Terkini Tropical Bioessence Sdn. Bhd. (TBESB) syarikat pengeluar minyak pati asli tumbuh-tumbuhan semulajadi dan popular dengan produk Sutra yang kini mencecah 89 jenis terdiri daripada aromaterapi, wangian dan perapian kesihatan membuka Sutra Shoppe ketiga di Subang, Selangor baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah. Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif 1, SME Corp, Rizal Nainy, Timbalan Presiden Kanan, Business Advisory & Development, Malaysian Bioeconomy, Nora Mohamed.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Biotechnology Melaka, Badrul Hisham Badruddin, Pengarah Urusan TBESB, Mohd Khairil Said, wakil syarikat-syarikat Bionexus dan pengedar Sutra.

Abu Bakar dalam ucapannya berkata, kejayaan pembukaan Sutra Shoppe membantu Sutra meningkatkan imejnya sebagai produk tempatan bersaing secara sihat dengan jenama antarabangsa yang mempunyai butik dan kedai di seluruh negara.

“Dalam perniagaan, pemasaran amatlah penting agar perkembangan perniagaan terus berjalan dan produk yang dihasilkan dapat dinikmati pengguna.

“Produk yang dihasilkan pula haruslah berkualiti tinggi dan setanding dengan produk antarabangsa. Malah TBESB mempunyai pelbagai pensijilan kualiti melalui produk yang mereka hasilkan.

“Justeru kejayaan TBESB dan Sutra amat membanggakan. Melalui Malaysian Bioeconomy Corporation, pihak MOSTI sentiasa memantau perkembangan syarikat-syarikat Bionexus seperti TBESB terutama yang terlibat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pengkormesialan,” katanya.

Tambahnya, TBESB adalah contoh terbaik kerana telah memulakan perniagaan berasaskan penyelidikan di Perbadanan Bioteknologi Melaka 13 tahun lalu dan berjaya mengekalkan perkembangan positifnya.

Mohd Khairil Said berkata, pembukaan francais Sutra Shoppe ketiga ini adalah bukti sambutan terhadap produk komersial tempatan semakin mendapat sambutan memberangsangkan.

“Wujudnya kedai secara fizikal ini memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri produk selain mendapat informasi lebih tepat. Mereka dapat menikmati dan meningkatkan kepercayaan sebelum membelinya.

“Promosi di dalam talian juga banyak membantu setiap produk menjadi tular atas inisiatif dan kreativiti stokis dan agen di kawasan masing-masing. Mereka bukan sekadar menjadi pengedar tetapi hampir setiap bulan dibekalkan dengan pelbagai ilmu mengenai kelebihan produk secara ilmiah dan professional,” katanya.

Khairil memberitahu kejayaan syarikat adalah hasil sokongan pihak Malaysian Bioeconomy yang membantu meningkatkan syarikatnya kepada tahap Bionexus.

Mendalami

“Berada dalam kumpulan syarikat Bionexus memberi peluang kepada kami tentang kursus perniagaan, pemasaran, promosi malahan bantuan geran sama ada di dalam negara mahu pun di peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagi pemilik Sutra Shoppe Subang, Saliza Abd. Aziz, 51, ketika ditemui berkata, beliau tertarik membuka Sutra Shoppe sejak sembilan tahun lepas kerana berminat untuk mempunyai produk jenama sendiri berasaskan aromaterapi dan mendorongnya berkenalan dengan TBESB.

“Selepas perbincangan dengan pemiliknya iaitu Khairil, saya pendamkan hasrat tersebut kerana tidak ada jaringan pemasaran yang kukuh sedangkan ia amat penting terutama orang baharu seperti saya.

“Namun cita-cita tidak terhenti begitu sahaja sebaliknya saya mendalami ilmu berkaitan asas pemasaran, pensijilan halal yang mempunyai hubungkait dengan keistimewaan tumbuhan semulajadi dan alami.

“Hasilnya saya memperolehi pensjilan bertauliah sebagai juru terapi dalam bidang aromaterapi dan melayakkan saya membuka klinik terapi di sini.

“Sebagai stokis, saya mencabar diri membuka Sutra Shoppe kerana yakin dengan kemampuan Sutra yang mempunyai strategi pengeluaran, penjenamaan dan pemasaran kukuh,” katanya.

Berkat ketekunan, Saliza yang juga arkitek dan pensyarah sambilan di UiTM cawangan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor, turut mempunyai sijil berkaitan antaranya di Comite International d’ Esthetique de commestologi (Zurich) dalam bidang kecantikan dan penjagaan tubuh.

Dalam bidang aromaterapi pula, beliau mengikuti kursus di The International Federatian of Aromatherapist IFA Dip United Kingdom.

“Kedua-dua kursus dijalankan di Kuala Lumpur tetapi tenaga pengajar dan sijilnya adalah dari negara asal,” katanya.

Saliza menambah, ramai pengguna beranggapan apabila menyebut aromaterapi, ia segera dikaitkan dengan wangian dan bauan. Hakikatnya aromaterapi yang dihasilkan dari minyak essential adalah vitamin alam dan merupakan rawatan holistik terapi tambahan kepada tubuh.

“Dalam rawatan tanpa produk seperti bekam dan akupuntur, pengguna yakin dengan kaedah yang digunakan untuk membantu melegakan tubuh. Dalam rawatan aromaterapi pula minyak adalah ejen bantuan merehatkan otak daripada tekanan.

“Bukan semua aromaterapi sesuai tetapi bergantung kepada keperluan. Misalnya seseorang yang tertekan dan sedih, kita syorkan minyak mawar, lavender atau ylang-ylang yang berasaskan bunga.

“Contohnya seseorang yang berasa sakit sendi dan tertekan dengan situasi itu, ia adalah dua ‘penyakit’ berbeza. Di klinik terapi kami menyediakan perkhidmatan mengenalpasti tekanan dan mengesyorkan jenis aromaterapi yang sesuai sebelum mengenalpasti penyakit fizikal yang dihadapi untuk rawatan lanjut,” katanya.

Saliza percaya, terapi berterusan dan tepat mampu membantu sesiapa sahaja menjalani kehidupan lebih tenang, membantu mengawal emosi, meningkatkan cara fikir dan menjalani hidup dengan positif.

“Tubuh kita mempunyai hubungkait dengan otak yang sangat kompleks untuk dirawat, tetapi dengan adanya klinik terapi sebegini, ia membantu mengenalpasti masalah, seterusnya meningkatkan kualiti hidup. Pastinya cara hidup berasakan alam adalah yang terbaik,” katanya.

Sutra Shoppe ditawarkan kepada para pengedar Sutra terutamanya yang berstatus Distribution Center (DC). Modal permulaan untuk membuka sesebuah Sutra Shoppe adalah di dalam anggaran RM80,000 yang meliputi kos pengubahsuaian, perabot (rak pameran), elektrikal, sistem pos dan produk Sutra.

Layari www.sutra.com.my, www.sutrawellness.my untuk keterangan lanjut.