Mula dengan mencubit sedikit isi ikan siakap Rad phid atau siakap berlada bawang putih sekadar merasa tetapi rasanya yang unik dan berbeza daripada siakap tiga rasa yang biasa dihidangkan menyebabkan separuh ikan habis diratah.

Green kari atau kari hijau dengan rasa unik beserta terung rembang membuatkan diri seperti berada di Thailand. Selain itu pelanggan juga boleh merasai keenakan somtam.

Di Restoran Lazathai yang terletak di Pusat Komersial Parklane, Kelana Jaya, Selangor, pelanggan boleh merasai kesedapan masakan asli dari Patani dan Narathiwat yang unik, aroma yang memikat dan keenakan yang sentiasa mengecurkan selera. Dan jangan lupa minuman teh hijau dan air serai segar ditambah lemon.

Di sini pelanggan boleh memilih Tamarind prawn, Phad ped daging, phad thai tanpa melupakan hidangan utama tomyam yang merupakan antara menu yang mendapat sambutan mengalakkan. Pemiliknya Mohd Mazlan Baharuddin dan isteri Nurhayati Md Rais menyediakan lebih 60 hidangan masakan Thailand dengan pelanggan boleh memesan makanan bermula jam 12 tengah hari sehingga 1 pagi.

“Semua masakan panas Thailand ini disediakan oleh tiga orang tukang masak yang dibawa khas dari Narathiwat bagi mengekalkan rasa autentik dan kualiti rempah-ratus daripada komponen aromatik yang wangi juga dibawa terus dari sana,” kata Mazlan.

Bagi mengekalkan keenakan rasa asli masakan dari negara gajah putih bukan sesuatu yang mudah jika tidak mendapat sokongan daripada keluarga.

Nurhayati menambah, restoran Lazathai merupakan kesinambungan kepada perniagaan restoran keluarganya, Amira Nabila Tomyam yang mempunyai tiga cawangan di Gemas, Negeri Sembilan dan telah beroperasi sejak 25 tahun lalu.

“Keenakan menu diwarisi daripada kemahiran ibu saya Rohana Mat Rafi yang berasal dari Narathiwat dan berhijrah selepas berkahwin dengan ayah , orang kelahiran Negeri Sembilan.

“Kini ibu saya mempunyai hampir 60 orang pekerja dan kakitangan bagi melancarkan perniagaannya,” katanya.

Selain hidangan masakan Thailand, restoran ini turut menyediakan hidangan masakan nasi campur bermula jam 12 tengah hari sehingga 2.30 petang.

Pelanggan boleh memilih masakan kampung terutama dari Negeri Sembilan hasil air tangan Mazlan anak kelahiran Negeri Sembilan.

Antara menu yang boleh dipilih adalah pelbagai masak lemak cili padi dan ikan belada selain menu yang ditukar setiap hari.

Sebelum membuka restoran pasangan suami isteri ini menjalankan perniagaan penghantaran makanan atau food delivery di sekitar Lembah Kelang menggunakan khidmat dalam talian atas nama Thai Food for You.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan sehingga kini kami masih menerima tempahan makanan dari pelanggan setia,” katanya yang berhenti kerja sejak empat tahun lalu selepas melahirkan anak.

Selepas itu dua tahun Nurhayati membantu ibu di restorannya dan di sana dia menimba pengalaman menyediakan masakan serta selok belok perniagaan.

“Saya bertuah kerana suami juga suka memasak dan kami sepakat membuka restoran dan sambutan terhadap menu yang disediakan sangat menggalakkan dan kami bercadang menambah hidangan masakan Barat tidak lama lagi,” katanya.

Restoran itu yang boleh memuatkan 90 hingga 120 orang pada satu-satu masa sentiasa menerima tempahan untuk pelbagai majlis seperti hari jadi dan perkumpulan.

Restoran Lazathai

G-G-5 Pusat Komersial Parklane,

Jalan SS7/26A, Kelana Jaya,

47301, Petaling Jaya,

Selangor.

(di belakang Kelana Jaya Medical Centre)

No telefon: 013-6974796

FB: Thai Food For You /Lazathai

IG: Thai Food For You/Lazathai

Waktu operasi : 12 tengah hari hingga 1 pagi setiap hari kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.