Muhammad Aidil Roneh Abdullah dan isteri, Noliza Salleh serta dua cahaya mata mereka, Puteri Balqis Heu (kanan) dan Puteri Aleya Heu (kiri).

Meskipun pada asalnya, mereka berbeza dari segi anutan agama, selain dipisahkan Laut China Selatan, namun semua itu bukan penghalang pertemuan pasangan berkenaan yang ditakdirkan oleh Yang Maha Esa.

Muhammad Aidil yang berasal dari Papar, Sabah merupakan etnik Sinou atau kacukan Kadazansun dan Cina selamat diijabkabulkan dengan Noliza dari Mersing, Johor pada 9 Ogos 1998.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Balqis Heu, 16, dan Puteri Aleya Heu, 10.

Muhammad Aidil berkata, dia tidak meletakkan sebarang syarat dalam soal jodohnya dan menyerahkan kepada takdir yang menentukan segalanya.

Katanya, sikap lemah lembut Noliza dan sokongan berterusan wanita tersebut dalam membantunya mendekati Islam membuatkan dia berasa begitu serasi dengan teman hidupnya itu.

“Sikap Noliza yang memahami kerjaya saya sebagai polis dan sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan penuh kepada saya amat dihargai.

“Di samping itu, keluarganya juga menerima saya dengan begitu baik meskipun berlainan agama dan keturunan,” katanya kepada S2.

Menurut Muhammad Aidil, kebolehan Noliza dalam menyediakan pelbagai masakan sama ada tradisional atau makanan barat membuatkannya terpesona dengan pakej yang dianggapnya lengkap dimiliki isterinya itu.

Menceritakan detik pertemuan mereka, beliau berkata, urusan kerja antara dia dan Noliza yang ketika itu bertugas di Majlis Daerah Mersing melahirkan bibit-bibit cinta sehingga membawa ke jenjang pelamin.

Katanya, saat menguruskan Festival Zapin Antarabangsa di Mersing pada masa itu membuatkan hubungannya dengan Noliza bertambah rapat sehingga mereka sering berhubung menerusi telefon sebelum mengambil keputusan untuk melamar buah hatinya itu.

Berhubung keputusannya menganut agama Islam, dia berkata, ia merupakan antara cabaran yang perlu dilalui khususnya melibatkan faktor penerimaan ahli keluarganya.

Namun katanya, berkat kesabaran menyebabkan kedua-dua ibu-bapanya, lama-kelamaan dapat menerima baik keputusannya dan menerimanya sekeluarga.

“Niat saya mendalami agama Islam sebenarnya berputik sejak di bangku sekolah,” katanya.

Sementara itu, Noliza berkata, keikhlasan Muhammad Aidil memeluk agama Islam dan berusaha mendalami agama suci berkenaan amat menyentuh hatinya.

Katanya, sikap yang sentiasa jujur dan mempunyai sifat bertanggungjawab sebagai seorang suami membuatkannya begitu tertarik dengan personaliti jejaka yang berjaya menambat hatinya kala itu. Beliau bersyukur kerana diterima keluarga mertua walaupun berbeza agama dan keturunan.