Pada mulanya wanita ini berjinak-jinak dengan perniagaan tudung secara online. Pernah mendapat keuntungan sehingga lima angka sebulan, namun perniagaannya terhenti separuh jalan kerana tidak mampu bersaing dengan pelbagai jenama yang keluar bagai cendawan tumbuh selepas hujan, selain desakan ekonomi yang memaksanya mencuba bidang lain.

Mahu melihat di mana silapnya, dia mengikuti kursus perniagaan dan pemasaran bagi memantapkan ilmunya dalam bidang tersebut.

Seorang guru niaga menasihatkan dia untuk menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan kerana masih mampu mendapat permintaan pelanggan meskipun pertumbuhan ekonomi tidak begitu baik.

“Ketika itu saya melihat perniagaan perkhidmatan mencuci kusyen dan sofa mempunyai jaminan masa depan kerana dalam keadaan ekonomi sekarang, pengguna tidak mampu untuk membeli sofa dan karpet baharu atau kenderaan baharu. Mereka sudah tentu mahu beralih kepada perkhidmatan yang lebih menjimatkan.

“Saya membeli sebuah mesin mencuci serta mengambil beberapa pekerja sambilan untuk khidmat dari rumah ke rumah. Walaupun hanya mengambil tempahan pada hujung minggu dan cuti umum, perkhidmatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga saya perlu meluaskan tempahan sehingga ke Negeri Sembilan.

“Pada bulan pertama, saya berjaya mendapat kembali modal dan membeli mesin baharu untuk menampung permintaan pelanggan.

“Kini, selepas dua tahun perniagaan dijalankan, saya menjenamakan semula servis tersebut kepada Carseat Clean Expert dan fokus kepada cucian kusyen kenderaan sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Menurut ibu kepada tiga orang anak ini, dia turut mengambil ejen di seluruh Malaysia bagi mengembangkan lagi perniagaannya ke pasaran yang lebih luas.

Tidak lagi menggunakan kaedah konvensional, iaitu menanggalkan kerusi kenderaan yang mengambil masa dan memakan kos yang tinggi, perkhidmatan yang ditawarkan bermula pada harga RM70 (kereta kompak) hingga RM170 (kenderaan pelbagai guna).

Ia merangkumi cucian kusyen, karpet dan bumbung dalam kenderaan dengan menggunakan mesin khusus yang berteknologi tinggi seakan pembersih vakum.

Anak jati Kuala Lumpur ini memberi jaminan segala jenis kekotoran berat dan lama seperti najis kanak-kanak, debu, sisa makanan dan contengan mampu hilang, kecuali darah dan ‘tahi lalat’ (bintik hitam) sahaja.

Roshafiza turut memperkenal produk pembersih kediaman, Cleaner Quick & Easy beberapa bulan yang lalu sebagai penyelesaian mudah dan segera tanpa berbelanja besar.

“Mengupah khidmat pembersih profesional akan menelan perbelanjaan yang tinggi, jadi mereka buntu bagaimana untuk membersihkan kotoran fabrik pada sofa, karpet, tilam, dan barangan kulit yang tidak hilang dicuci menggunakan sabun.

“Hanya perlu disembur pada kotoran dan kemudian dilap dengan kain basah sehingga hilang. Ia sangat praktikal untuk digunakan terutama keluarga yang mempunyai anak kecil di rumah yang tidak terlepas daripada contengan dan tompokan sisa makanan pada perabot,” katanya yang menjualnya secara online pada harga RM49 sebotol.

Walaupun menjalankan perniagaan yang dipelopori lelaki, dia banyak menerima sokongan daripada suami, Hazlizal Hamzahari yang juga pengasas bersama syarikatnya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan pembersihan ini, boleh melayari laman www.carseatcleanexpert.com.my.