Menjadikan peristiwa itu lebih penting, Maitha yang mewakili UAE untuk acara taekwando kategori wanita, bukanlah wanita biasa. Beliau merupakan puteri kepada Pemerintah Dubai, Shaikh Mohammed Rashid Al-Maktoum.

Sebelum itu, pada tahun 2006, penggemar seni mempertahankan diri ini turut mewakili UAE di Sukan Asia ke-16 di Doha dalam seni mempertahankan diri berlainan iaitu karate sekali gus mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat perak untuk kategori 60 kilogram ke atas.

Seakan tidak puas dengan aktiviti lasaknya, puteri raja berusia 37 tahun itu kini bergiat aktif dalam sukan polo, malah Maitha merupakan antara pemain sukan polo wanita terhebat di dunia.

Maitha membuktikan yang seorang puteri raja juga mampu melakukan apa sahaja tanpa ada kekangan jantina apa lagi status sebagai seorang kerabat. Sekali gus, beliau juga merupakan contoh seorang puteri raja tidak semestinya ‘terkurung’ dalam konsep lemah lembut seorang puteri.

Namun, aktif bersukan bukanlah sesuatu yang baharu di dalam keluarganya. Bapanya juga aktif dalam sukan menunggang kuda yang mana ia turut dikongsi bersama adik-beradik Maitha yang lain.

Keaktifan bapanya dalam bidang sukan menjadi inspirasi buat puteri kental ini mencapai impiannya malah pilihannya itu mendapat sokongan penuh keluarga.

Menariknya, beliau mula mempelajari karate agak lewat iaitu pada usia 20 tahun namun beliau berjaya membuktikan usia bukanlah penghalang.

Sukan polo di lewat usia

Jika anda perlukan motivasi untuk mencuba sesuatu yang baru tidak kira usia dan tahap anda, Shaikha merupakan sumber inspirasi yang tepat.

Merupakan seorang yang nekad dalam melakukan sesuatu, Shaikha gemar memberi cabaran dalam kehidupannya untuk ditangani walaupun ramai yang ragu-ragu ketika beliau menubuhkan pasukan polo wanita pertama di sana kerana sukan itu sinonim dengan lelaki kerana permainannya yang kasar.

Disenaraikan antara pemain sukan polo wanita terbaik di dunia, hakikatnya Shaikha baru mendalami teknik sukan merbahaya tersebut tujuh tahun lalu pada usia 31 tahun dan terus berada di tahap yang hebat dalam tempoh yang singkat sahaja.

Malah, Maitha hanya mempelajari sukan polo sebagai salah satu bentuk rehabilitasi selepas kecederaan akibat seni mempertahankan diri yang memerlukan beliau bersara awal dari sukan tersebut.

Luar biasanya, beliau yang tidak pernah menghayunkan kayu pemukul polo, berjaya menguasai dan bertanding secara profesional dalam tempoh lima bulan selepas mempelajarinya.

Nasihatnya, beliau sentiasa mengabaikan kata-kata negatif dan bergaul dengan mereka yang berjaya supaya menjadi semangat untuk dia berusaha lebih baik.