Isteri kesayangannya hanya mampu bersandar di kerusi roda, selain menjadi ketua keluarga, tugasan seorang isteri dan ibu juga beralih kepadanya.

Meskipun pada mulanya kekok untuk menguruskan keperluan keluarga, lama-kelamaan ia sudah menjadi alah bisa tegal biasa.

Tidak ada apa yang lebih membahagiakan buat seorang suami untuk melihat isterinya kembali sembuh seperti sediakala agar dapat menghabiskan sisa-sisa hidup bersama hingga akhir hayat, namun dia reda dengan ketentuan tersebut.

“Walaupun kehidupan kami sekeluarga sangat sukar, perancangan Allah itu adalah terbaik. Saya bersyukur kerana sedikit pun tidak pernah terlintas untuk mengabaikan keluarga saya, malah sentiasa diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini dengan tenang.

“Ramai yang anggap kami hidup susah tetapi bagi saya, orang di luar sana lebih ramai yang hidup susah berbanding kami sekeluarga,” katanya ditemui ketika kunjungan Ketua Operasi Agihan Daerah Klang, Lembaga Zakat Selangor, Mohamad Shahril Ritin ke kediamannya di Rantau Panjang, Klang, Selangor baru-baru.

Menceritakan detik permulaan isterinya diserang penyakit tersebut, siapa sangka kegembiraan untuk menyambut kelahiran anak bongsu bertukar duka apabila isterinya tidak mampu menggerakkan anggota dari bahagian pinggang ke kaki tanpa mengetahui puncanya sepanjang proses mengandung.

Ketika mendapatkan rawatan di hospital, doktor memaklumkan isterinya tidak dapat melahirkan anak mereka secara normal disebabkan keadaan tersebut.

Namun, tiada siapa yang mampu menolak kekuasaan Allah SWT apabila isterinya bersalin secara normal tanpa perlu melalui prosedur pembedahan.

Sejak itu, dia mendapat kekuatan dan semangat untuk melalui ujian tersebut dengan tenang kerana apa sahaja boleh berlaku dengan ketentuan Ilahi dan sebagai hamba perlu reda.

Mohd. Rusdi mula merencanakan kehidupannya sekeluarga dengan baik. Dia belajar masak, mengemas rumah, menguruskan makan pakai anak-anak, menghantar anak-anak ke sekolah dan sebagainya, yang selama ini dilakukan oleh isteri kesayangan.

Mujurlah dia bekerja dengan majikan yang sangat prihatin, dengan pendapatan sebanyak RM1,200, Mohd. Rusdi hanya perlu bekerja pada hujung minggu di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, Cheras, sebagai pembantu bilal.

Jelas lelaki yang berasa dari Kelantan itu, mempunyai empat anak yang masih kecil termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU), di samping kos rawatan serta ulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dan perlu membayar pinjaman rumah, menyebabkan simpanan bulanan tidak mencukupi.

“Saya berkali-kali diminta oleh rakan-rakan untuk memohon bantuan zakat tetapi saya malu. Saya akui kehidupan saya dan keluarga memang susah tetapi saya tahu ada ramai lagi yang lebih memerlukan dari saya.

“Tambahan pula, saya bekerja di masjid, sentiasa berurusan dengan mereka yang memohon sumbangan serta sedekah, jadi saya tidak rasa apa yang dilalui keluarga saya membuatkan 
saya layak mendapat bantuan zakat.

“Namun, apabila berbincang semula dengan isteri, akhirnya saya terpaksa akur kerana memikirkan masa depan anak-anak dan isteri juga perlu menjalani rawatan yang memerlukan kos yang besar.

“Alhamdulillah permohonan kami diluluskan dan kini beban yang ditanggung kurang sedikit berbanding dahulu,” katanya yang diletakkan bawah kategori asnaf baharu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Untuk itu Mohd. Rusdi layak mendapat bantuan perubatan, kewangan bulanan serta pendidikan anak-anak.

Dalam pada itu, Che Zuhaiza mengakui sangat menghargai kehadiran suaminya di sisi dan menganggap lelaki itu sangat berbeza dengan mana-mana individu lain.

Melayari bahtera perkahwinan selama 11 tahun, ternyata bukan sesuatu yang mudah apatah lagi apabila diduga dengan penyakit yang menyebabkan keadaan kesihatannya semakin hari semakin merosot.

Bagi Che Zuhaiza, meskipun menderita dengan penyakit MS, Allah maha adil, apabila Dia membalas kebaikan-kebaikan lain kepadanya.

“Kami suami isteri diuji sebegini berat, namun itulah yang menjadi pengikat kasih sayang kami. Persefahaman kami suami isteri semakin erat.

“Dulu sebelum saya sakit, suami sangat kuat bekerja, pulang ke rumah untuk tidur sahaja jadi kurang masa untuk keluarga, berbanding hari ini kami banyak meluangkan masa bersama-sama.

“Saya melihat sendiri perubahan suami daripada tak tahu apa-apa, dia belajar semuanya. Di mana saya simpan pisau untuk memotong sayur, bagaimana nak mandikan anak, cara goreng telur dan sebagainya, memang dia bertatih. Saya bersyukur sangat mempunyai dia di sisi saya,” katanya. - Gambar FAISOL MUSTAFA