Sebenarnya, itulah yang berlaku mutakhir ini. Ramai ibu bapa hari ini yang manjakan anaknya atas alasan dulu mereka pernah susah dan tidak mahu anak-anak pula yang merasai kesusahan. Saya masih ingat sewaktu kecil dahulu, pelepah kelapa atau getah paip selalu singgah di punggung atau belakang apabila tidak menunaikan tanggung jawab yang disuruh oleh arwah ibu. 

Rotan seringkali kena di telapak tangan apabila tidak mengulang baca al-Quran dengan betul oleh guru mengaji. Suara guru disiplin yang di hujung bangunan sudah cukup untuk membuatkan satu kelas diam dan tidak bergerak dari kerusi masing-masing. Itulah bentuk ketegasan dalam mendidik yang jika dilakukan hari ini akan berdepan dengan saman.

Kalau dalam cerita Anak Ku Sazali, seorang bapa yang kaya raya memanjakan anaknya dengan memberikan apa sahaja kemewahan kepada seorang anak tanpa sekatan dan teguran. Hari ini, keadaan sudah tidak mengira sama ada kaya atau miskin, ramai tanpa sedar memanjakan anak.

Dengan keberanian ibu bapa menyaman guru, akhirnya guru tidak berani lagi menyentuh, memarahi, mendenda dan menghukum. Anak-anak yang rosak akhlak dan dimanjakan ini akan menjadi-jadi lagi perangainya. Ini bukan sekadar merosakkan anak itu seorang, malah dia pula mula mempengaruhi anak-anak yang lain, merosakkan pelajar lain malah merekrut pula pelajar junior untuk ikut kehendak dan cara mereka. Akhirnya, generasi kita jugalah yang rosak.

Memanglah jika di ambil statistiknya jumlah pelajar yang ada masalah disiplin ini peratusannya kecil. Tetapi yang peratus kecil ini boleh bertindak dan melakukan sesuatu yang besar kesannya dalam masyarakat seperti kes membakar sekolah tahfiz baru-baru ini. Cuba semak sama ada kita lakukan perkara-perkara berikut dengan anak-anak kita. Jika ada itu maknanya anak-anak itu dimanjakan.

1 Percaya apa sahaja cerita anak tanpa tapisan.

Anak-anak pandai buat cerita atas dua sebab, yang pertama untuk menyelamatkan dirinya daripada dikenakan tindakan. Kedua, untuk tidak mengecewakan ibu bapanya atas perangai dan kesalahan yang telah dia lakukan. Anak-anak malah sanggup mereka-reka cerita dan memburukkan orang lain termasuk guru-gurunya.

Lebih-lebih lagi apabila dia lihat ibu bapa mempercayai dan menyebelahinya. Sebab itulah penting sangat-sangat ibu bapa menyemak semula apa juga cerita yang disampaikan oleh anak kepada kita. Kalau cerita itu ada kaitan dengan tindakan gurunya maka semak dengan rakan sekelas anak atau rakan baik anak akan kesahihannya. Kemudian baru semak sendiri dengan gurunya.

Apabila kita tahu cerita yang disampaikan oleh anak itu hanya rekaan maka terus jelaskan pada anak bahawa kita tahu bahawa dia sedang menipu dan nasihatkan anak bahawa tindakannya itu hanya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

2 Mempertahankan anak-anak apabila jiran mengadu tentang perangai dan tingkah lakunya.

Ada kalanya jiran-jiran ingin membantu dengan memantau anak-anak lalu melaporkan perangai dan tingkah laku buruk anak kepada ibu bapanya. Apa yang berlaku, bukan anak yang ditegur tetapi jiran itu pula yang dimarahi dan dikatakan sebagai suka menjaga tepi kain orang lain.

Ibu bapa perlu sedar yang kita tidak dapat menjaga anak-anak dua puluh empat jam sehari dan tujuh hari seminggu. Tambahan pula, bagi anak-anak yang bersekolah pagi, tengah hari mereka sudah pun berada di rumah sedangkan ibu bapa mereka pulang daripada kerja selepas jam lima petang.

Dalam ruang masa yang terluang itulah boleh berlaku pelbagai perkara kesan daripada pergaulan anak-anak dengan rakan sebayanya.

Disinilah kita perlukan jiran-jiran yang prihatin untuk tengok-tengokkan anak-anak kita. Biarlah jiran-jiran tegur dan marah anak kita apabila nampak anak berperangai buruk. Barulah anak-anak takut untuk lakukan perkara yang bukan-bukan.

3 Serang guru yang mengambil tindakan ke atas anak sedangkan tujuannya membentuk dan mendisiplinkan.

Tidak dinafikan ada guru yang gagal mengawal emosinya hingga mengambil tindakan dengan menyentuh anak atau menghukumnya dengan agak terlebih. Namun, tidak semuanya begitu. Masih ramai yang mengambil tindakan dengan niat untuk mengajar dan mendidik.

Cuba letakkan diri kita di tempat guru seketika, bukan mudah untuk mengajar dan mendidik anak-anak yang datangnya daripada pelbagai latar belakang dan berbeza perangai. Ada ketikanya, ketegasan dan kekerasan diperlukan untuk memanusiakan manusia, supaya satu hari terjaga adab dan terbentuk sahsiah diri yang cemerlang.

4 Berikan dan belikan apa sahaja yang anak mahukan.

Ramai ibu bapa yang dulunya susah dan kini ada kemampuan lalu memberikan dan membelikan apa sahaja yang diminta oleh anak-anak mereka. Sebab itulah ramai anak-anak seawal Tahun 1 sudah memiliki telefon dan gajet. Ibu bapa tidak mahu anak-anak merasa susah.

Sewaktu kecil, permintaan anak-anak juga kecil-kecil, tetapi apabila sudah besar permintaan mereka juga semakin besar. Ada yang minta dibelikan motosikal. Malah ada yang mengugut tidak mahu belajar jika permintaannya tidak ditunaikan. Itupun ramai ibu bapa yang turutkan kehendak anaknya. Anak-anak ini sudah biasadilayan dan disuap. Mereka mahu orang sekeliling termasuk guru-guru melayan mereka seperti yang dilakukan oleh ibu bapanya.

5 Kasihankan anak yang sedang tidur dan sanggup tidak bangunkan dia untuk solat Subuh.

Anak-anak terbentuk akhlaknya apabila terbentuk agamanya. Tiang agama itu solat. Sebab itulah Nabi SAW menganjurkan agar ibu bapa mengajar anaknya solat seawal usia tujuh tahun dan merotannya bermula usia anak sepuluh tahun. Maknanya, ketika anak sudah berusia sepuluh tahun maka ketegasan mula diutamakan dalam mendidik. Sebab mereka sudah mula menuju ke usia awal remaja. Disinilah ramai ibu bapa yang gagal memainkan peranan mereka. Ada yang tidak mahu kejutkan anak dari tidurnya untuk solat Subuh atas alasan belum lagi akil baligh.

6 Membiarkan sahaja anak-anak leka dan buang masa.

Anak-anak jadi pemalas dan membuang masa disebabkan ibu bapa yang gagal mendisiplinkan mereka. Di rumah, sepanjang cuti sekolah atau hari minggu apa aktiviti anak-anak? Mereka leka membuang masa dengan bermain komputer, melayari Internet, bersembang di media sosial dan seumpamanya. Ibu bapa sekarar membiarkan. Jika menegur pun sekadar mencukupkan syarat dan tidak serius dalam memberikan teguran.

Kesannya, anak-anak membesar dengan begitu banyak kekurangan. Tidak seperti mana anak-anak dahulu yang lasak, bergaul dan bermain secara fizikal dengan rakan sebaya dan belajar pelbagai ilmu kemahiran untuk hidup. Malah tidak pelik apabila ramai anak-anak, jika tidak ditegur dan dipantau guru, tidak akan siap kerja sekolahnya. Sebab ibu bapa mereka sendiri tidak pernah tahu yang anak mereka ada kerja sekolah. Apabila markah peperiksaan merosot dan anak terpaksa diturunkan ke kelas bawah, ada pula ibu bapa yang tidak puas hati lalu complain.

Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur. Sebelum ibu bapa meratapi diri atas kesilapan mereka dalam mendidik. Maka eloklah kita sama-sama melakukan pascanilai terhadap cara kita mendidik dan membesarkan anak-anak di rumah. Sebab anak-anak lebih banyak masa di rumah berbanding di sekolah. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, bagaimana cara kita mendidik begitulah hasilnya anak kita.