Ikut hati memang hendak sahaja minta dilepaskan tetapi memikirkan malu kepada anak, menantu dan cucu, tahan juga perasaan dengan doa yang tidak pernah putus supaya satu hari nanti Allah akan buka pintu hatinya untuk berubah.

Apa perasaan anda jika suami tidak berubah walaupun sudah bersara? Kata orang, rumah kata pergi, kubur kata mari. Ditegur, jadi gaduh, tidak ditegur semakin menjadi-jadi.

Kita ikuti kisah lanjut seperti yang diceritakan Shira (bukan nama sebenar) kepada saya.

“Saya seorang suri rumah. Berusia 52 tahun. Berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki serta dua orang cucu. Dua orang anak telah bekerja, yang sulung telah berkahwin. Hidup saya sederhana, suami seorang penjawat awam tetapi telah setahun bersara.

“Suami saya, seorang lelaki yang suka berfoya-foya sejak muda. Suka keluar malam dan berkawan dengan ramai perempuan. Saya perasan perangainya ini setelah usia perkahwinan kami masuk ke tahun kelima. Tapi saya diamkan sahaja sebab saya tahu satu hari nanti dia akan berubah.

“Lima tahun lalu, dia buat hal dengan seorang wanita yang sama tempat kerja dengan dia. Mereka berkahwin walaupun saya berusaha keras menentang perhubungan tersebut. Akhirnya saya reda dan anggap itu jodoh suami.

“Saya pendam pelbagai perasaan. Marah, geram dan sakit hati. Madu saya sangat garang. Dia nak bolot kasih sayang suami, memburuk-burukkan saya kepada keluarga mentua dan mengganggu saya dan anak-anak.

“Saya tidak pernah mengadu dengan suami tentang perangainya. Jauh sekali hendak menyerang. Saya reda dan berdoa supaya keadaan akan pulih dan saya dapat hidup tenang.

“Ditakdirkan Allah, madu saya disahkan menghidap kanser rahim setelah melahirkan anak sulung mereka. Sejak itu, dia keluar masuk hospital. Masa untuk dia ganggu saya agak berkurangan. Tidak lama kemudian, dia meninggal dunia.

“Suami minta saya jaga anak mereka walaupun saya menolak di peringkat awal tetapi lama kelamaan saya terima, sebab budak itu tidak bersalah. Lagipun anak-anak setuju saya menjaganya.

“Sejak itu, saya mula tenang walaupun kadang kala sakit juga hati melihat wajah budak itu, sebab teringat apa yang telah arwah buat kepada saya. Cepat-cepat saya istigfar. Alhamdulillah, sekarang saya sudah menerima budak itu seperti anak sendiri.

“Sayangnya masalah lain pula timbul. Setelah bersara, suami semakin liar. Dia berkenalan pula dengan seorang wanita di kawasan perumahan kami. Perempuan tersebut memang terkenal di kawasan itu kerana sikap gediknya.

“Maklumlah orang yang aktif berpersatuan dan politik. Di mana ada majlis, di situlah ada dia. Nampak sangat sikap gediknya. Dia berjaya menggoda suami saya sebab suami juga aktif berpersatuan di situ.

“Kalau ada majlis berkepitlah mereka macam sepasang kekasih..., terhegeh-hegeh melayan suami saya sampai naik meluat saya tengok. Orang mula bercakap. Bergosip tentang hubungan suami dan wanita itu.

“Apa perlu saya buat? Nak marah..., tak boleh. Jauh sekali nak serang wanita itu sebab kami tinggal dalam satu kawasan. Lagipun saya masih waras, takkan nak buat kerja bodoh itu hanya kerana seorang lelaki walaupun suami. Saya masih ada maruah.

“Saya malas hendak ambil tahu. Biarkan. Saya hendak tengok sampai bila suami nak hidup macam itu. Umur sudah masuk 60 tahun, masih tak ingat Allah. Solat selalu tinggal walaupun kerap berada di masjid kerana aktiviti agama.

“Setakat nak pegang jawatan tetapi tak tunjuk contoh sebagai pemimpin, saya rasa elok letak jawatan. Jangan berpura-pura baik, kuat iman tetapi perangai menyakitkan hati isteri dan anak-anak.

“Anak dan menantu pun malu dengan perangai ayah mereka yang jarang balik ke rumah kami. Tapi saya selalu pesan, buruk macam mana sekalipun perangai, dia tetap ayah dan perlu dihormati. Saya katakan kepada mereka, berdoalah supaya ayah berubah dan kembali ke pangkal jalan.

“Sebagai isteri, tentu saya sedih kerana mempunyai suami seperti ini. Sepanjang 27 tahun perkahwinan kami, saya makan hati. Tapi saya bersabar demi anak-anak. Saya layan perangainya. Ikut apa yang dia hendak. Sebab tak mahu gaduh.

“Sekarang saya pasrah. Doa saya tidak pernah putus. Semoga Allah buka pintu hatinya untuk mendekatkan diri dengan Allah, bukan terus menghambat perempuan.

“Saya ajak pergi umrah, dia tak mahu, ajak pergi bercuti dengan anak-anak pun, tak mahu. Saya pun tak tahu apa yang dia hendak sebenarnya dalam hidup dia. Saya bimbang dia tak sempat bertaubat, Allah jemput pulang!” kata Shira menamatkan ceritanya.

Saya sangat simpati dengan Shira. Besar pengorbanannya terhadap suami. Tapi sayang dia dapat suami yang tidak menghargai pengorbanan dan kasih sayangnya. Semoga Allah kuatkan hati Shira untuk terus menghadapi ujian ini.

Kepada kaum lelaki di luar sana, beringatlah, tidak selamanya kita menongkat langit, sampai masa akan pergi juga. Apabila sampai saat itu, apa yang akan kita bawa pulang kepadaNya?

Tepuk dada tanya selera.

Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, berubahlah sebelum terlambat kerana Allah tidak akan mengubah nasib hambaNya kecuali mereka yang berusaha mengubah diri sendiri ke jalan Allah.

Salam.