Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Usah bebas keterlaluan

SITI AZURA BAHADIN
SITI AZURA BAHADIN

Insiden lapan remaja berbasikal yang maut akibat dirempuh oleh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini, sedikit sebanyak membuka mata tentang isu sosial remaja hari ini.

Persoalannya, mengapa aktiviti seperti itu dilakukan pada waktu dinihari, malah dikatakan sudah lama diadakan. Jika dianggap sebagai satu riadah pun, budaya lepak masih jadi agenda utama di tempat itu.

Apabila remaja berkumpul dalam satu jumlah yang ramai tanpa dipantau, dikhuatiri golongan ini mudah terbabit melakukan ‘aktiviti’ lain seperti merokok, menghidu gam, dadah dan buli.

Sebaik ada sahaja tragedi yang membawa kepada kematian, sudah tentu pihak yang bakal dipersalah ialah ibu bapa yang dikatakan tidak memantau perkembangan anak-anak.

Apa pun dalam hal ini memang ada kebenarannya, memandangkan pelajar-pelajar berkenaan masih lagi di bawah umur dan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa bertanggungjawab di atas setiap pengabaian yang dilakukan terhadap anak-anak.

Namun, sebelum terus menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, sewajarnya kita lihat dahulu psikologi golongan remaja ini dalam konteks sistem mikro, mezzo (pertengahan) dan makro bagi mengenali siapakah golongan ini sebenarnya.

Menurut Pensyarah Psikologi di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin. apabila dilihat secara mikro, golongan remaja, terutama lelaki pada peringkat umur ini sering dikaitkan dengan perasaan ingin mencuba, berseronok dan berada dalam fasa ‘ribut dan tekanan’.

“Menurut Pengasas Psikologi dan Pendidik Amerika, G. Stanley Hall, dalam kajiannya memberitahu, kebanyakan remaja pada fasa ini dikatakan ‘berangin’ dan tidak berkeyakinan.

“Mereka inginkan sesuatu yang baharu dan mencabar, justeru, aktiviti lasak seperti berbasikal, menunggang motosikal dan apa sahaja yang perkara yang menguji kehebatan diri, dilihat sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

“Dalam hal ini, tidak salah remaja menguasai potensi diri tetapi perlu kena dengan tempatnya. Ketika inilah, keluarga mula berdepan dengan isu menguruskan anak-anak yang semakin meningkat remaja. Tingkah laku mereka yang agresif, melawan cakap ibu bapa dan tidak mendengar nasihat merupakan sikap segelintir daripada mereka.

“Tingkah laku anak-anak ini mungkin berkait rapat dengan faktor biologikal, psikologikal dan sosialisasi sejak kecil.

“Ibu bapa mungkin sudah banyak memberi nasihat, namun pada peringkat ini, remaja cenderung kepada lebih beremosi dan bersifat penentangan disebabkan aktiviti yang berlaku di dalam otak dan menyumbang kepada kekeliruan,” katanya.

Jelas Siti Azura, dilihat pada peringkat mezzo pula, remaja mudah terpengaruh dan bertingkah laku mengikut kehendak rakan sebaya. Hal ini terjadi kerana ingin diterima dalam kumpulan kerana bagi mereka rakan adalah tempat terbaik untuk mereka berada.

Remaja ini mungkin datang dari latar sosial yang sama dan berkongsi budaya penentangan yang sama, justeru, penerimaan kumpulan rakan sebaya adalah penting untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.

Pada waktu ini jelasnya, remaja berhadapan dengan krisis identiti dan penentuan imej kendiri. Mereka selalunya bergantung pada pandangan orang lain berbanding diri sendiri.

Mereka ketika ini berada pada tahap moratorium iaitu sanggup melalui pelbagai ragam identiti rakan-rakan tanpa memikirkan tanggungjawab dan kesannya nanti terhadap mereka.

Sebagai contoh, mereka sanggup membaiki basikal tanpa bayaran untuk menunjukkan obligasi dan kesetiaan kepada kumpulan. Begitu juga sekiranya dicabar untuk membuli seseorang, mereka sanggup melakukannya atas dasar ingin dipandang tinggi dan diterima dalam kumpulan.

“Menurut kajian Pakar Psikologi Remaja Amerika, David Elkind, pada tahap usia ini, mereka berhadapan dengan konflik egocentrisme di mana hati remaja sedang membuak-buak untuk menunjukkan kepentingan, keunikan dan pengalaman sosial dan emosi sendiri.

“Situasi seperti ini sebenarnya adalah sesuatu yang normal dalam tumbesaran anak-anak. Tahap kemuncaknya ialah pada umur 13 tahun ke atas dan akan menurun secara beransur-ansur.

“Mereka juga berada dalam komponen imaginary audience, di mana beranggapan diri, tingkah laku dan penampilan fizikal mereka selalu diperhati orang sekeliling. Oleh demikian mereka akan melakukan apa sahaja yang boleh bagi mendapatkan perhatian orang ramai.

“Sebagai contoh berbasikal di khalayak ramai dan mendapatkan perhatian dan sorakan dianggap dapat menaikkan nilai diri mereka

“Satu perkara lagi, remaja juga berada dalam konsep egocentrisme iaitu terdorong dalam dongeng peribadi yang memikirkan diri mereka sentiasa bernasib baik dan bermistik, sehinggakan tidak takut untuk terlibat dalam tingkah laku berisiko kerana tidak terfikir hal kematian dan sentiasa rasa akan bernasib baik,” jelasnya.

Siti Azura memberitahu, seharusnya pada peringkat makro, peranan masyarakat, sekolah, kerajaan, swasta, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dilihat sebagai sesuatu yang penting dalam mengekang apa jua keadaan yang melibatkan pengaruh remaja terlebih batasan ketika berada di luar.

Sekiranya tiada tindakan diambil, katanya, pihak-pihak ini dilihat gagal mengekang masalah berkenaan sejak awal.

“Sebagai contoh berbasikal di jalan raya secara berbahaya, ada pihak-pihak sudah melihat keadaan ini sekian lama berlaku, kenapa masyarakat sekitar masih diam membisu dan tidak mengambil langkah proaktif untuk mencegahnya?

“Pihak berwajib pula perlu melakukan langkah pencegahan seperti rondaan jalan raya, sekatan dan turun padang ke komuniti dan sekolah untuk memberi maklumat berkaitan keselamatan dan lain-lain.

“Seharusnya kes-kes yang melibatkan kemudaratan ditanggani lebih awal dan memerlukan tindakan kolektif agar tragedi sama tidak berulang,” katanya.

Dalam pada itu Siti Azura Bahadin memberikan beberapa cadangan yang boleh dipraktikkan ibu bapa dalam mengekang perilaku anak-anak, khususnya yang gemar keluar malam, melepak dengan rakan-rakan, mahupun suka bertindak ekstrem.

Dia memberitahu, ibu bapa boleh guna kaedah didikan tradisional orang-orang dahulu yang tidak membenarkan anak-anak keluar pada waktu maghrib atau malam hari dengan mengehadkan aktiviti malam mereka, kecuali bagi tujuan pembelajaran dan sebagainya.

Dia juga meminta agar ibu bapa memberikan lebih perhatian dan pengawasan kepada anak-anak, termasuk memantau lebih lanjut aktiviti yang dilakukan anak-anak dan sentiasa berulang memberi nasihat.

“Di rumah, ibu bapa perlu lakukan aktiiti bersama anak-anak, makan malam, solat berjemaah, berbincang, bertazkirah, menonton televisyen atau apa sahaja.

“Hukuman dan denda boleh dikenakan kepada anak-anak dengan merotan atau menarik balik penggunaan gajet atau kemudahan-kemudahan lain yang mereka miliki sekiranya mereka lakukan kesalahan.

“Tambahan, rumah tangga seharusnya menjadi tempat yang paling menceriakan, paling selamat dan tidak membosankan bagi kanak-kanak.

“Sekiranya tiada rasa harmoni dalam rumah, mereka menjadi tidak betah berada di dalam rumah.

“Apapun semuanya bermula dengan kebijaksanaan ibu bapa dan penjaga untuk menangani masalah anak-anak ini,” katanya.

Ibu bapa dialu-alukan menghantar gambar-gambar swafoto anak-anak berusia bawah 10 tahun ke ruangan ini. Hantarkan ke Instagram: rona.utusanmalaysia atau Facebook: Rona Wanita Utusan Malaysia atau emel [email protected]

 

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan