Sebagai contoh, sebelum mengerjakan solat, - diwajibkan mengambil wuduk terlebih dahulu sebagai satu daripada syarat sahnya.

Namun bagi, golongan wanita mereka berdepan sedikit masalah kerana terpaksa menanggalkan alat solek sebelum berbuat demikian.

Dalam masa sama, mereka juga perlu memastikan alat solek berkenaan mestilah diperbuat daripada bahan-bahan yang tidak meragukan dari aspek halal atau dengan kata lain, tidak ada ramuan yang diperbuat daripada bahan haram.

Bagi mencari mengatasi masalah itu, sebuah syarikat tempatan Flik Synergy Sdn. Bhd., yang beroperasi Technology Park Malaysia Sdn. Bhd. (TPM) Bukit Jalil menawarkan penyelesaian dengan memperkenal produk penjagaan diri yang dihasilkan daripada bahan yang tidak meragukan dari sudut halal.

Produk berkenaan dihasilkan selepas pengasasnya, Lynn Alias yang beberapa kali mengerjakan umrah, mendapati ada keperluan untuk membantu masyarakat Islam yang mengerjakan ibadah terutama untuk mengambil wuduk.

Apatah lagi beliau mendapati mereka yang mempunyai kulit sensitif dan tidak tahan kepada cuaca kering menyebabkan masalah kerengsaan dan merekah.

Justeru, melihat kepada keadaan itu, Lynn terfikir mengeluarkan produk yang yang kini diberi nama jenama Sucie. Jenama itu merupakan beberapa jenis produk antaranya termasuk perapi rambut (conditioner), pencuci muka, sabun mandian berkonsepkan sahih wuduk iaitu kerana menggunakan ramuan yang dibenarkan serta telap kepada air.

“Meskipun saya terlibat dengan aktiviti khidmat nasihat dan pembimbing dalam penubuhan syarikat selain perniagaan dalam talian, idea tercetus selepas beberapa kali mengerjakan umrah bagi membantu umat Islam menggunakan produk seperti ini,” ujarnya ketika ditemui Mega Sains di TPM Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Produk jenama Sucie itu boleh terus digunakan tanpa perlu ditanggalkan kerana ia telap air dan diperbuat daripada bahan-bahan yang mendapat kelulusan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan telah mendapat sijil halal dari jabatan tersebut baru-baru ini.

Ramuan utamanya adalah aloe vera, vitamin E dan minyak arghan tanpa mencampurkannya dengan sebarang bahan pengawet.

Beliau berkata, kilang pengeluaran produk berkenaan juga mendapat pensijilan Jakim.

Untuk tujuan yang sama, beliau juga mendapatkan sijil kelulusan dari Kementerian Kesihatan bagi membolehkan pengguna tidak ragu-ragu menggunakan produk berkenaan.

Saya juga melakukan ujian kestabilan bagi memastikan sama produk ini bertukar warna (dalam tempoh masa tertentu) atau sebaliknya.

“Saya tidak memasukkan ramuan daripada sumber haiwan, merkuri (raksa) bagi memastikan ia betul-betul halalan toyyiban,’’ ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut Lynn berkata, Sucie diwujudkan ekoran kekurangan produk seumpamanya di pasaran, yang dapat memenuhi keperluan masyarakat Islam dari segi syariat sepenuhnya.

Justeru beliau mahukan produk ini dapat menampung permintaan terhadap produk halal yang tidak meragukan dan membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau akan bekerjasama dengan TPM Biotech menerusi syarikatnya agar produk Sucie dapat dipasarkan untuk kegunaan pasaran domestik dan antarabangsa.

Syarikat berkenaan berpengalaman luas dalam bidang perniagaan sejak 2010 lagi. - LAUPA JUNUS

Suci dan bersih

Falsafah perniagaannya adalah mudah dan dimanfaatkan untuk kebaikan ummah. Lynn berkata, beliau mahu supaya masyarakat Islam mempunyai produk pilihan tanpa was-was dan selamat untuk digunakan.

Katanya, beliau mula mengeluarkan produk secara besar-besaran pada tahun lalu dengan pelaburan awal RM100,000 di kilang yang mendapatkan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan HACCP di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor dan menyasarkan kapasiti pengeluaran bagi keenam-enam produk kepada 500,000 unit sebulan.

Kilang tersebut mempunyai sijil halal dari segi pengilangan, pembotolan dan logistik.

Katanya lagi, dari segi ramuan beliau teliti memilih jenis kilang serta menguji sampel berkenaan.

Katanya, bahan ramuan seperti Arghan oil merupakan sejenis minyak dari Asia Barat yang banyak digunakan untuk melebatkan rambut selain vitamin E untuk kulit dan juga bahan pelembap.

Bahan aloe vera juga popular sebagai bahan penjagaan kulit secara semula jadi.

Kesemua bahan tersebut, beliau menjadikannya bahan asas dalam enam produk berjenama Sucie.

Mengenai pemasaran, Lynn berkata, beliau memanfaatkan perniagaan dalam talian dengan sasaran 2,000 atau hanya kira-kira 10 peratus daripada kuota umrah 200,000 setahun.

“Kita perlu mengeluarkan produk yang tidak berada di pasaran tetapi mempunyai permintaan tinggi. Kita tidak patut masuk pasaran yang sudah sibuk atau sesak,” ujarnya.