Menurut Chin Lan yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Jabatan Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11), beliau bersyukur kerana pengalaman mengendalikan hampir ratusan kes berat di samping berkhidmat dengan masyarakat mendidik dirinya menjadi individu berdisiplin tinggi serta berintegriti.

Anak kelahiran Sungai Udang, Melaka ini memberitahu, pelbagai cabaran yang dihadapinya bagi membanteras jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak terutama jenayah rentas sempadan atau dikenali sebagai ‘sexual grooming’ membabitkan kes pedofilia.

Jelasnya, antara kes berat adalah Richard Huckle yang ditahan di United Kingdom sehingga berjaya membongkar kepada penglibatan kanak-kanak Malaysia dalam jenayah pedofilia.

“Ketika itu, pihak berkuasa di sana memaklumkan kepada kita bahawa mereka telah mengesan beberapa kanak-kanak perempuan yang terlibat, namun apabila kita menjejaki mangsa, kita tidak mendapat kerjasama yang baik.

“Mereka seperti menafikan dan mendakwa dilayan baik oleh Richard.

“Begitu juga berlaku kepada 11 kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa Nordin Choi iaitu seorang pesara. Ketika suspek ditahan, kanak-kanak tersebut mendakwa lelaki yang digelar ‘ayah’ itu melayan mereka seperti anak sendiri walhal mereka dijadikan tempat pemuas nafsu lelaki itu,” katanya ketika ditemui Mega Wira di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

Menurut Chin Lan, antara kenangan manis buat dirinya apabila turut terlibat dengan beberapa penggubalan undang-undang atau dasar seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Keterangan Saksi 2007 sehingga membawa kepada penubuhan Children Interview Centre (CIC) dan Victim Child Centre (VCC) bawah D11.

“Yang paling membanggakan apabila D11 turut mendapat pengiktirafan MSISO 9001-2008 kerana menepati standard pengurusan antarabangsa dalam penyiasatan kes membabitkan jenayah seksual sejak 2008 sehingga kini,” katanya.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, Ong Chin Lan tidak dapat melupakan cabaran yang dihadapi ketika melanjutkan pelajaran dalam peringkat diploma di UKM apabila anak bongsunya ketika itu jatuh sakit sehingga beliau hampir berputus asa.

Bagaimanapun, jelasnya, pengorbanan ahli keluarga terutama suaminya, Lee Jit Hing, 60, yang sanggup berkorban menjaga anak-anak dibantu oleh pembantu rumah mereka membuatkan beliau kuat sehingga mampu menggenggam diploma, ijazah dan dua sarjana.

“Sebelum melanjutkan pelajaran di Univeristi Metropolitan United Kingdom, saya sempat mengemukakan kertas cadangan kepada pihak atasan bagi mewujudkan satu pengkhususan bagi mengendalikan jenayah seksual yang sebelum ini bawah D9 yang terbahagi kepada D9A dan D9B.

“Cadangan tersebut diterima, pada 15 Mei 2007, D11 telah ditubuhkan dan saya menyertai jabatan tersebut dengan memegang pangkat superintenden sebelum dinaikkan pangkat ke asisten komisioner pada 2014 sehingga kini,” katanya.

“Ahli keluarga sangat memahami kesibukan masa demi memenuhi tuntutan tugas dan apabila mendapat arahan untuk berpindah ke Ibu pejabat Bukit Aman, saya sanggup berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur selama 12 tahun. Bayangkan setiap hari saya menaiki bas pukul 5.30 pagi dan tiba di Hentian Bas Puduraya pada 7.30 pagi kemudian berjalan kaki di Ibu Pejabat Bukit Aman.

“Mereka sanggup berkorban dan memahami tugas saya sebagai pegawai polis, jadi apa salahnya saya pula berkorban demi mereka. Bagaimanapun, saya tidak pernah menyesal kerana apa yang saya lakukan demi minat dan kecintaan dalam PDRM yang banyak membantu saya mempertingkat prestasi diri serta memperluas pengalaman,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman dalam PDRM, Chin Lan memberitahu, dia memulakan karier pada tahun 1978 di Bahagian Sokongan Teknikal Cawangan Khas Bukit Aman selepas menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) selama sembilan bulan.

Jelasnya, beliau ditukarkan ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada tahun 1983 bawah jabatan sama sebelum dinaikkan pangkat kepada asisten superintenden (ASP) serta berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang dahulu dikenali sebagai Cawangan Anti Dadah selama tiga tahun bermula tahun 1990 hingga 1993.

“Saya turut diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan seperti Ketua Unit Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) sebelum kembali ke JSJN pada 1996 serta di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) atau dikenali sebagai JSJ Perdagangan sebelum ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Ketua Unit Siasatan Jenayah Seksual (D9B) pada tahun 2000,” katanya.

 

Anugerah diterima oleh Chin Lan

  •  2016 - Anugerah Bitara Psikologi Kementerian Dalam Negeri
  •  2016 - Sijil Penghargaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
  •  2016 - Anugerah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP)
  •  2015 - Anugerah Darjah Seri Melaka (DSM)
  •  2010 - Anugerah Pahlawan Pasukan Polis (PPP)
  •  2008 - Anugerah Bintang Cemerlang Melaka (BCM)
  •  1999 - Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Melaka