Perjalanan hidupnya yang panjang di luar negara banyak mengingatkan dirinya agar berpegang teguh pada asal usul dan tidak terleka dengan cara hidup Barat.

Sharifah Aiman percaya, sebagai individu yang tidak mahu akar umbinya menjadi ‘kabur’, dia perlu menjadikan budaya bangsa yang diwarisi menjadi cerminan identiti diri.

Bahkan baginya, seseorang yang membelakangkan asal usul mudah untuk tersasar jauh dari landasan sepatutnya.

“Saya bertuah dilahirkan dalam keluarga yang sentiasa saling mengingati tentang asal usul kami.

“Tidak dinafikan agak mencabar untuk membawa identiti Melayu di negara orang, tetapi membesar dalam keluarga yang sederhana, ibu bapa saya berjaya mendidik anak-anak agar tidak boleh melupakan asal usul kami.

“Di rumah, mereka menggalakkan kami bercakap Melayu kerana agak mudah untuk melupakan bahasa ibunda jika tidak diamalkan.

“Malah, sebahagian besar daripada kehidupan saya di UK adalah di Birmingham, daerah yang mempunyai komuniti Melayu sangat ramai, yang sedikit sebanyak membantu penguasaan bahasa Melayu saya.

“Keluarga saya pula menekankan nilai budaya dan agama Islam yang sangat tinggi. Sejak kecil lagi saya sudah dididik untuk menutup aurat dan menghadiri kelas usrah yang dijalankan oleh komuniti di sana,” katanya ketika dihubungi Mega Rona baru-baru ini.

Namun, pendiriannya sedikit goyah apabila terpaksa berpindah ke sebuah daerah kecil, iaitu Rugby di bahagian tengah England, yang mana mereka merupakan satu-satunya keluarga beragama Islam dan Islam pula tidak dikenali oleh kebanyakan masyarakat di sana.

Dia, yang mesra disapa sebagai Aimi, bergelut untuk menyesuaikan diri dengan orang sekeliling yang kebanyakan melihatnya dengan pandangan pelik.

Malah, dia terpaksa melalui fasa, yang mana hanya berpakaian warna hitam sahaja supaya rakan-rakan sekelas tidak perasan kewujudannya dan bercakap apabila perlu.

Waktu itu, Aimi berasa cukup terasing dan melalui zaman kolej berseorangan. Apabila rakan-rakan lain memilih untuk bersosial di kelab dan parti, dia hanya meluangkan masa dengan membaca buku, sehinggakan dalam tempoh setahun, berjaya menghabiskan kira-kira 500 buah bahan bacaan.

“Apabila saya berada di Rugby atau tempat-tempat lain di mana tidak ramai komuniti Islam, saya berasakan seolah-olah saya sedang direnung. Layanan masyarakat sekeliling yang teruk terhadap saya adalah disebabkan kerana saya memakai hijab.

“Pada ketika itu, saya mula mempersoal identiti saya. Saya berasa sangat rendah 
diri, rasa kurang cantik, dan pernah berhasrat untuk menanggalkan hijab semata-mata mahu diterima oleh rakan-rakan,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Menurut gadis berusia 25 tahun itu lagi, pemikirannya kembali berubah apabila dia berpeluang pulang ke Malaysia selama dua tahun untuk bertugas sebagai perunding percukaian di sebuah firma perakaunan selepas tamat pengajian di Oxford Brookes University.

Aimi mula melihat bagaimana seseorang wanita itu masih kelihatan cantik walaupun hanya berpenampilan sederhana.

“Budaya Barat membuatkan saya percaya bahawa hanya kerana saya menutup dari kepala ke kaki, saya kelihatan tidak cantik,” katanya.

Walaupun mempunyai latar belakang perakaunan, Sharifah Aiman Aljafri Syed Ihsan mempunyai bakat luar biasa dalam penulisan malah dalam proses menyiapkan sebuah buku puisi berbahasa Inggeris berjudul Glass Heart.

Bermula dengan minatnya terhadap membaca, gadis ini berasakan walaupun hanya melalui pembacaan, dia boleh menghayati sesuatu watak seolah-olah berada dalam penulisan tersebut.

Pernah menulis novel fantasi beberapa tahun yang lalu hanya sekadar mengisi masa terluang, kini Aimi memberi tumpuan kepada penulisan puisi sebagai satu cara untuk menyuarakan pemikirannya. Mengagumi karya-karya puisi oleh penulis seperti Lang Leav, Nikita Gill dan Rupi Kaur, dia mempunyai impian besar untuk bergelar penulis yang boleh menyentuh hati orang melalui kata-kata.

“Tidak dinafikan profesion saya sekarang ini sama sekali jauh berbeza dengan minat saya dalam dunia penulisan.

“Saya akui bahawa saya memilih perakaunan kerana menawarkan kestabilan kewangan dalam apa jua keadaan ekonomi.

“Penulisan adalah minat saya dan boleh dikatakan ia adalah sebahagian daripada DNA saya. Saya menganggap menulis adalah satu bentuk terapi untuk melepaskan emosi terutama apabila melibatkan hal-hal negatif,” katanya.

Jelasnya, setiap bait-bait kata yang ditulis diibaratkan seperti nota muzik yang menyuarakan keinginan jiwanya.

Dia mahu penulisannya mampu membawa pembaca melalui perjalanan emosi yang sebenar dengan meneroka nilai kemanusiaan setiap individu.

Menurut Aimi, karya Lang Leav paling menyentuh jiwanya sehingga berasakan penulis tersebut menulis puisi untuk dirinya.

“Setiap perkataan yang digunakan dalam puisi Lang Leav menggambarkan emosi saya dan saya sangat kagum bagaimana mudahnya dia mencipta puisi yang ringkas tetapi amat bermakna.

“Saya berharap saya boleh membawa ketenangan kepada orang hanya melalui perkataan yang ditulis, sama seperti Lang Leav lakukan kepada saya,” ujarnya penuh semangat.