Menurut rekod SME Corporation Malaysia (SME Corp), sebanyak 20.6 peratus wanita di negara ini terlibat dalam bidang keusahawanan dan dijangkakan meningkat sehingga 23 peratus menjelang tahun 2020.

Justeru itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berada pada landasan yang tepat apabila menyasarkan peningkatan sehingga 10 peratus jumlah usahawan wanita dalam keusahawanan kecil dan sederhana ke peringkat global menjelang tahun 2020.

Bertepatan ke arah merealisasikan tema itu, sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang bakal diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, negara bakal menjadi tuan rumah penganjuran Sidang Kemuncak Perdagangan Wanita Global dan Dialog TN50 Wanita yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, penganjuran sidang kemuncak perdagangan itu bakal dihadiri lebih 1,500 peserta dari seluruh negara termasuk ahli Persekutuan Perdagangan dan Industri Wanita Antarabangsa (IWFCI).

Pertubuhan itu melibatkan beberapa negara luar antaranya Rusia, Vietnam, Korea, Mongolia, Australia, Singapura, Indonesia, India dan Filipina.

Tambah beliau, penganjuran berkenaan juga memberi ruang kepada golongan usahawan wanita pelbagai latar belakang berkongsi idea, pengalaman, aspirasi serta paling penting mempromosikan produk untuk memasuki peringkat global.

“Tidak dinafikan ramai usahawan wanita di negara ini telah menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara.

“Seharusnya mereka diraikan dan dihargai kerana membantu negara meningkatkan modal insan dalam sektor pekerjaan.

“Melalui sambutan ini kita memberi ruang dan platform yang tepat buat wanita mengembangkan pencapaian mereka pada peringkat global, terutama dalam bidang perniagaan yang diceburi selepas pelbagai bentuk insentif diberikan kerajaan.

“Kementerian juga berharap sekurang-kurangnya satu peratus daripada usahawan bawah SME Corp yang menyertai pameran pada penganjuran persidangan ini dapat menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu Rohani memberitahu, kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif, serta latihan keusahawanan seperti program Pembangunan Inisiatif Keusahawanan Wanita (Dewi), sebagai langkah pemerkasaan ekonomi wanita.

“Kesemua bidang fokus yang melibatkan kesejahteraan wanita ini berada dalam perhatian kementerian termasuk juga isu-isu bukan berkaitan ekonomi.

“Oleh itu, kementerian berusaha untuk menyediakan segala keperluan golongan ini dan sudah pastinya sempena sambutan ini, Perdana Menteri pasti ada sesuatu yang manis untuk dikhabarkan,” katanya. - Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR