Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Takut isteri atau isteri menakutkan

Sifat semula jadi manusia ada pelbagai ragam. Ada kasih sayang, cinta berahi, baik jahat, takut dan menakutkan. Ada sifat yang tumbuh sendiri sejak lahir dan ada yang diasah sepanjang meniti usia kehidupan. Ada juga yang dipupuk oleh ibu bapa, jiran dan kenalan.

Untuk kali ini kita bercerita fasal takut.

Cerita fasal takut ini pun ada macam-macam. Paling ramai orang takut adalah hantu. Entah apa sebabnya orang takutkan hantu tidaklah kita ketahui. Tambahan pula mereka yang duduk di kampung. Jalan bawah pokok besar takut. Jalan dekat kubur takut. Jalan tepi semak takut. Malahan ada yang takut nak naik tangga rumah. Katanya hantu tangga suka tarik kaki orang.

Kalau takutkan ular, babi hutan, monyet, buaya atau harimau ada logiknya. Sebab binatang-binatang itu boleh membunuh manusia dan boleh dilihat. Tetapi kalau takutkan hantu, agak sukar diterima akal kerana tidak nampak. Agaknya ini pun sifat semula jadi manusia, takutkan benda yang tidak kelihatan.

Namun yang paling ditakuti manusia bukanlah hantu atau binatang buas. Terletak paling atas dalam senarai benda yang paling ditakuti ialah lembaga. Dalam hal ini bukankah lembaga hitam, atau lembaga tidak berkepala, sebaliknya Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Walaupun lembaga itu tidak datang dalam bentuk haiwan ganas atau hantu, tetapi sesiapa yang culas membayar cukai pendapatan akan gementar bila posmen datang membawa surat yang bertulis LHDN.

Namun bagi kaum lelaki, yang paling ditakuti adalah isteri. Walaupun bukan semua tetapi sebilangan daripada lelaki berkahwin takutkan isteri. Apalagi zaman sekarang, di mana kebanyakan lelaki makan dedak, tak cukup tenaga untuk bergelar Jalak.

Tetapi lelaki serupa ini suka berbohong pada kawan-kawan. Mereka tak mengaku takut isteri, sebaliknya sayang. Sayang apa ke nama kalau sekali kena jerkah, terkincit lima kali.

Sebenarnya lelaki yang takut isteri dan yang menakutkan isteri lebih kurang sama banyak. Ayat itu nampak sama, tapi tak serupa. Suami yang takut isteri adalah lelaki yang ‘termenikah’ dengan perempuan yang lebih ganas daripadanya. Macam lirik lagu P. Ramlee, “di suruh duduk, duduk, dibentak-bentak. Suaminya dulu hensem, rambut panjang dah jadi botak….”

Gelaran yang layak diberikan kepada lelaki yang takut isteri adalah dayus. Ada yang lebih kejam memberikan gelaran ‘Jalak Tak Ada Telur.’ Kalau dalam dunia ayam, jalak tak bertelur perkara biasa. Tetapi bagi manusia, memang merah padam muka kalau dikatakan ‘hang tak dak teloq.’

Lelaki yang seperti ini akan pertahankan diri dengan berkata, “maaf kawan. Aku bukan takut binilah, tapi sayang bini…”

Sebaliknya, ada juga lelaki yang memberikan jawapan agak berbeza, “Aku bukan takut bini, tapi bini aku memang menakutkan…”

Namun isteri yang takutkan suami jugak ramai. Ada seorang perempuan beritahu saya, dia tidak takut suaminya kena penyakit darah tinggi atau kencing manis. Rahmat kemajuan pesat dunia perubatan, kedua-dua penyakit itu sudah ada ubatnya.

Dia cuma takut suaminya terkena penyakit ‘darah manis.’ Penyakit ini awak tak akan jumpa ubatnya di pasaran. Farmasi paling besar pun tak ada jual. Mana-mana ‘pompuan’ yang suaminya menghidap penyakit ini, bersedialah untuk bermadu.

Ada banyak faktor menyebabkan suami takut isteri. Satu daripadanya kerana ramai suami hari ini tidak bekerja. Duduk rumah jaga anak. Suri rumah sepenuh masa. Yang cari makan isteri dia. Bukan sebab suami tu malas kerja tapi malas belajar masa sekolah dahulu.

Dapat kerja jadi tukang kebun isteri suruh berhenti. Memalukan. Isteri jadi pengarah, suami tukang kebun.

Sama dengan kehidupan seharian ayam. Jalak tak perlu cari makan. Kebanyakannya duduk dalam kandang. Tuan dia bagi makan dedak. Begitulah mudahnya jadi ayam, khususnya ayam bandar. Tak macam ayam kampung yang kena cari makan sendiri, atau makan nasi basi yang tuan dia bagi.

Kebanyakan ayam jantan hari ini tak boleh dipanggil jalak, sebab tak ada sifat-sifat jalak. Tak berani kejar ayam betina. Kalau cuba nak tenggek ayam betina akan dijerkah.

“Pigirah… macamlah dia tu kuat sangat. Hari-hari makan dedak, mana ada tenaga. Lain kali makan la jamu…”

Nak tau apa sebabnya? Macam ni… Orang bela ayam hari ini bukan untuk bertelur. Hanya untuk disembelih dan makan daging. Buat kari, goreng atau apa saja di kedai makan atau kedai makanan segera. Kalaupun ada ayam betina bertelur, bukan kerana jalak. Jalak tak ada peranan untuk telurkan ayam betina. Sebab, jalak pun tak ada telur.

Dalam dunia manusia pula, kebanyakan universiti dipenuhi pelajar perempuan. Pelajar lelaki semakin kurang. Bukan kerana orang lelaki tak pandai, tapi depa rasa tak perlu belajar untuk jadi pandai. Makanya, ramai lelaki keluar universiti sebelum masuk.

Dalam hal ini terpaksalah pelajar perempuan berlumba-lumba cari calon suami masa kat universiti lagi. Sebab depa nak calon suami yang setaraf. Sama-sama ada ijazah dan dapat kerja baik. Mat rempit atau Mat Lentok tak main la. Tak kan isteri kena bela suami lepas kahwin.

Selepas keluar universiti, orang perempuan dapat kerja bagus. Jadi pengurus, peguam, doktor, dan ada juga yang jadi CEO. Paling selekeh pun jadi GRO atau UFO.

Kalau depa tak kahwin awal-awal, susah nak cari lelaki yang berani minang mereka bila dah jadi orang hebat, atau terpaksa kahwin dengan warga asing yang tak diketahui akar umbinya.

Dalam keadaan macam ni orang perempuanlah yang sepatutnya takut pada suami. Takut kena sambar perempuan lain. Tapi kalau difikir berulang kali, memang patut suami yang macam ni takut isteri. Takut kena tinggal, alamat makan dedaklah dia. Sedangkan isteri ada kerja baik, ada gaji besar. Tak hairan kalau hidup sendirian.

Saya ada seorang kawan yang takut bini tapi tak mengaku. Nama dia Yazid (bukan nama sebenar).

Adapun si Yazid ni baru naik pangkat jadi kerani. Sebelum itu dia budak pejabat. Manakala isteri dia berjawatan penolong pengarah di pejabat yang sama.

Peliknya si Yazid ni hari-hari balik kerja lambat. Habis kerja dia akan pergi minum dulu dengan kawan-kawan sambil berborak, termasuk saya. Sampai pukul dua pagi belum balik rumah. Alasannya supaya isteri tidur dulu baru dia sampai rumah.

Suatu malam saya rasa nak tanya Yazid apa fasal dia selalu balik lambat. Isteri tak marah ke?

Dengan nada bongkak Yazid pun jawab, “berani dia marah aku? Sekali aku jerkah, terkincit seminggu.”

Dia kata lagi, “kami dah ada perjanjian sebelum kahwin lagi, dia tak ada hak marah aku walaupun aku ni budak pejabat. Sebab di rumah aku adalah suami. Dia kena ikut perintah aku kalau nak masuk syurga.”

Aku ternganga mendengar jawapan Yazid. Sebab selama ini yang aku tahu Yazid jenis lelaki takut bini.

Masa dok fikir macam-macam, sebuah kereta berhenti depan gerai kami sedang makan. Melihat kereta itu muka Yazid pucat lesi.

Turunlah seorang perempuan dari kereta itu. Kami kenal perempuan itu. Nama dia Norehan, isteri Yazid.

“Hoi Yazid….Tak reti balik rumah ka…???” Norehan bernada kasar. Wajah dia garang dan menakutkan.

“Ok yang… ok yang… abang balik sekarang…” serentak itu Yazid meluru ke motosikalnya lalu memecut laju.

Saya dan kawan-kawan lain tergelak. “Betoi la Yazid tak takut bini. Kerana bini dia memang menakutkan.”

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan