Menceritakan detik perkenalan itu, pasangan dua sejoli ini mula bertemu ketika menuntut di Universiti Malaysia Terengganu pada 2006. Pertemuan sering berlaku dalam program yang dianjurkan universiti tersebut.

Zulkifli berkata, dia membuat keputusan untuk menyatakan hasratnya kepada seorang ustaz, sebelum guru agama itu meminta isterinya yang juga seorang ustazah menyampaikan niatnya kepada Zairoslina.

“Saya masih ingat Zairoslina memberitahu dia telah membuat solat istikharah dan mengundang saya ke majlis perkahwinan kakaknya untuk memperkenalkan saya kepada keluarganya. Ketika itu, kami hanya teman biasa dan isteri memberitahu dia akan menerima saya sekiranya mendapat persetujuan keluarga.

“Semasa saya hadir ke majlis itu, kebetulan ada seseorang meminta saya menjadi pengapit pengantin lelaki dan dalam keadaan terkejut, saya menerimanya. Sampai sahaja rombongan pihak lelaki ke rumah pihak perempuan, seseorang meminta mana-mana wakil untuk membacakan doa sebelum pengantin bersanding,” katanya.

Tambahnya, ketika itu, Zairoslina menyuruhnya membaca doa dan dengan izin Allah, bapanya menerima saya. Namun ketika itu, saya dimaklumkan bahawa ibunya telahpun mempunyai calon menantu yang lain.

Sementara itu, Zairoslina berkata, dia hanya berserah kepada takdir dan yakin Allah mempunyai perancangan yang terbaik buat dirinya.

“Kami hanya akan bersama sekiranya mendapat sokongan keluarga dan saya membuat solat istikharah selama satu minggu. Syukur selepas solat istikharah, ibu menerima keputusan saya. Bagaimanapun, kami tidak pernah bertemu hampir dua tahun dari 2007 ke 2009 kerana belum mempunyai apa-apa ikatan.

“Dengan izin Allah, kami ditunangkan pada Disember 2009 sebelum melangsungkan perkahwinan pada 2010. Pada awal perkahwinan, kami diuji apabila terpaksa tinggal berjauhan atas tuntutan kerja,” katanya yang merupakan seorang guru.

Tambahnya, pada awal perkenalan, mereka sering membahasakan diri dengan panggilan enta dan enti yang membawa maksud saya dan awak dalam bahasa Arab.

“Oleh kerana sudah terbiasa dengan panggilan tersebut, kami terus menggunakan nama timangan itu walaupun sudah seminggu bernikah. Ayah saya menegur dan meminta kami menggunakan bahasa yang lebih mesra kerana sudah bergelar suami isteri.

“Pada awalnya, kami cuba dengan nama timangan lain iaitu ‘abang’ dan ‘sayang’, namun kadangkala ada yang terpanggil dengan panggilan lama. Jadi, kami buat perjanjian jika ada sesiapa di antara kami menggunakan gelaran ‘enta’, ‘enti’, maka dia akan didenda sebanyak RM30,” katanya sambil ketawa.

Dalam pada itu, Zairoslina berkata, dia amat bersyukur kehidupan mereka bahagia walaupun belum dikurniakan cahaya mata.

“Insya-Allah, rezeki itu ada. Semuanya telah ditentukan, cuma masanya cepat atau lambat,” katanya sambil memberitahu pada waktu senggang, mereka sering menghabiskan masa untuk membaca.

“Suami saya suka membaca dan banyak membeli pelbagai buku berkaitan agama dan perniagaan,” tambahnya.