Namun, bayangkan jika kasut yang dibeli itu bernilai tinggi atau diperbuat daripada material yang mewah seperti kulit asli, pastinya berfikir panjang juga untuk membuangnya.

Melihat potensi membaik pulih kasut kurang dikomersialkan di negara ini, Tengku Sharmizi Tengku Sharif, 39, Syahrifendi Lukmanilhakim, 35, dan Khairul Aswad Burhan, 36, mencuba nasib membuka sebuah spa membaik pulih kasut yang diberi nama Kugar Sneakers kira-kira setahun lalu.

Idea tersebut tercetus ketika mereka mengembara ke beberapa negara dan melihat banyak kedai yang menyediakan perkhidmatan spa membersihkan kasut yang jarang dapat dilihat di negara ini.

Menurut Khairul Aswad, pada awalnya, mereka agak takut kerana tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut, namun masing-masing berusaha mencari maklumat tentang perkhidmatan spa kasut.

Mereka turut mencari ‘guru’ untuk mempelajari proses membaik pulih kasut lusuh menjadi baharu.

“Kami belajar dengan individu tersebut selama sebulan, selain turut merujuk YouTube dari luar negara memandangkan mereka telah terlebih dahulu memulakan perniagaan seperti ini. Kami cuba perlahan-lahan dan mula dengan membaik pulih kasut ahli keluarga.

“Selepas beberapa bulan, perkhidmatan itu diketahui ramai kawan dan mereka turut memberi sokongan agar kami meneruskan perniagaan dengan lebih serius. Bermula dari situ kami mencari sebuah ruang untuk dijadikan kedai,” jelasnya yang menerima lebih 20 pasang kasut pada hari pertama kedai yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu, beroperasi.

Menceritakan bagaimana proses pembersihan dilakukan, ujar Khairul Aswad, pada peringkat awal operasi mereka mendapat bekalan bahan mentah daripada seorang rakan yang terlebih dahulu terlibat dalam bidang itu.

Namun, ketika ini Kugar Sneakers telah menghasilkan produk pencuci sendiri.

Jelasnya, proses membaik pulih tidak terlalu sukar namun perlu dilakukan dengan cermat dan betul agar kasut pelanggan tidak rosak disebabkan oleh penggunaan bahan pencuci yang salah.

“Langkah awal apabila kita menerima kasut pelanggan, ialah menanggalkan karat yang terdapat di bahagian tepi kasut dengan pencuci khas. Proses ini biasanya mengambil masa setengah hari kerana perlu dijemur di bawah cahaya matahari atau sinar lembayung ungu (UV).

“Selain itu, kita juga kena memastikan pemilihan berus yang betul, sama ada berus nylon atau bulu kuda. Kita kena tahu jenis material serta kotoran yang perlu dibersihkan, jika kotoran tidak dapat dibersihkan kita akan pulangkan kembali kasut kepada pelanggan.

“Biasanya, kita akan tanya pelanggan sama ada sekadar mahu membersihkan kotoran atau mewarnakan semula kasut agar nampak baharu,” jelasnya yang selesa mempromosikan perkhidmatan spa kasut itu melalui laman media sosial.

Selain menawarkan spa membaik pulih kasut, Kugar Sneakers turut menawarkan perkhidmatan membersihkan beg kulit seperti beg bimbit, dompet dan beg komputer riba, malah hampir kebanyakan beg yang diterima adalah jenama mewah termasuk Louis Vuitton, Berkin dan Channel.

Dalam pada itu, Tengku Sharmizi pula berkata, walaupun Kugar Sneakers adalah spa memulihara kasut, mereka tidak menawarkan perkhidmatan seperti mengganti tapak kasut dan menjahit kasut kulit rosak kerana tidak mempunyai kepakaran berkenaan.

Apa pun katanya, spa tersebut sangat mementingkan kualiti dan lazimnya barangan yang dihantar akan mengambil masa tiga hingga empat hari untuk proses mencuci sahaja dan mewarna pula mengambil masa 10 hari bekerja untuk disiapkan.

“Pun begitu, ia bergantung kepada jenis kekotoran dan keadaan kasut pelanggan dan kita menggunakan cat kalis air yang membolehkan ketahanan kasut itu lebih lama sebaik dibaik pulih.

“Soal harga pula, khidmat mencuci dan menggilap kasut bermula dari RM50 hingga RM75 mengikut jenis kasut dan untuk cat bermula RM100 hingga RM150, manakala untuk beg pula bermula RM150 ke atas.

“Selain itu, kami juga akan memasarkan produk pencuci kami tidak lama lagi,” jelasnya yang setakat ini telah menerima lebih 500 pasang kasut dan lebih 200 beg untuk dibaik pulih.