Namun apakan daya, dia dan suami, Mohd. Thawfiq Mohd. Zulkifli, 34, terpaksa menempuh Ramadan di perantauan ekoran kekangan kerja suaminya sebagai jurutera kapal di MISC Berhad, yang kini sedang menyelesaikan projek di Hyundai Shipyard, Gunsan, Korea bagi menyiapkan beberapa buah kapal pengangkut minyak.

Korea bukanlah negara pertama, memandangkan sebelum ini mereka pernah tinggal di Jepun dan Dubai, malah suatu ketika sempat merasai pengalaman berpuasa di dua buah negara.

Menurut Sabariah yang merupakan anak ke-10 daripada 11 beradik, mereka sekeluarga telah menetap selama tiga tahun di Korea dan Gunsan menjadi daerah ketiga selepas Busan dan Geoje.

Ujarnya, suasana sambutan Ramadan di daerah itu memang jauh berbeza di Malaysia, malah hanya terdapat tujuh rakyat Malaysia berhampiran tempat mereka tinggal dan rata-rata mereka yang beragama Islam adalah warga Indonesia dan Uzbekistan.

“Jika di Dubai suasana lebih meriah kerana ramai orang Islam, namun di Korea atau Jepun suasananya tidak meriah dan hampir tidak dirasai langsung.

“Biasanya untuk mewujudkan suasana berpuasa Ramadan, kami bertukar juadah bersama kawan-kawan dan ada ketikanya kami berbuka puasa bersama,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Teknologi Multimedia, Universiti Malaysia Sabah.

Sabariah, yang kini suri rumah sepenuh masa, memilih untuk menyediakan sendiri juadah bersahur dan berbuka.

Dia bernasib baik kerana terdapat banyak kedai orang asing atau foreign mart yang menjual bahan-bahan masakan dari Malaysia, Thailand dan Arab seperti rempah-ratus dan kurma.

Biarpun lebih gemar memasak di rumah, sesekali mereka sekeluarga akan berbuka puasa di restoran Korea dengan hidangan tempatan memandangkan banyak menunya yang sesuai dengan selera mereka.

Antara hidangan yang sering menjadi pilihan seperti saengseon gui (ikan panggang), sundubu jjgae (sup tauhu pedas), jjampong (mi sup pedas makanan laut), tteokboki (kek beras), odeng (kek ikan) dan kimchi.

“Masakan Korea ada yang pedas dan rasanya pula tidak banyak beza dengan masakan Malaysia. Jika ingin bertukar selera kami sekeluarga tidak kisah berbuka dengan juadah tempatan,” jelasnya.

Ibu kepada dua anak, Rahmatullah Hidayat Mohd. Thawfiq, 5, dan Shariful Insan Mohd. Thawfiq, 2, memberitahu, anak sulungnya yang bersekolah di Lighthouse International School, Korea, pada tahun ini buat pertama kali belajar berpuasa.

“Tahun ini, saya ajar dia cuba berpuasa separuh hari supaya dia terbiasa berpuasa di perantauan. Alhamdulillah dia tidak banyak kerenah walaupun rakan-rakan lain tidak berpuasa,” jelasnya.

Tempoh berpuasa selama 16 jam iaitu dari pukul 3.30 pagi hingga pukul 7.40 malam perlu ditempuh masyarakat Islam di Gunsan, selain berpuasa dalam keadaan cuaca musim panas dan kering.

Keadaan itu membuatkan mereka perlu membataskan aktiviti di luar selain harus minum air secukupnya semasa bersahur.

Sudah pasti cabaran seperti itu hilang apabila dapat menjamah makanan dari Malaysia yang dimasak sendiri bagi menghilangkan kerinduan suasana di sana.

Cuma bahan-bahan resipi masakan ada juga perlu diubah kerana kekangan bahan mentah yang terhad tetapi rasanya tetap mengubat kerinduan hidangan-hidangan tradisi berbuka di Malaysia.

Akuinya, selain juadah-juadah enak di Malaysia, suasana menunaikan solat tarawih berjemaah di surau atau masjid juga antara yang paling dirindui kerana di Gunsan tiada suasana seperti itu.

“Di sini hanya terdapat Musolla bernama Musolla Anas bin Malik, namun majlis berbuka puasa diberi keutamaan kepada kaum lelaki, sebab itu kami memilih untuk berbuka di rumah sahaja, malah solat tarawih juga ditunaikan berjemaah bersama anak-anak dan suami,” jelasnya yang ketika ini tiada perancangan untuk pulang pada Syawal nanti kerana kekangan kerja suami.