Ini yang terjadi terhadap Salmah, 49, yang rata-rata ramai mengenali sikap suaminya, bukan kerana jasa-jasa atau sikap tawaduk lelaki itu, sebalikya kerana perangai ‘miang-miang keladi’ sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang.

Salmah sendiri tidak tahu bila perangai suaminya itu akan berubah kerana semakin umur meningkat, semakin menjadi-jadi pula perangai miangnya.

Kalau hendak diperkatakan tentang rasa malu, sudah tebal muka Salmah menahan rasa malu dengan jiran sekeliling apabila sering dikaitkan dengan perangai suaminya. Malah dia pernah mengurung diri dalam rumah bagi mengelak dicemuh masyarakat setempat.

Bukan sekali dua dia mendengar aduan dan umpatan jiran-jiran mengenai tingkah laku suaminya yang ‘mencolok’ rasa itu, tetapi apa lagi yang dia dapat buat, nasihat semua sudah diberi.

Kalau hendak ikutkan rasa merajuk, memang sudah puas dia lakukan tetapi suaminya masih juga dengan dengan sikapnya. Hendak merajuk lama-lama fikir Salmah, akhirnya tiada siapa hendak memujuk,

“Dahulu, ketika dia muda, tidaklah ketara sangat perangai miangnya itu. Paling ‘busuk’ pun dia hanya mengenyit mata kepada gadis-gadis cantik yang lalu lalang di pejabatnya.

“Sesekali, kalau kami keluar makan berdua, memang bola matanya ligat mengerling gadis-gadis cantik yang lalu-lalang. Apabila aku merajuk kerana cemburu, dia berhenti sekejap tetapi di belakang aku dia buat lagi.

“Sekarang, bukan sahaja setakat mengenyit mata, siap bersiul dan mengajak anak-anak dara di kawasan itu minum di kedai kopi. Ada juga anak dara yang melayan dan mulalah mereka berbual berjam-jam lamanya.

“Entah anak siapa yang diajak dia tidak kisah, yang pelik anak-anak gadis ini menurut pula. Mahu pula mereka duduk bersama suami aku itu di kedai kopi sambil menjamu selera, ramai-ramai satu meja.

“Aku tahu, anak-anak gadis tersebut orang luar bukan dari kawasan tempat tinggal kami. Mereka mungkin seronok apabila dipelawa suami aku, masakan tidak makan dan minum percuma.

“Setahu aku, dalam ramai lelaki di kawasan kami, dia seorang sahaja yang sudah berumur berperangai begitu. Selalu aku kata, rambut sudah beruban, perut pun sudah membuncit, sepatutnya dalam usia-usia selepas bersara ini semakin rajin ke masjid, tingkatkan amalan, bukannya berpeleseran macam lelaki muda.

“Ini tidak, asyik bermotosikal ke sana sini, hon sana sini, menyakat anak dara orang sana sini. Apabila perut lapar tahu pula balik ke rumah.

“Yang paling aku rasa menyampah apabila mengetahui, suamiku dicop sebagai muka tembok oleh masyarakat setempat kerana sentiasa berada di simpang jalan, duduk di situ memetik gitar sambil memanggil nama-nama gadis yang dikenali ketika mereka turun dari bas.

“Apabila aku tanya mengapa perangainya masih suka menyakat anak-anak dara yang boleh dianggap anak sendiri, mudah sahaja dia menjawab, sekadar suka-suka dan tidak menganggap sebagai satu perkara yang membawa kepada mudarat besar,” kata Salmah panjang lebar.

Salmah berkata, suaminya memberitahu dia hanya mahu seronok-seronok sahaja dan tidak pernah terlintas di fikiran hendak menjadikan anak-anak gadis itu sebagai kekasih hati.

Apa yang dia lakukan umpama hobi kerana gemar berpeleseran sebagaimana dia waktu muda dahulu.

Salmah pula memberitahu, biarpun suaminya bersikap begitu, pada malam hari dia tidak pula keluar dari rumah.

Kalau tidak, sekiranya ada kejadian rogol, pasti suaminya akan dilibatkan sama.

Masalahnya, menurut Salmah, dia tidak mahu satu hari nanti orang di kawasan itu jelak dengan sikap suaminya dan membuat aduan kepada polis atas dasar gangguan seksual.

Setakat ini Salmah hanya mampu berdoa agar suaminya tidaklah sampai difitnah atas kesalahan mengganggu anak-anak gadis tersebut keterlaluan.

Mendengar luahan daripada Salmah, seperti rasa tidak percaya suaminya bersikap begitu. Hendak ketawa juga ada kerana terasa lucu dengan kisah berkenaan.

Namun kesimpulannya, mungkin ini disebabkan faktor usia dan hormon dalam diri seseorang lelaki itu apabila sudah semakin tua, perangai tetap tidak berubah. Mungkin juga dia bosan kerana tiada anak melayaninya. Apa pun itu bukan satu alasan untuk dia bersikap demikian.