Mahu tidak mahu isteri harus reda, bukan tanda setuju tetapi malu dengan anak-anak dan keluarga. Bimbang pelajaran anak terjejas dan keluarga berpecah disebabkan tidak ada keikhlasan lagi dalam persaudaraan.

Demikian rasa hati seorang isteri yang mahu dikenali sebagai Juita (bukan nama sebenar) yang ingin berkongsi cerita tentang sikap suami yang tidak pernah menghargai kehadirannya sebagai isteri.

Ini cerita Juita.

“Saya seorang isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan berusia empat tahun, hasil perkahwinan dengan seorang lelaki yang sangat saya cintai sejak enam tahun lalu. Suami seorang penjawat awam.

“Rumah tangga kami sederhana, nak kata bahagia pun tidak, nak kata tidak bahagia pun tidak. Suam suam kuku, kata orang. Suami seorang yang penyayang di mata orang, tetapi saya tidak tahu kenapa dia tidak boleh menghargai diri saya sebagai isteri.

“Sejak mula berkahwin, saya wanita bekerjaya sehingga kini. Sayang belajar tinggi, jika tidak bekerja rugilah ilmu yang saya tuntut. Lagipun pekerjaan ini menjamin masa depan, andai berlaku sesuatu dalam rumah tangga.

“Semasa berkawan, suami sangat penyayang, romantik dan selalu memuji saya. Apa yang saya buat, semua dia suka dan tidak pernah merungut, andai saya ada buat silap. Setelah berkahwin dan hidup bersama, baru saya tahu perangainya yang sebenar.

“Dia menjadi panas baran, suka bercakap yang bukan-bukan kepada saya. Tindakannya sangat kasar dan selalu meninggikan suaranya. Kata-katanya tidak semanis dahulu lagi dan saya selalu memendam rasa dengan perbuatan dan kata-katanya.

“Tetapi saya bersabar kerana saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Malah dia sanggup keluarkan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya diluahkan oleh seorang suami kepada isteri di khalayak ramai.

“Kalau di luar, dia sanggup buat begitu kepada saya, bayangkan kalau di rumah. Saya dibuat macam orang gaji, disuruh buat itu dan ini dengan suara tinggi. Menjerit dan memaki hamun, kalau saya terlambat dan sebagainya.

“Lambat masak saya kena marah, lambat menjawab panggilan dia pun, saya kena marah. Semua kesalahan bukan kerana perkara besar tetapi perkara remeh yang tidak masuk akal.

“Budi baik dan ketelusan saya sebagai isteri tidak dihargai. Kadang-kadang terfikir juga, apa yang kurang lagi dalam rumah tangga kami. Kalau saya berbuat salah, dia berhak marahkan saya tetapi ini tidak, saya pun tidak tahu apa puncanya dia marah dan mengamuk tidak bertempat.

“Sayu hati saya! Kadang-kadang saya menangis apabila mengingatkan nasib saya dapat suami yang sebegitu rupa. Saya menangis melihat kawan-kawan pejabat dan sepupu yang ada suami yang sangat penyayang. Manjakan mereka dan sentiasa menurut apa yang mereka mahu, sedangkan saya makan hati dengan sikap dan layanan suami.

“Dia juga selalu kata saya suka menggatal. Tak pandai buat kerja, pemalas dan tidak pandai melayan dia. Saya hanya diam dan tidak melawan. Saya tidak mahu memanjangkan perkara ini, tidak mahu pening-pening kepala. Tapi sampai bila?

“Walau ada suami, hati saya terasa kosong. Dia langsung tidak menghargai saya. Semua yang saya buat, tidak kena di mata dia. Tetapi apabila terlintas wajah anak tunggal kami, saya tekad akan terus kuat dan bangkit untuk masa depan kami.

“Pesanan saya kepada semua suami di luar sana, hargai isteri anda walau apa pun yang terjadi.

Seperti saya sekarang menjadi seorang isteri yang sepi. Saya perlukan suami yang menyayangi saya, menghargai saya, menerima kekurangan dan kelemahan saya.

“Mungkin pengorbanan saya masih tidak seberapa untuk dihargai suami tetapi saya sudah buat yang terbaik untuk dia dan rumah tangga kami. Kalau saya silap maafkan saya, kalau saya tidak pandai, ajari saya.

“Kenapa mesti marah dan buat perangai, itu bukan cara mendidik isteri. Saya tidak akan putus berdoa supaya satu hari nanti, dia akan sedar dan kembali ke pangkal jalan.

“Saya sudah ceritakan segalanya kepada keluarga mentua tentang perangai anak mereka yang suka maki hamun saya depan orang, hina saya dan perlekeh saya. Macam biasa, mentua saya tidak pecaya anaknya buat perangai macam itu.

“Kesabaran saya ada batasnya dan saya akan bertindak jika kesabaran saya sudah sampai ke garisan penamat. Itu janji saya. Saya bagi tempoh kepada suami untuk berubah.

“Jika tidak, saya harus buat keputusan. Kalau tidak tahu menjaga dan mendidik saya sebagai isteri, elok lepaskan saya. Saya perlukan seorang imam untuk mendidik saya ke jalan Allah. Suami saya bukan imam yang saya harapkan.

“Pinta saya, sayangi saya seadanya seperti saya menyayangi dia. Saya tidak minta kemewahan pun, bahagiakan saya sebagai isteri dan ibu kepada anaknya sudah cukup. Saya bukan boneka yang boleh dibuat apa sahaja, saya manusia. Ada hati dan perasaan. Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati, saya yang tanggung sendiri. Semoga Allah makbulkan doa saya,” kata Juita menamatkan ceritanya.

Apa lagi yang saya mampu katakan. Semuanya sudah terluah dari hati Juita. Saya faham dan sangat bersimpati dengan masalah yang dialami oleh Juita.

Jika terus berdiam diri, masalah tidak akan selesai. Segala-galanya terletak di tangan Juita. Tidak ada siapa yang akan mengubah hidup anda jika anda sendiri tidak mengubahnya. Semoga suami anda berubah. Kita sama-sama doakan.

Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, isteri adalah amanah Allah, jaga dengan baik dan Allah akan kurniakan ganjaran bahagia dan rezeki yang berganda serta kebahagiaan dunia akhirat kepada mereka yang menghargai isteri.

Salam