Bagi pasangan Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Selangor, Datuk Nasaruddin Othman, 38, dan isterinya, seorang Pegawai Dietetik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Datin Murnizar Mokhtar, 36, hidup berjauhan amat menguji perkahwinan yang didasari atas rasa cinta.

Nasaruddin yang kini Timbalan Pengerusi Koperasi Hartanah Malaysia Berhad ketika mengimbas kisah lalu berkata, dia mengenali Murnizar pada 2001 dalam satu program yang mana dirinya adalah pakar motivasi dari jabatan kerajaan dengan memberi input-input kepada satu kumpulan yang isterinya sertai.

“Setelah mata bertentang mata, saya merasakan wujud perasaan terhadapnya hingga saya jadi tidak keruan. Saya ambil keputusan mencurah perasaan dalam surat berkajang-kajang hingga mencapai 16 muka surat.

“Dalam surat itu, segala isi hati diluahkan sehingga saya berasa puas hati dan amat mengharapkan dia menerima cinta merangkap 'pinangan' dari saya.

“Alhamdulillah, agaknya sudah letih membaca, isteri saya akhirnya menerima cinta saya,” katanya ketika ditemui S2 di Bandar Puteri, Klang.

Menurutnya, selepas bernikah pada 2003, cabaran paling getir adalah terpaksa bertugas sebagai Pengetua Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Perak dan isterinya pula bertugas di Muar, Johor.

Akibat berjauhan, setiap hari Murnizar menghubungi suaminya dalam keadaan menangis sehingga adakalanya mengambil masa dua jam.

Nasaruddin memberitahu, setelah dua, tiga kali bertukar tempat kerja berbeza, akhirnya mereka bertugas di kawasan hampir sama yang mana isterinya kini bertugas di Sungai Buloh manakala dirinya di Putrajaya.

“Masa itulah, baru saya ada banyak masa untuk bersama isteri dan anak kami yang lahir pada 2006. Saya dan isteri kini dapat merasakan kehidupan seperti pasangan suami isteri lain.

“Rezeki anak agaknya. Saya mengambil keputusan berhenti kerja dengan kerajaan dan bergiat dalam perniagaan perumahan dan pembinaan sehingga kini.

“Selepas itu, banyak masa yang boleh diluangkan untuk kerja-kerja kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Klang Jaya dan Naib Pengerusi PIBG Selangor," katanya.

Sementara itu, Murnizar berkata, suaminya mempunyai sikap berani dalam melakukan sesuatu termasuk memikat dirinya, sedangkan dia seorang yang terlalu berhati-hati dan teliti dalam sesuatu perkara.

Dia menjelaskan, berpindah-randah tempat kerja amat menguji ketabahan dirinya kerana terpaksa hidup berjauhan dengan seorang yang bergelar suami dan imam setiap kali mereka bersolat.

“Sepanjang hidup dengan suami, kami amalkan solat jemaah sekeluarga walaupun ketika saya berada dalam situasi ‘sentap’ mahupun merajuk akibat perselisihan faham kecil dalam rumah tangga.

“Memang itulah ramuan kebahagiaan rumah tangga kami selama ini bersama anak, Nur Aleeya Solehah, 10,” katanya.

Dalam pada itu, dalam setahun mereka akan bercuti bersama sama ada dalam atau luar negara untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan.

“Setakat ini, kami telah melancong ke Jepun, Eropah dan menunaikan ibadah umrah di Mekah,” ujarnya.

Katanya lagi, dia boleh dianggap sebagai penasihat kepada suaminya dalam semua aspek termasuk menjadi pakar motivasi yang mengembalikan semangat perjuangan Nasaruddin yang pernah gagal dalam perniagaan dan berhadapan dengan pelbagai dugaan kehidupan.

Jelasnya yang berasal dari Tapah, Perak, suaminya seperti juga orang lain turut pernah merasai pahit manis kehidupan. Maka menjadi tugas dia untuk memastikan Nasaruddin tidak lari fokus sebagai pemimpin keluarga dan masyarakat.

“Saya mengenali dia sebagai seorang anak lelaki yang menjadi harapan keluarga. Disebabkan itu, dia perlu kekal fokus untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan.

“Alhamdulillah, setelah kami terpisah oleh ruang dan waktu, akhirnya kami bersatu di Selangor dan kini menjalani kehidupan lebih bermakna sebagai suami dan isteri,” katanya.