Penghijrahan tersebut telah menemukan dia dengan kebahagiaan yang dicarinya. Bukan harta atau wang ringgit, tetapi kebahagiaan untuk memenuhi tuntutan agama.

Tular kerana membuat pengakuan berani secara langsung di Facebook baru-baru ini, niatnya bukan kerana mahu mencari populariti jauh sekali mahu melariskan produk kecantikan yang diusahakannya.

Sebaliknya, dia mengharapkan komuniti ‘mak nyah’ yang lain dapat mengambil kisah penghijrahannya sebagai pedoman bahawa kuasa Allah itu besar dan mereka mampu kembali kepada fitrah sebagai lelaki.

Mesra disapa sebagai Cikgu Jefferi, dia yang datang ke Mega Rona bersama dua daripada tiga orang anak angkatnya, nampak segak berkemeja biru dengan seluar khaki dan rambut pendeknya disisir rapi.

Tidak kelihatan lagi sosok wanita pada tubuhnya. Malah, jika kisahnya tidak tular pasti ramai yang tidak akan perasan bahawa lelaki ini dahulunya ‘wanita’.

Akuinya, sudah lama Allah ‘menjentik’ hatinya untuk berubah, namun dia leka dan tidak cuba memahami apa yang tersirat. Sudah berlaku beberapa perkara dalam hidupnya yang boleh dianggap sebagai ‘isyarat’, tetapi dia sendiri tidak mempunyai kekuatan untuk berubah.

“Pernah suatu ketika saya didatangi seorang tukang tilik nasib Benggali ke kedai saya. Dia berkata, saya memiliki semua benda di atas dunia ini tetapi saya tidak mempunyai kebahagiaan, saya tidak pernah bahagia.

“Saya terkejut dan marah kerana itulah doa saya selama saya hidup, iaitu saya inginkan kebahagiaan. Saya tak percaya dengan tilik nasib, tapi bagaimana dia tahu itu yang saya minta setiap hari?

“Apabila saya fikir kembali, lelaki tersebut didatangkan untuk sedarkan saya kerana saya percaya bahawa setiap yang baik itu datangnya daripada Allah meskipun yang datang itu seekor anjing,” katanya.

KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2017 - Sesi temuramah dan fotografi bersama
 

Niatnya untuk mengerjakan umrah juga pernah dihalang oleh duta besar Arab Saudi lima hari sebelum berlepas ke sana sedangkan ‘rakan-rakan mak nyah’ lain tidak mempunyai sebarang masalah untuk ke sana.

Dikatakan terlalu seksi untuk mengenakan ihram lelaki, keselamatannya juga dikhuatiri terancam kerana orang Arab akan memandangnya sebagai seorang wanita dan boleh menjurus ke arah jenayah seksual.

Apabila difikirkan kembali kenapa visanya dibatalkan, Cikgu Jefferi tahu, Allah mahu dia berubah dahulu sebelum ke Tanah Suci Mekah, bukan pergi dengan membawa jiwa yang kosong.

Dia juga berkata, sebab utama kembali ke pangkal jalan ialah kerana solat. Dia mengaku bahawa sepanjang menjadi pondan, langsung tidak menunaikan solat apatah lagi mahu menunaikan solat Jumaat.

Mendedahkan kisah zaman jahiliahnya ketika bergelar pondan, Cikgu Jefferi sendiri sedar dirinya seorang Muslim dan tahu dia wajib menunaikan solat lima waktu, tetapi kerana mahu mempertahan egonya, dia tidak tahu dia perlu menunaikan solat sebagai lelaki atau wanita.

Jika memakai telekung, orang tahu dia adalah pondan tetapi jika mengenakan kain pelikat dan kopiah pula, dia mempunyai ‘payudara’. Dia tidak mahu orang memandangnya pelik.

Sama seperti ibu bapa lain, dia tidak mahu anak-anak mengulangi kesilapannya dan menjadi seorang Islam yang bertakwa.

“Saya selalu ingatkan anak-anak supaya bersembahyang tetapi saya sendiri tak sembahyang. Anak pula saya hantar ke sekolah agama. Saya pernah tegur dan marah anak sulung saya (anak angkat) dan persoal kenapa dia tidak pergi masjid untuk solat Jumaat, tapi saya tersedar sendiri apa nak jadi dengan diri saya, suruh anak tapi saya sendiri tak buat.

“Apabila saya memilih untuk berubah, perlahan-lahan saya cuba untuk solat. Daripada satu waktu sehinggalah cukup lima waktu saya berjaya lakukan. Saya rasa itulah nikmat yang saya cari. Saya juga amalkan solat duha, saya minta dikembalikan kepada fitrah asal dan alhamdulillah, berjaya.

“Daripada gemar memakai pakaian wanita, berjalan lemah lembut dan intonasi suara yang halus seperti wanita, semuanya perlahan-lahan hilang daripada diri saya.

“Kerana solat juga saya ambil keputusan untuk buang payudara implan. Saya pelik tetapi itulah kuasa solat dan doa, saya tidak lagi tertarik kepada lelaki.

“Jika ditanya bagaimana dengan naluri saya sekarang adakah masih memiliki naluri seorang wanita, jawapan saya, tidak. Saya mahu berkahwin dengan seorang wanita. Setiap hari saya berdoa supaya saya dipertemu jodoh jika dipanjangkan usia,” katanya yang juga pengasas produk kecantikan, SB SuperBeauty.

Cuba menahan air matanya daripada tumpah, katanya, dia amat rindukan ibunya yang sudah meninggal dunia pada 2009.

Katanya, jika ibu masih hidup pasti menjadi orang paling gembira melihat dirinya yang kini sudah kembali lelaki.

Dengan kesedihan yang masih menebal di dalam diri, Cikgu Jefferi berkata, ibunya pernah membiarkan sahaja dia memilih jalan hidup songsang kerana sudah putus asa menasihatinya agar berubah.

Tidak marah apabila orang kampung mengata anaknya seorang pondan, malah ibunya menyokong apa jua yang dilakukannya kerana tidak sanggup membiarkan anaknya keseorangan selepas dipulau keluarga.

“Saya pernah marah dia sebab dia tak tegur saya berpenampilan wanita. Saya cakap, mak tak boleh mengiyakan kesalahan saya. Esok bila mak meninggal dunia, macam mana mak nak jawab dengan Allah dalam kubur nanti.

“Saya cakap, saya tak rela mak diseksa kerana bersubahat dengan saya. Masa itu, mak saya hanya diam sahaja, dia tercengang. Sejak detik itu sehinggalah dia meninggal, tidak henti-henti dia menegur dan memarahi saya apabila saya berkelakuan seperti wanita.

“Saya tak kisah dimarahinya kerana saya tahu itulah dakwah dia untuk melihat saya berubah,” katanya yang berasal dari Kluang, Johor.

Apabila bercakap tentang naluri, Cikgu Jefferi tidak menafikan hampir kesemua pondan menggunakan alasan naluri sebagai sebab utama mereka tidak mampu berubah.

Mereka akan mempersoal bagaimana mahu mengubah naluri kewanitaan yang terperangkap dalam tubuh lelaki.

Dia sendiri memberikan alasan sama kepada ibunya apabila orang tua itu menangis meminta dia kembali ke pangkal jalan.

“Mak pernah tanya kepada saya, kenapa engkau jadi macam ni? Mak lahirkan anak laki-laki, kenapa kau pilih jadi perempuan. Saya jawab, saya ini ibarat jatuh tetapi ada batu besar di atas saya. Mak suruh saya bangun, tapi saya jawab mak yang kena tolong saya angkat batu ini.

“Mak saya pun menangis, dia persoal lagi kenapa saya fikir begitu. Katanya, batu itu nyata ada, macam mana mak nak angkat, mak tak daya. Apabila mak cakap macam tu, saya masih tidak faham apa yang cuba disampaikan sehinggalah dia meninggal dunia saya masih tidak faham.

“Suatu hari saya terfikir tentang kata-kata tersebut, dan saya mendapat jawapannya. Memang takkan ada sesiapa pun akan angkat batu tersebut melainkan diri sendiri.

“Jawapan tersebut akhirnya menjawab kepada persoalan bagaimana untuk saya mengubah naluri saya.

“Kunci kepada hijrah saya untuk kembali kepada naluri lelaki saya adalah solat lima waktu, solat duha, Al-Fatihah, dan doa yang saya amalkan,” katanya.

Pada Ogos lalu, dia mengambil keputusan ke Thailand untuk membuang ‘payudara’.

Langkah itu menjadi titik permulaan untuk dia kembali menjadi lelaki, selepas hampir sebahagian besar tubuhnya pernah melalui ‘transformasi’ untuk menjadi wanita. Ini termasuk mengecilkan tulang betis dan paha, memasang implan payudara, memancung hidung, mengecilkan kelopak mata dan menyimpan rambut yang panjang.

Mengakui langkah ke arah kebaikan itu tidak mudah kerana dugaan yang diterima selepas mengambil keputusan kembali kepada fitrah lelaki nyata lebih sukar.

KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2017 - Sesi temuramah dan fotografi bersama
 

Hati manusia mudah berbolak-balik, yang menguatkan semangat hanyalah keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap kekuasaan Ilahi.

Cikgu Jefferi berkata, dugaan datang dari pelbagai penjuru, cuma dia perlu kuat semangat dan yakin dengan hikmah yang Allah janjikan.

“Tidak ada seorang pun yang akan kecam kita kalau kita betul nak berubah. Yang mengecam itu adalah diri sendiri dan nafsu yang menakut-nakutkan kita untuk mengambil jalan tersebut.

“Kita kena ingat, di depan dan bersama kita sentiasa adalah Allah, undang-undang Allah tetap sama, tidak akan menghalalkan yang haram. Macam mana sukar pun, kita mesti berpatah balik ke jalan yang benar supaya kita selamat dunia dan akhirat,” katanya mengakhiri bicara.

Menyorot bagaimana dia meneruskan kehidupan sebagai seorang guru meskipun memilih untuk menjadi pondan, dia tidak mempedulikan cacian masyarakat.

Sedikitpun tidak berselindung tentang kisahnya sebagai guru dahulu, Cikgu Jefferi tertawa mengenangkan bagaimana dia sebagai seorang guru yang tinggal di kuarters perguruan di Jelebu, Negeri Sembilan, berperwatakan wanita selepas habis waktu sekolah.

Pernah menjadi guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani selama sembilan tahun, ceritanya ibu bapa dan guru besar kurang senang kerana dia tidak menyembunyikan langsung karakter pondan.

Dia tidak segan silu menyidai pakaian wanita seperti kain batik dan pakaian dalam wanita di luar rumahnya.

Dia akhirnya meninggalkan profesion itu pada 1997 kerana mahu berpindah ke England untuk menjalani kehidupan sebagai ‘wanita’ di sana.

Namun, dia ‘diuji’ pula dengan penyakit strok yang dialami ibunya membuatkan terpaksa melupakan niat untuk tinggal di negara tersebut lebih lama.