Tidak ada kesukaran yang tidak mampu dilalui apatah lagi berhempas pulas membesarkan anaknya, Ahmad Muhaimin Mohd. Yusuf, 4, terutama selepas diceraikan suami ketika anaknya baru berusia enam bulan.

Namun bagi Zalina, yang menyewa apartmen kos rendah di Taman Rawang Perdana 2, Selangor, walaupun melalui kehidupan yang sukar, bukan bererti dia perlu mengemis atau mengharapkan bantuan daripada orang semata-mata. Dia perlu berusaha mengubah nasib mereka dua beranak.

Ketika mengunjungi rumahnya baru-baru ini, ternyata keluarga itu hidup serba kekurangan. Rumahnya tidak dilengkapi perabot seperti meja makan dan sofa. Usahkan perabot, barangan elektrik juga tidak ada melainkan sebuah televisyen kecil yang agak kabur siarannya untuk hiburan si kecil.

Jelasnya, walaupun hidup susah, dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya kini mempunyai tempat berteduh berbanding kehidupannya sebelum ini yang lebih teruk.

Ketika itu ketabahannya sebagai ibu hampir lenyap, namun dia tiada pilihan lain kerana perlu meneruskan hidup demi anak.

“Saya tiada pekerjaan tetap, setiap hari terpaksa berbelanja untuk rawatan anak dan saya hampir gila memikirkan bagaimana kami anak-beranak mahu meneruskan kehidupan.

“Saya pernah disisih keluarga dan dihina orang sekeliling kerana hidup miskin.

“Lama-kelamaan saya terima dengan reda, mungkin itu cara Allah menguji sebab kita tidak tahu apa perancangan-Nya untuk kita,” ujarnya.

Tidak mahu terus meratap nasib malang, wanita ini gigih menyara keluarga kecilnya dengan berniaga secara kecil-kecilan menjual nasi lemak dan kuih karipap di hadapan Bank Islam cawangan Rawang selepas berkali-kali menukar pekerjaan.

Ujarnya, dahulu dia bekerja sebagai tukang cuci tetapi disebabkan anaknya menghidap jangkitan kuman kronik di seluruh badan ketika berusia setahun, beberapa kali Zalina menukar pekerjaan kerana perlu fokus kepada rawatan anak dan akhirnya terpaksa berhenti kerja.

“Anak saya lahir pramatang, apabila terkena jangkitan kuman keadaannya menjadi sangat teruk. Doktor pernah mengesahkan dia tidak mempunyai harapan lagi, namun saya berdoa dan berusaha berubat cara alternatif.

“Alhamdulillah dia kini sihat sedikit dan ada selera makan. Ahmad Muhaimin tidak seperti kanak-kanak lain seusianya.

“Perkembangan fizikal dan mentalnya terbantut menyebabkan saya perlu sentiasa memberi perhatian kerana khuatir jangkitan kuman yang pernah dialami, berulang.

“Memandangkan Ahmad Muhaimin bakal memasuki alam persekolahan tidak lama lagi, saya perlu berusaha untuk mencari pendapatan yang lebih baik untuk membesarkannya sama seperti anak-anak orang lain,” katanya.

Setiap hari rutin hariannya bermula seawal 6.30 pagi sehingga 2 petang berulang-alik menaiki tangga dari tingkat lima rumah membawa barang-barang jualan nasi lemak sambil mengendong anaknya itu memandangkan pangsapurinya tiada lif.

Seterusnya, dia perlu mengambil teksi yang membawanya ke bandar Rawang untuk berniaga dengan pulangan pendapatan RM40 sehari.

“Sesekali ada juga anak saya itu merengek penat dan mengantuk kerana perlu keluar awal pagi, tetapi saya tidak ada pilihan kerana tiada orang lain yang menjaganya.

“Walaupun pulangan berniaga nasi lemak tidak banyak, sekurang-kurangnya dapat juga menampung duit belanja dapur dan modal pusingan untuk berniaga keesokan harinya.

“Pernah juga beberapa individu daripada badan bukan kerajaan (NGO) menawarkan saya untuk memulakan perniagaan yang lebih baik tetapi agak sukar untuk dilakukan kerana saya tidak mempunyai kenderaan membawa barang keperluan perniagaan.

“Saya berharap hasil jualan nasi lemak ini, bolehlah saya beli kereta terpakai untuk kemudahan saya atau memulakan perniagaan lain nanti,” katanya.

Zalina kini masih berulang-alik ke hospital memandangkan anaknya yang telah disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) itu memerlukan pemeriksaan kesihatan rutin.

Di sebalik kesempitan hidup, Zalina tetap melahirkan rasa syukur apabila mendapat perhatian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM150 dan Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM250.

Menurutnya, dia masih menanti kelulusan permohonan untuk menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Tasik Teratai, Serendah, untuk mendapatkan persekitaran yang lebih baik bagi anaknya.

Bantuan boleh dihulurkan ke akaun:

  • Bank Islam 12207020164508 
ZALINA KAMARUDIN