Sebelum pameran datang ke Malaysia, koleksi ini telah dipamerkan di beberapa buah negara seperti Jerman, Sepanyol dan Qatar. Koleksi seni fotografi monokrom yang menarik ini dihasilkan oleh seorang juru gambar wanita Islam Venezuela yang dan telah menempa nama dalam bidang seni fotografi di negara Amerika Selatan itu, iaitu Laila Saab Chemekh.

Laila Saab berketurunan Arab Syria telah mendapat pendidikan di Syria dan Venezuela.

Misi beliau ingin menghubungkan budaya Islam dan bukan Islam yang terdapat di Venezuela bagi menyemai kesefahaman dan membetulkan tanggapan negatif tentang Islam.

Laila mengambil pendekatan monokrom dalam merakamkan wajah-wajah wanita Islam berketurunan Arab yang berasal dari Lubnan, Syria, Palestin dan Turki yang telah bermastautin di Venezuela selama dua dekad yang lalu.

Teknik ini ialah bagi menghasilkan kesan artistik dan mendalam.

Penggunaan medium hitam putih yang dipilih oleh Laila dalam koleksi ini berjaya mencuri pandangan pengunjung dalam menjelaskan gambaran kehidupan golongan wanita Arab di Venezuela yang menggalas tugas penting sebagai seorang isteri, ibu dan anak dalam sesebuah keluarga yang menjadi asas dalam masyarakat.

Garis dan raut wajah kaum wanita dalam koleksi ini mampu menunjukkan pengalaman dan perasaan yang lahir daripada hati mereka yang ikhlas dan luhur secara semula jadi.

Peranan wanita

Antara aspek kehidupan yang ditonjolkan oleh Laila dalam Honour Kalbi ialah peranan wanita sebagai wanita di dalam rumah dan juga sebagai seorang hamba Allah SWT yang menjalankan perintah-Nya dalam mengerjakan solat dan ibadah lain dalam membina kehidupan bermasyarakat dengan menjalinkan hubungan silaturahim di antara mereka di sana.

Kehidupan wanita sebagai pengurus rumah tangga dipaparkan dengan cantik dalam seni fotografi monokrom ini di mana suasana rumah yang penuh ketenangan dan kedamaian.

Pameran Honour Kalbi membariskan 29 keping gambar hitam putih yang menggambarkan kehidupan wanita Islam berketurunan Arab di Venezuela daripada segi pakaian harian yang menutup aurat, solat, tugas sebagai ibu mendidik anak-anak, menyediakan hidangan untuk keluarga, gelagat kanak-kanak yang menceriakan kehidupan dalam sesebuah keluarga, persaudaraan dan hubungan sosial dengan jiran dan sahabat handai.

Keluhuran dan kesucian hati yang dimiliki oleh masyarakat Islam dalam menjalani kehidupan seharian berpandukan kepada ajaran Islam yang sebenar menjamin kehidupan bertoleransi dengan masyarakat bukan Islam yang tinggal di Venezuela.

Justeru, sebagai penduduk minoriti di Venezuela, keikhlasan yang dimiliki oleh masyarakat Islam cuba dipaparkan dan dipromosikan oleh Laila dalam karya yang dihasilkan itu.

Honour Kalbi dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia sehingga 31 Mei dengan kerjasama Kedutaan Besar Venezuela di Kuala Lumpur.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman sesawang muzium di www.iamm.org.my