Ujar Hana, dia sudah lama menjeruk rasa terhadap suaminya, malah sejak usia perkahwinan mereka masih baharu lagi, tetapi dia tetap memendam perasaan 
dan menganggap semua itu hanya sementara dan lumrah biasa dalam kehidupan berumahtangga. Sentiasa dianggap keluarga yang sempurna oleh ramai teman-temannya, Hana hanya tersenyum kelat sekiranya mereka membayangkan begitu, merujuk kepada kehidupannya.

Menurut Hana, pada pandangan orang luar, pasti tidak akan terlihat kekurangan suaminya itu, ini kerana Hadi (bukan nama sebenar) ialah seorang yang peramah, suka bergurau dan pandai mengambil hati orang lain.

Tetapi, sebenarnya apa yang orang luar tidak tahu, selama ini suaminya tidak pernah menghargainya sebagai isteri, ibu kepada anak-anaknya malah sebagai peneman setia hidupnya.

“Hadi ini pandai berlakon dan bermuka-muka, di depan orang bukan main baik, pijak semut pun tidak mati, tetapi sebenarnya hanya aku dan anak-anak yang tahu bagaimana dia melayan kami di rumah.

“Kalau satu hari dia tidak marah pada kami anak-beranak, pasti tidak lengkap hidupnya. Ada sahaja yang menjadi punca kemarahannya. Tapi nasib kami baik, belum lagilah tangannya hinggap ke muka kami anak-beranak.

“Kalau bertanya bagaimana aku bertahan dengan suami seperti ini, apa yang boleh diberitahu ialah aku jenis orang yang memang tidak suka bising-bising. Aku tidak mahu menjawab kerana tidak mahu dia terus marah-marah. Aku selalu reda. Tetapi akhirnya inilah apa yang aku dapat. Laki sendiri pijak kepala akhirnya.

“Pelik bukan apabila di luar bukan main rajin membantu orang, tetapi di rumah sendiri dia hanya duduk melangut, tidak mahu menolong. Masa usia perkahwinan kami masih muda, semua urusan rumah aku yang buat dari menjaga anak-anak, mengambil anak dari rumah pengasuh, pergi kerja, hantar anak, memasak, membersihkan rumah, memotong rumput di belakang rumah, semuanya aku yang lakukan.

“Sampaikan aku setiap hari sentiasaa kelam kabut hendak uruskan semua benda. Kerjanya di rumah hanya tidur atau menonton televisyen sahaja.

“Sebenarnya kami anak-beranak lebih suka jika dia tidak berada di rumah. Sekiranya kelibat dia ada, kami akan menjadi canggung. Dia juga selalu 
tidak pulang ke rumah kerana keluar dengan rakan-rakannya sehingga 
berhari-hari lamanya sekiranya dia 
cuti,” katanya.

Hana memberitahu, bukan setakat kerja rumah, malah duit tuisyen anak, pelajaran anak, makan pakai anak, semuanya dia yang tanggung, kerana Hadi tidak sedikit pun menyumbang untuk keluarga.

Biarpun Hana tahu gajinya lebih banyak daripada suaminya itu, namun itu sudah tentu bukan satu alasan bagi lelaki itu tidak menghulurkan nafkah kerana itu tanggungjawabnya.

Apa yang menyakitkan hati Hana ialah sekiranya ada perkara penting yang perlu diperbincangkan, dia enggan masuk campur, tetapi apabila ada perkara yang berbangkit dia pula yang akan marah kerana perkara berkenaan kononnya tidak diberitahu kepada dia.

“Apabila anak hendak berkahwin, sudah tentu banyak persiapan yang perlu dilakukan. Di sini datang masalah kerana semua urusan kelengkapan dan persiapan aku yang lakukan seorang diri.

“Apabila diajak berbincang dia tidak mahu, apabila diajak menolong, dia tidak membantu. Segala persiapan membeli kelengkapan kahwin aku yang akan lakukan seorang diri termasuk mengangkut barang berkenaan dari kedai ke rumah. Terpaksa pula naik teksi kerana kereta dia tidak mahu dipinjamkan kepadaku.

“Selama ini aku ke mana-mana pun menggunakan kemudahan pengangkutan awam kerana katanya kereta itu dia yang punya kerana dia yang bayar. Aku pulak tidak mampu untuk membeli kereta lain kerana semua duit gaji habis ke anak-anak dan bayar duit rumah. Hanya sekiranya bertandang ke rumah saudara-maranya atau pulang ke kampung, barulah aku dan anak-anak merasa naik kereta.

“Pernah satu hari aku membeli lauk-pauk untuk simpanan seminggu di sebuah pasar borong. Hari pula hujan menunggu teksi dan bas memang lama. Aku pun menelefon suami meminta agar dia datang mengambilku dengan kereta. Dia pun datang dengan muka yang mencuka kerana katanya dia sedang enak-enak tidur dan aku telah menganggu tidurnya.

“Melihatkan barang yang berlambak di hentian bas itu, sedikit pun Hadi tidak tergerak untuk membantu, malah aku sahaja yang memasukkan barangan berkenaan ke dalam kereta dalam hujan lebat sedangkan dia sendiri tidak turun dari kereta apatah lagi memandang muka aku.

“Apa yang paling sedih, selesai memasukkan barang, dia menyuruh aku menutup pintu dan kereta itu terus bergerak meninggalkan aku terpinga-pinga di pasar borong berkenaan.

“Bayangkan keadaan aku waktu itu. Betapa sedih, marah dan malunya diperlakukan begitu. Orang di sekeliling perhentian bas memandangku dengan penuh tanda tanya.

“Setelah hujan reda aku segera menaiki bas pulang ke rumah. Apabila di rumah aku bertanyakan kepadanya kenapa dia berbuat demikian. Katanya dia ingin memberi pengajaran kepadaku agar menghormatinya yang sedang tidur ketika dikejutkan,” katanya.

Mendengar kata-kata Hadi, Hana terus diam. Hendak dikatakan merajuk, sudah lama dia menjeruk perasaan. Hendak dikatakan terluka, sudah lama dia mengalaminya.

Kini kata Hana dia sebenarnya sudah tidak kisah lagi dengan Hadi.

Lelaki itu balik atau tidak ke rumah dia sudah tidak ambil peduli. Sama ada suaminya itu makan atau tidak, dia pun sudah tidak ambil pusing lagi. Baginya sudah terlalu lama dia dihina dan 
dipijak oleh suami yang sedikit pun tidak pernah menunjukkan rasa hormat kepadanya.

“Dia ingat aku ini kuli dia agaknya. Dari makan, pakai aku yang sediakan, sedikit pun dia tidak pernah berterima kasih dan bersyukur.

“Dia ada atau tidak sama saja bagi aku. Tetapi jauh di sudut hati aku sentiasa berdoa agar dia berubah satu hari nanti.

“Aku pun sudah tiada hati dengan dia. Apa yang aku rasa gembira dalam usia-usia begini ialah anak-anak yang sudah besar dan cucu-cucu yang comel. Lantaklah dengan perangainya. Kalau dia tidak berubah, dia juga yang akan susah. Anak-anak pun sudah tidak kisah dengan dia lagi.

“Kalau dia sakit nanti, baharulah dia tahu di mana mahu mengadu nasib.

“Kami pun bukannya muda, sudah tua, Tidak lama lagi akan bersara. Anak-anak sudah besar dan sudah mempunyai cucu pun. Aku harap dia sedar dengan keadaannya dan insaf.

“Biarpun dia tidak pernah meninggalkan solat, tetapi aku ini amanahnya dan anak-anak ialah tanggungjawabnya yang selalu disebut-sebut dalam al-Quran. Aku harap dia sedar dengan apa yang dia lakukan selama ini,” kata Hana.