Oleh demikian, setiap percakapan atau berlakunya komunikasi perlulah bersama kasih sayang kerana mampu mempengaruhi sesiapa sahaja yang mendengarnya termasuklah kanak-kanak.

Berkomunikasi bersama kanak-kanak sememangnya memerlukan kemahiran dan cara yang betul kerana pertuturan antara orang dewasa dan kanak-kanak ada peradabannya.

Dalam hal ini, memberi arahan kepada kanak-kanak juga merupakan satu bentuk komunikasi atau percakapan yang sangat perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dan guru.

Ini kerana, kita sering mendengar rungutan ibu bapa atau guru, apabila kanak-kanak tidak mendengar cakap atau mengikut dan mendengar arahan yang diberikan.

Menurut Perunding Pendidikan Kanak-Kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Mahani Razali, sebenarnya bercakap dengan kanak-kanak terutama memberi arahan memerlukan seni yang tertentu dan apabila bercakap janganlah terlalu cepat.

Bertutur dengan lancar agar orang yang mendengar akan memahami apa yang cuba disampaikan.

Katanya lagi, ini menunjukkan komunikasi itu mempunyai seni dan peraturannya yang tersendiri, malah terdapat beberapa peraturan mudah yang perlu diberi perhatian oleh orang dewasa apabila bercakap dengan kanak-kanak supaya mereka boleh mengikut arahan yang diberikan.

“Untuk bercakap atau memberi arahan kepada anak-anak, kita seharusnya mendapatkan perhatian sepenuhnya daripada mereka terlebih dahulu.

“Semasa bercakap cuba minimumkan gangguan daripada persekitaran dan jika anak-anak sedang bermain minta mereka berhenti seketika.

“Elakkan daripada memberi arahan di depan televisyen dan duduklah secara berhadapan dengan mereka. Pada masa yang sama lihat mata dan sentuh atau pegang bahu mereka,” ujarnya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, semasa arahan diberikan, ibu bapa atau sesiapa sahaja harus melihat terus ke dalam mata kanak-kanak tersebut, selain berterus terang dalam setiap arahan yang diberikan dan jangan berkias dengan mereka.

Penggunaan ayat semasa komunikasi juga perlu diambil kira kerana ibu bapa dinasihatkan agar menggunakan ayat pernyataan dan bukannya ayat pertanyaan.

Ibu bapa juga seharusnya memberitahu anak-anak apa yang patut dibuat dan bukannya apa yang tidak patut dibuat dan ketika arahan diberikan pastikan kita berada hampir atau berdekatan dengan mereka dan elakkan daripada memberi arahan dari jauh.

Sekiranya hal ini berlaku (memberi arahan dengan cara menjerit atau meninggikan suara dari jauh) ia akan menyebabkan kanak-kanak beranggapan ia dibolehkan dan akan membentuk satu tingkah laku pada kanak–kanak tersebut.

Dr. Mahani turut menasihatkan ibu bapa agar memberi arahan yang jelas serta khusus mengikut tahap umur kanak-kanak tersebut.

Bagi anak-anak berusia bawah tiga tahun, beri arahan dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami, sementara bagi kanak-kanak yang lebih besar guna perkataan lebih tegas dan jelas.

Berbicara pula mengenai gaya bahasa, sudah pasti ia berbeza untuk anak-anak yang berusia tiga tahun ke bawah dan enam tahun.

Ini kerana tahap pemikiran dan kefahaman mereka berbeza. Anak yang berusia tiga tahun ke bawah, seeloknya diberi arahan dengan nada suara yang pelbagai, tidak bercakap dengan cepat, dan dibuat pengulangan terhadap arahan tersebut.

Beritahu Dr. Mahani, pengulangan dalam arahan sangat perlu, malah penggunaan laras bahasa yang mudah, ringkas serta penuh dengan perasaan kasih sayang menyebabkan kanak-kanak berasa dihargai dan memudahkan mereka mendengar dan mengikut arahan.

Seeloknya beri satu arahan pada satu-satu masa kerana anak-anak kecil memerlukan masa untuk memproses maklumat yang masuk ke dalam minda mereka. Maklumat yang mudah akan membantu kanak-kanak ini memproses dan memahaminya dengan cepat.

Sebagai orang dewasa, Dr. Mahani meminta agar ibu bapa jangan menidakkan perasaan anak, sebaliknya dalami perasaan mereka dan elak mendesak kanak-kanak untuk mengubah emosi dengan serta merta.

Pada masa yang sama, jangan lupa beri peneguhan dalam bentuk ganjaran seperti pujian kepada tingkah laku positif yang telah ditunjukkan dari arahan yang diterima.

“Sekali-sekala berilah pilihan dan bukan sekadar arahan kepada anak-anak kecil dan tunjukkan tingkah laku menghormati dan mengambil berat semasa proses berkomunikasi berlaku.

“Dengan cara ini kanak-kanak belajar menghormati, empati, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan malah mereka akan belajar mengembangkan perasaan ini melalui pengalaman dan contoh yang ditunjukkan oleh orang dewasa,” katanya.

perkara yang patut dielak oleh orang dewasa apabila bercakap dengan anak-anak

Jangan cakap terlalu banyak dalam satu-satu masa. Ia akan membuatkan kanak-kanak hilang tumpuan. Kajian menunjukkan minda manusia hanya mampu menyimpan empat perkataan dalam masa 30 saat atau bersamaan dua ayat. Jadi jangan bazirkan masa beri nasihat atau arahan yang banyak dalam satu masa pada kanak-kanak.

Elak mengkritik dan memberi pelbagai amaran atau ugutan. Situasi ini seolah-olah menunjukkan sikap ibu bapa yang terlalu mengambil berat atau helicopter parenting, yang boleh menjadikan anak-anak terlalu bergantung kepada arahan dan tidak berdikari. Sekiranya berlarutan boleh membawa kepada tingkah laku passive-aggression.

Elakkan bercakap dengan kanak-kanak sambil mata memandang ke arah lain, menjawab telefon atau membuat kerja lain.

Elakkan juga daripada berpura-pura mendengar apa yang sedang diperkatakannya. Sekiranya tidak dapat dielak beritahu kanak-kanak tersebut.