Selain disifatkan antara pengangkutan awam yang mudah dan selesa, kesemua perkhidmatan ini pastinya digunakan oleh orang ramai.

Begitupun bagi seorang pemandu teksi, Mohamad Husairi Hasan, 46, perkhidmatan yang diberikan sejak 27 tahun lalu telah pun diperluas dalam usaha menambah pendapatan harian.

Hari ini selain mengambil dan menghantar penumpang ke destinasi yang ingin dituju, Mohamad Husairi atau mesra disapa Husairi turut menawarkan perkhidmatan kepada haiwan peliharaan, kucing.

Akan mengambil dan menghantar haiwan tersebut ke klinik haiwan, menurut Husairi, perkhidmatan tersebut mula ditawarkan sekitar September tahun lalu.

Bercerita lebih lanjut mengenai tugas baharunya itu, dia memberitahu, segala-galanya bermula apabila seorang pemilik kucing tidak dapat membawa kucing peliharaannya ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan kerana jadual kerja yang padat.

Disebabkan kucing tersebut perlu mendapatkan rawatan selama tiga hari berturut-turut, anak sulungnya, Nur Hazwani Mohamad Husairi, yang bekerja di klinik tersebut telah bertanya kepadanya sama ada boleh atau tidak bantu pemilik kucing tersebut membawa haiwan tersebut sepanjang tempoh rawatan.

Memikirkan dirinya juga seorang pencinta kucing, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini telah bersetuju untuk membantu pemilik kucing tersebut.

Tanpa disedari, akhirnya pertolongan yang dihulurkan dengan niat untuk membantu telah menjadi sebahagian daripada punca rezekinya hari ini.

“Saya sendiri mempunyai 50 ekor kucing di rumah dan sedikit sebanyak tahu mengenai haiwan peliharaan ini termasuk perangai dan penyakit yang sering dihidapi.

“Hari ini tugas saya sebenarnya tidak sekadar mengambil dan membawa haiwan-haiwan ini ke klinik kemudian menghantar pulang, bahkan adakalanya menjadi orang perantara antara doktor dengan pemilik kucing.

“Alhamdulillah, pekerjaan baharu ini bukan sekadar memberi pendapatan, malah secara tidak langsung dapat berbakti kepada haiwan dan membantu menyelesaikan masalah pemilik-pemilik kucing,” ujarnya ketika ditemui di perkarangan Klinik Veterinar Muezza, Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menawarkan perkhidmatan tersebut kepada penduduk yang tinggal di sekitar Lembah Klang, Husairi berkata, lazimnya dia akan membawa haiwan peliharaan tersebut ke klinik tersebut memandangkan dia telah dikenali dan biasa di sana.

Mengenakan bayaran minimum RM15 sama ada untuk kucing sahaja atau bersama pemiliknya, dia yang memandu teksi sepenuh masa, gembira dengan apa yang dilakukan hari ini.

Untuk itu, bagi memudahkan lagi kerja, dia menyediakan sangkar kucing dengan harga sewaan RM5 untuk menempatkan haiwan tersebut sekiranya pemiliknya tidak ikut atau tidak mempunyai sangkar kucing.

Belum pernah lagi mendapat rungutan atau rasa tidak puas hati daripada pemilik kucing mahupun penumpang biasa yang menaiki teksinya, lelaki asal Baling, Kedah, ini bagaimanapun menjelaskan, pemilik kucing perlu membuat tempahan awal.

Ini kerana, selain ingin menyusun jadual tugasan agar segala-galanya berjalan lancar, dia perlu juga memberi fokus kepada orang perseorangan.

“Tidak dinafikan permintaan untuk membawa kucing ke klinik haiwan semakin mendapat sambutan, tetapi mereka perlu membuat tempahan sehari awal.

“Sekiranya tempahan awal dilakukan, jadual kerja harian dapat disusun dan ini adalah untuk mengelakkan berlakunya pertindihan waktu atau ketika saya berada di luar kawasan,” katanya.

Akan terus memberi perkhidmatan tersebut (membawa kucing) selagi ada permintaan, diharap berharap apa yang dilakukan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pemilik-pemilik kucing kerana tidak semua pengangkutan awam menawarkan perkhidmatan tersebut.

Kepada mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan Husairi, bolehlah menghubunginya melalui talian 013-2787732. - Gambar ROSNI MASRI