Namun fizikalnya yang tidak sempurna akibat penyakit lemah otot, Duchenne Muscular Dystrophy membuatkan impian tersebut kelihatan kabur kerana sedar bahawa dia tidak mampu menguruskan diri dan perlu bergantung sepenuhnya kepada ibu, Norhayati Yaacob.

Disebabkan penyakit itu, ototnya di bahagian pinggang hingga kaki menjadi semakin lemah. Dia cuma boleh duduk di satu tempat dan hanya mampu menggerakkan kepala dan jari tanpa boleh melakukan pergerakan lain.

Sudah dua tahun dia tinggal di rumah selepas tamat persekolahan tingkatan lima. Rutin hariannya sama sahaja setiap hari. Bangun sahaja tidur, ibu memandikannya dan kemudian mempersiap pakaiannya.

Perlu diuruskan seperti bayi, anak muda ini juga perlu disuapkan makanan dan diberi ubat sebelum ibunya keluar bekerja. Apabila berasa bosan, remaja ini melayari internet sementara menunggu adiknya, Mohamad Dini Basyar, 13, pulang dari sekolah.

Begitulah hakikat yang terpaksa dihadapi anak sulung daripada dua beradik yang mesra disapa sebagai Syakir ini.

Dilahirkan normal, namun Syakir menghidap penyakit itu ketika berusia lapan tahun. Ibunya hanya menyedari perubahan yang berlaku kepada fizikal anaknya itu apabila melihat dia tidak lagi boleh bertinggung ketika buang air besar dan tidak mampu bangun dengan baik apabila bersolat.

Syakir terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Selepas beberapa kali ujian dilakukan, remaja ini disahkan menghidap penyakit dalam kategori jarang jumpa dan perlu bergantung dengan ubat seumur hidup.

“Saya tahu semakin hari keadaan Syakir semakin teruk. Doktor juga sudah memberitahu, lama-kelamaan hanya jarinya sahaja yang boleh bergerak kerana penyakit ini perlahan-lahan menyerang semua otot anggota badan Syakir.

“Mentalnya juga akan turut terjejas, namun saya berharap perkara tersebut dijauhkan. Hari-hari saya berdoa supaya hidup Syakir dipermudah, diberikan kekuatan untuk menguruskannya dan dijauhkan daripada segala penyakit semata-mata untuk menjaga dia.

“Alhamdulillah, setakat ini saya masih mampu mengangkatnya ke atas katil atau meletakkannya di kerusi roda secara berseorangan. Walaupun kami sekeluarga hidup serba kekurangan, saya akan pastikan melakukan yang terbaik demi Syakir,” kata Norhayati ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Sungai Buaya, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Norhayati merupakan seorang ibu tunggal yang ditinggalkan oleh suami setahun lalu.

Selain dua anak yang perlu ditanggung, wanita berusia 52 tahun ini juga turut menjaga ibu yang sakit tua dan kakak yang menghidap tiroid.

Menerima gaji sebanyak RM900 sebulan dengan bekerja sebagai pembantu kedai runcit, selain membuat kerepek secara sambilan, hampir sebahagian pendapatannya digunakan untuk kos ulang alik menghantar Syakir ke hospital.

Mujurlah permohonan elaun sara hidup daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) diluluskan dan Norhayati mendapat bantuan kewangan sebanyak RM250 sebulan selain bantuan makanan yang diterimanya secara bulanan.

Segala keperluan untuk kos perubatan tambahan yang diperlukan Syakir dan ibunya juga ditanggung oleh LZS.

Ditanya sama ada Syakir ada menyuarakan hasratnya untuk menyambung pengajian, Norhayati berkata dialah orang yang paling gembira ketika mendapat surat tawaran kemasukan ke universiti.

“Saya tahu Syakir mahu sambung belajar tetapi keadaannya sebegini tidak mungkin membolehkan dia belajar di universiti.

“Bagaimana saya mahu melepaskannya ke sana, sedangkan nak buang air besar pun saya yang perlu uruskan. Lagipun saya tak tahu kursus apa yang sesuai untuk Syakir yang hanya mampu menggerakkan jari sahaja.

“Saya nampak semangat Syakir untuk belajar sejak di sekolah lagi. Pernah ketika di sekolah menengah, Syakir ditinggalkan berseorangan di kelas kerana kelas tambahan ditukarkan ke tingkat atas. Ketika itu tiada siapa yang membantunya naik ke kelas atas.

“Bayangkan kalau terjadi perkara seperti itu sekiranya Syakir di universiti. Jadi, biarlah dia duduk di rumah, sekurang-kurangnya saya sentiasa ada di sisinya,” ujar wanita itu.

Katanya, Syakir menunjukkan minat dalam bidang komputer dan berharap anaknya itu boleh menyambung pengajian jika ada pihak yang sudi membantu Syakir merealisasikan impiannya dengan mengambil kursus pengajian secara dalam talian jika diberi peluang. - Gambar GHAZALI BASRI