Itu prinsip yang dipegang oleh Asisten Superintenden Razak Karim ketika mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 24 November 1979 sehinggalah bersara pada tahun 2005.

Sepanjang perkhidmatannya dengan PDRM beliau telah menempuh pelbagai pengalaman pahit manis sebagai anggota pasukan keselamatan dan antara yang tidak dapat dilupakan ialah semasa mengetuai Operasi Kelisa pada tanggal 10 Mei 1986. Ketika itu Razak bertugas dalam pasukan elit Cawangan Khas iaitu Pasukan F.

Masih segar pada ingatan beliau ketika diarahkan untuk mengetuai operasi serang hendap di Ladang Kepong Meh di Mentakab, Pahang pada tanggal 10 Mei 1986 bagi memberkas pengganas komunis dari Pasukan Kerja Bersenjata (AWF) Ke-15 Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai District Committee Member (DCM) Wong Chew Nam.

Operasi serang hendap itu merupakan kemuncak Operasi Kelisa yang telah dijalankan oleh Pasukan F hampir setahun, yang mana seorang anggota iaitu Konstabel Detektif S. Sritharan telah dihantar selama 11 bulan untuk menyamar sebagai pekerja ladang bagi melakukan kerja risikan.

Beliau yang ketika itu berpangkat Inspektor menerima arahan yang jelas untuk memastikan sekurang-kurang seorang pengganas komunis dapat ditawan hidup-hidup dalam operasi tersebut.

Razak dengan dibantu oleh Inspektor Zahaliman Jamin, Inspektor Borhan Daud, Koperal Detektif Hussain Saion, Koperal Detektif Yusof Omar, Koperal Detektif Riboet Dekin, Lans Koperal Detektif Hussin Taib dan Konstabel Detektif Mazaruddin Hamzah memulakan perjalanan ke Ladang Kepong Meh selepas menerima maklumat daripada Sritharan yang Chew Nam akan muncul di situ.

“Kami memulakan perjalanan kira-kira pukul 8 malam dengan menaiki bot getah untuk menyusuri sungai sejauh dua kilometer sebelum berjalan kaki sejauh lapan kilometer dalam suasana gelap dengan hanya berpandukan satu ‘night vision goggle’.

“Setelah beberapa jam perjalanan, kami akhirnya sampai di sebuah rumah estet dan Sritharan yang telah lama menunggu menyembunyikan kami di dalam sebuah bilik baja di dalam rumah yang didiami oleh sembilan sekeluarga itu,” katanya ketika ditemui Mega Wira di kediamannya di Kuang, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Razak, kelibat pengganas komunis itu tidak muncul pada hari pertama dan beliau serta rakan sepasukannya terpaksa meneruskan persembunyian di bilik baja yang panas serta berbau sehinggalah mereka terdengar suara Chew Nam dan pengikutnya pada sebelah malam keesokan harinya.

“Saya mengintai melalui lubang kecil dari dalam bilik baja dan nampak dua pengganas duduk di ruang tamu, manakala seorang lagi berada di dapur. Tak boleh bayangkan betapa berdebarnya perasaan saya dan rakan-rakan kerana kami tidak tahu jumlah sebenarnya pengganas yang ada di luar.

“Apabila anggota pasukan saya, Yusof membuka pintu untuk melakukan serang hendap, saya dapati ada seorang komunis lelaki duduk di kerusi bersebelahan pintu bilik dan saya terpaksa menembaknya bagi memastikan keselamatan diri dan rakan-rakan lain,” ceritanya.

Ujar Razak, beliau kemudian menerpa ke arah seorang lagi komunis lelaki yang turut berada di ruang tamu sambil memberi amaran jangan tembak kerana mengingati arahan yang diberikan untuk memastikan seorang komunis ditangkap hidup-hidup.

Namun katanya, beliau terpaksa melepaskan komunis itu bagi mengelak daripada terkena tembakan yang ditujukan ke arah lelaki tersebut.

“Selepas itu, seorang daripada pegawai dalam pasukan saya iaitu Borhan memberitahu dia terpaksa menembak pengganas tersebut kerana cuba meletupkan bom tangan yang dibawanya.

“Dua lagi pengganas wanita yang berada di dapur juga terpaksa ditembak mati kerana cuba bertindak balas,” ceritanya sambil memberitahu pengganas yang ditewaskan beliau ialah Chew Nam.

Razak yang kini berusia 59 tahun memberitahu, walaupun operasi tersebut berjaya menumpaskan empat pengganas komunis termasuk Chew Nam tetapi beliau merasakan dirinya gagal mengikut arahan untuk menangkap hidup-hidup sekurang-kurangnya seorang pengganas.

Menurutnya, yang mendirikan rumah tangga dengan Arinawati Ali pada tahun 1983 dan dikurniakan empat orang, beliau meninggalkan Pasukan F pada tahun 1986 apabila ditukarkan ke Sabah dan menjadi Ketua Cawangan Khas Daerah Tuaran.

Jelasnya, tugasannya di sana termasuklah menentang lanun serta kumpulan militan Abu Sayyaf yang mengancam keselamatan di negeri itu.

“Semasa melakukan penyamaran sebagai lanun, kami pernah juga bertembung dengan Pasukan Polis Marin yang membuat rondaan. Beberapa kali juga kami dikejar kerana dianggap sebagai lanun.

“Kemudian, pada tahun 2000 saya dipilih untuk menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kosovo sebagai pegawai penyiasat. Selama setahun di sana pelbagai pengalaman menarik saya peroleh antaranya berjaya merampas dua pistol daripada penduduk berbangsa Albania,” katanya menutup cerita.