“Mungkin kerana kami takut kena cerai, tidak berpelajaran tinggi, tidak bercampur dan tidak ada pendedahan. Atau mungkin kerana sentiasa patuh dengan falsafah orang tua-tua, isteri mesti sabar, mesti dengar cakap suami, jangan bantah, jangan melawan. Malangnya apabila usia hampir 50 tahun kami wanita yang sabar ini diceraikan juga.’’ Demikian malangnya nasib kami. Itu cerita Puan Umi Salamah dalam pertemuan pendek kami di majlis KSIT di Bangi dan ketika kami berbual di telefon baru-baru ini.

“Dari awal lagi saya perhatikan suami saya ketika itu KM memang garang, selepas dapat anak pertama saya fikir tentu dia berubah, tapi dapat anak kedua dia jadi lebih garang. Saya jadi semakin takut, bukan takut kena marah atau dipukul, tetapi bimbangkan perangai buruknya itu boleh memendekkan jodoh kami. Saya bimbang jika terlalu marah dia mungkin boleh bertindak ceraikan saya. Maklum orang panas darah.

“Jadi demi anak anak dan demi menjaga rumah tangga dan hati suami supaya tidak terluka, saya minta izin KM pulang ke kampung, kebetulan, dia juga diperintah pindah dari rumah kelamin tempat kami tinggal ketika itu ke daerah lebih jauh lagi. Dia izinkan. Jadi cuma kurang lebih enam tahun sahaja kami duduk serumah bersama.

“Duduk kampung memang aman. Tak ada apa yang bimbangkan dan KM lagi suka sebab kami tidak bebankan hidupnya dengan masalah anak-anak masuk tadika, dan sebagainya.

“Bukan saya nak lari daripada tanggungjawab, tetapi kata KM dia mahu hidupnya lebih tenang. Dia tidak suka diganggu. OK. Jadi dua minggu atau sebulan sekali dia balik ke rumah ketika itu saya menumpang di rumah emak. Walaupun duit yang diberi tidak cukup, tapi hati saya tenang dan saya bekerja keras dengan mengambil upah menjahit pakaian. Pendapatan tak tinggi, tetapi lebih daripada mencukupi untuk kami anak beranak.

“Memang saya dapat potongan gaji setiap bulan, tetapi setiap kami balik kampung KM akan minta duit untuk makan minum dia dan duit minyak kereta. Saya terpaksa beri walaupun kadang-kadang jumlahnya banyak.

“Nak jadikan cerita dekat kampung saya ada perojek rumah murah kerajaan. Saya minta KM mohon tetapi dia tolak, katanya dia tak layak duduk rumah murah. Tetapi berapa lama saya mesti duduk menumpang di rumah emak. Dalam diam saya mohon rumah tersebut saya gunakan nama KM. Saya bayar duit pendahuluan dan ansuran bulanannya. KM akhirnya tak marah sebab saya janji akan bayar sendiri.

“Walaupun duduk bersendirian di rumah bujang yang disediakan tetapi KM tak pernah cukup duit. Perangai buruknya mula terbongkar bila surat amaran dihantar oleh syarikat koop yang meminta dia segera bayar hutang. Saya dapat tahu sebab dia gunakan alamat rumah. Dan saya dijadikan penjaminnya. Bila KM balik saya tanya dia pinjam duit untuk apa? Malangnya saya kena tengkeng. Katanya saya mesti bayar, dia tak ada duit, jika tak bayar dia akan dibuang kerja dan dia tanya apakah saya suka kalau dia kena buang kerja?

“Kerana takut KM dibuang kerja, saya terpaksa bayar, tak cukup duit pinjam pada ayah. Habis hutang syarikat koop, melarat pulak hutang bank. Bukan sekali tetapi bersilih ganti. Dan lebih kejam saya tak boleh tanya apa dia buat dengan duit tersebut, sedangkan dia duduk sendirian di rumah bujang. Tak tanggung anak-anak. Setiap kali balik rumah KM minta paling kurang RM100. Kalau tiga kali sebulan berapa? Tak masuk ansuran motornya yang dia suruh bayar.

“Walaupun beban semakin berat, tetapi semuanya terpaksa saya telan demi anak-anak yang bertambah dua orang lagi. Kalau anak-anak minta duit sekolah semua dia arahkan minta pada saya. Pada kawan dan saudara maranya dengan bangga dia beritahu dia beri duit belanja seribu sebulan pada saya, tetapi dia tak cerita pulak dia minta lebih daripada setengah untuk dirinya sendiri selain saya dipaksa bayar hutang bank, motor dan koopnya.

“Kalau dikira semula duit yang diberi daripada potongan gajinya, semuanya dia ambil semula dengan cara saya dipaksa bayar hutang-hutangnya. Saya bersyukur dengan upah menjahit saya dapat menyara makan minum kami anak beranak selain bayar ansuran rumah, bil utiliti dan perbelanjaan persekolahan anak-anak. KM tak pernah ambil tahu tentang pelajaran anak-anak. Alasannya tak sekolah tinggi pun boleh hidup.

“Lebih daripada 20 tahun lamanya saya bersabar dengan kerenah dan perangai KM yang suka berhutang yang saya tak tahu dia gunakan untuk apa. Tetapi pada kawan-kawan dan saudara maranya dia canang ke hulu ke hilir dia terpaksa meminjam bank untuk membiayai pelajaran anak-anak masuk universiti.

“Sedangkan hakikatnya dia bukan sahaja langsung tak beri duit pada anaknya, hinggakan nak hantar anak ke universiti di KL dia tak mahu, sebaliknya dia rela tidur di rumah. Sayalah terpaksa naik bas ke KL dan naik teksi untuk hantar Along. Sesen pun KM tak beri untuk buat belanja. Alasannya kerana saya mahu sangat anak masuk univeristi maka sayalah kena tanggung semuanya. Jangan minta duit dia. Demikian juga ketika anak kedua saya dapat tawaran yang sama, dia tak ambil peduli langsung.

“Nak jadikan cerita KM lebih hebat, ketika dia bersara setelah tamat tempoh perkhidmatan, dia dapat duit lebih dari RM100K. Sebelum itu janjinya dia nak bayar hutang pada saya, sebab sebelum dapat duit bersara dia masih berhutang dengan bank yang dia mesti selesaikan dahulu. Satu hari dia bawa saya berjalan, terasa pelik tetapi saya ikut juga, tapi dia bawa masuk bank. Depan seorang pegawai dia paksa saya selesaikan baki hutangnya. Bila saya kata tak ada duit, saya ditengkeng. Kerana takut dan malu, saya terpaksa keluarkan duit simpanan saya untuk selesaikan hutang dia dengan bank tersebut.

“Sedihnya dalam masa empat bulan duitnya lebih RM100K habis. Ketika itu dia terpaksa bekerja dengan syarikat pengawal keselamatan. Sebenarnya tanpa saya sedar KM bercinta dengan isteri orang. Saya tak buat tuduhan, tetapi saya ada bukti skandalnya. Kerana masih sayangkan suami, saya cari suami wanita tersebut dan beritahu aktiviti isterinya, tetapi sedihnya, lelaki itu bukan menafikan, sebaliknya merapik beritahu keluarga mereka dijaga nenek kebayan.

“Saya dapat rasakan suami wanita ini ‘di bawah kawalan’ dia sudah jadi pak turut. Kedatangan saya dikesan oleh KM, ketika itu dia beri saya taklik jika saya jumpa wanita tersebut gugurlah talak saya. Saya mengadu kepada pegawai agama, sahlah memang KM hendak ceraikan saya. Dan tak lama kemudian saya diceraikan.

“Selepas bersara skandal KM dengan isteri orang hangat dibicarakan oleh kawan-kawannya, tetapi mereka tak beritahu saya, takut saya salah faham dan tak percaya. Tetapi bangkai gajah macam mana nak sorok, saudara saya sendiri terjumpa, baru pecah tembelang. Selepas itu baru saya teliti telefon bimbitnya. Memang jelas KM sedang bercinta. Bila saya tanya KM beri amaran jangan banyak soal, kalau nak cerai dia boleh bagi.

“Kata KM dia memang dah lama nak ceraikan saya, dia tuduh saya bela hantu, dan saya boleh dipulihkan jika ikut dia pergi ke masjid jam 11 malam. Saya tanya pegawai masjid katanya malam-malam masjid tak buka. Saya hairan mengapa setelah dia bersara dan kami dah 25 tahun berkahwin, dia tuduh saya bela hantu. Sedangkan saya rasa dia yang sudah jadi bodoh, duit RM100K habis dalam masa empat bulan. Yang jelas kekasihnya isteri orang dapat kereta baru. Sebaliknya KM terpaksa bekerja jadi pengawal keselamatan untuk hidup.

“Habis bab hutang bank, satu hari KM datang ke rumah saya bawa gengster, dia halau saya keluar rumah, dan minta serahkan kunci kereta. Katanya rumah dan kereta itu atas namanya jadi dia berhak. Kerana saya enggan, berlakulah pertengkaran, KM lepaskan penumbuk ke muka saya, berjaya saya elak. Bila anak saya bertanya dan cuba halang KM pukul saya, anak saya pulak jadi mangsa penumbuk, penampar dan sepak terajang ayahnya. Alasannya kerana melawan dia. Ketika itu tanpa saya sedari saya turut memukul KM, tetapi gengsternya pula mencekek leher anak saya. Saya terpaksa bertindak selamatkan anak saya.

“Saya telefon polis dan kami dibawa ke balai buat laporan. Ketika itu KM sudah buat laporan tuduh anak saya tumbuk dia. Bagaimana seorang ayah berbadan besar boleh dipukul oleh anaknya belasan tahun dan bertubuh kecil, sedangkan KM datang ke rumah dengan gengster paksa kami keluar dan serahkan kunci kereta pada mereka.

“Memang rumah dan kereta itu nama KM, inilah kesilapan saya, kerana memikirkan saya tak bekerja, maka saya letakkan nama rumah dan kereta nama KM, sedangkan saya yang bayar setiap bulan hasil dari usaha saya mengambil upah menjahit pakaian. Dulu janji KM dia nak sewa kedai sebelah untuk saya buka kedai jahit, sebelah lagi untuk dia buka kedai baiki komputer, sekarang semua jadi abu, bila dia gilakan isteri orang yang ada ‘power.’

“Saya tak sangka inilah balasan daripada pengorbanan saya selama ini. Saya fikirkan dia boleh berubah setelah tua dan bersara, tetapi semakin menjadi-jadi. Sebab itu saya puji wanita muda sekarang berani bertindak awal setelah tahu suaminya buat hal, tidak menunggu lama macam saya. Jadi jika terbukti suami curang lebih baik bercerai. Sebab jika tak bercerai semasa muda, setelah tua nanti kita akan diceraikan juga.

Itu cerita Umi Salamah panjang lebar tentang kesabaran dan pengorbanannya yang sia-sia kerana suami ‘naik lemak’ sebab sentiasa dibantu. Jadi nasihat beliau bertindaklah jangan tunggu sampai tua, kerana akhirnya diceraikan juga.