Mungkin akibat runtunan perasaan yang keterlaluan menyebabkan dia tidak segan- silu meluahkan perasaannya yang berada keseorangan di katil wad respiratori berkenaan.

Sepanjang berada di situ, hanya dua keluarga sahaja yang melawatnya, itupun anak-anak saudara yang masih lagi mengingati Salim. Tetapi tidak pernah melihat pula ahli-ahli keluarga terdekat sama ada anak mahupun isterinya.

Salim terlantar selama seminggu di wad berkenaan selepas diserang penyakit asma kronik dan kerana umurnya yang telah lanjut menyebabkan dia juga mengalami sakit-sakit tua yang lain.

Apabila ditanya mengenai isteri dan anak-anaknya, Salim hanya menjawab, sehingga ke hari ini mereka tidak datang menjenguk. Mungkin katanya, akibat selalu masuk hospital, ahli-ahli keluarganya sendiri enggan menjaganya. Lagipun mereka sendiri mempunyai tugas masing-masing.

Kata Salim dia masih mempunyai isteri, berusia 35 tahun, masih cantik dan menawan. Perkahwinan mereka yang berlangsung selama 15 tahun tidak dikurniakan sebarang cahaya mata, namun Salim sendiri sebenarnya mempunyai tiga orang anak yang sudah dewasa hasil perkahwinan pertama.

“Saya berkahwin dengan isteri sekarang ketika berumur 56 tahun, ketika saya sendiri telah mempunyai isteri yang berusia 55 tahun. Waktu itu, saya bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat pemasaran.

“Biarpun pada waktu itu sudah agak berusia, tubuh saya masih tegap dan segak. Apatah lagi, sebaik sahaja mengeluarkan caruman wang persaraan ketika berusia 55 tahun, saya mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan.

“Ketika itu saya mempunyai seorang kerani sulit yang baharu sahaja masuk kerja di tempat saya. Atas kapasiti dan kredibiliti sebagai seorang eksekutif, gadis ini akhirnya dapat saya pikat dan kemudian kami berkahwin. Manakala isteri pertama, saya ceraikan yang kemudian bersama anak-anak, mereka keluar dari rumah kerana saya mahu bawa masuk isteri muda ke rumah itu.

“Hari-hari saya lalui dengan gembira kerana umpama mendapat pucuk muda kata orang. Tidak pernah saya berenggang dengan isteri muda. Duit yang ada kami joli pergi bercuti.

“Masa itu saya tidak ingat hari akan datang. Saya tidak ingat satu hari nanti saya akan tua dan sakit, tidak ingat anak-anak akan benci atas perlakuan sombong saya terhadap mereka. Tidak ingat apa akan jadi bila saya tiada duit dan tidak ingat saya perlukan mereka untuk menjaga saya.

“Setelah bercerai, nasib anak-anak dan bekas isteri tidak lagi saya ambil peduli. Semuanya saya padam dalam lipatan ingatan kerana sedang asyik maksyuk bersama isteri muda.

“Setelah beberapa tahun berkahwin, faktor usia sudah mula memberi kesannya pada saya. Orang tua, badan cepat letih, tidak larat, malas dan sebagainya. Sebaliknya isteri saya yang masih muda terus ligat. Dia semakin bebas apatah lagi perkahwinan kami tidak dikurniakan cahaya mata, jadi dia tidak terikat untuk menjaga sesiapa.

“Di luar dia semakin liar, berjumpa dengan ramai orang terutama ketika di tempat kerja. Saya pula, sejak bersara hanya terperap di rumah tidak larat untuk mengikut rentak isteri yang semakin tidak betah berada di rumah. Biasanya, awal pagi dia sudah keluar ke tempat kerja dan balik lewat malam.

“Makan minum saya tidak dihirau, semua saya urus sendiri. Berseorangan di rumah, biasanya saya makan nasi bungkus sahaja.

“Memang saya akui, saya kini tidak mampu memenuhi nafkah zahirnya kerana duit simpanan dan KWSP sudah habis digunakan ketika awal perkahwinan dulu,” katanya sayu.

Biarpun begitu kata Salim, isterinya itu tidak pernah pula menyatakan ingin bercerai. Ini mungkin sebab ibu bapa isterinya itu tidak mahu anaknya itu bercerai.

Justeru, perkahwinan yang dibina kekal biarpun pada hakikatnya isterinya tidak pernah menjaganya. Bukan itu sahaja, bila mereka berjalan berdua, isterinya akan berjalan dahulu di hadapan mungkin sebab malu suaminya tua. Apabila ke majlis-majlis tertentu, seboleh-bolehnya dia enggan pergi bersama kerana tidak mahu orang tahu dia bersuamikan orang tua sedangkan dia masih bergaya.

“Hati siapa yang tidak sakit apabila melihat isteri sendiri dipikat oleh lelaki-lelaki muda. Kadangkala saya melihat dia sengaja respon kerana mahu menyakiti hati saya.

“Banyak sebenarnya yang dia buat di belakang yang saya tidak tahu. Kini saya tidak lagi mahu memikirkan apa yang dia buat di belakang saya kerana saya sendiri tidak sihat. Saya kini hanya mahu bertenang dan mendekatkan diri dengan Tuhan,” katanya.