab, Wan Salmi Suhana masih memerlukan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan lain seperti kos susu Aqil Iman, (RM1,000), tiub pernafasan Danish Iman, (RM900), ubat-ubatan, bil-bil utiliti rumah, dan perbelanjaan harian.

“Tiub penafasan Danish Iman sering bocor dan perlu ditukar setiap tiga hingga enam bulan yang mana kosnya mencecah RM900 dan itu belum termasuk kos ubat-ubatan.

“Kadangkala anak-anak akan sakit serentak dan keadaan ini menyebabkan saya perlu wang kecemasan untuk membawa mereka ke klinik.

“Selain itu segala perbelanjaan harian dan juga bil-bil perlu dilangsaikan namun dengan keadaan anak-anak begini agak menyukarkan saya untuk bekerja, mencari pendapatan sampingan membantu suami,” katanya yang menetap di Rumah Pangsa Desaria, Taman Desaria, Petaling Jaya, Selangor.

Amat berterima kasih kepada pihak-pihak yang banyak membantunya sekeluarga terutama Lembaga Zakat Selangor, dia berharap agar satu hari nanti anak-anaknya akan kembali sihat seperti kanak-kanak lain.