“Tetapi kata kawan, dugaan saya tidak seteruk gelombang rumah tangga yang dilalui oleh wanita yang  masih muda. Mereka diceraikan ketika anak-anak masih kecil yang perlu mereka tanggung, sementara suami tidak beri nafkah. Sedangkan dugaan saya pada penghujung usia ini tidaklah teruk sangat kerana anak-anak sudah dewasa dan boleh berdikari.’’ Namun pada saya makin lama kita berkahwin lebih banyak masalahnya,’’  Itu cerita Puan Nurhayati dalam e-mel pendeknya dan ketika kami berbual.

“Benar saya tidak hadapi masalah tanggung anak-anak, pertama anak saya cuma dua orang, seorang di IPTA seorang lagi sudah bekerja. Namun masalahnya tetap teruk, mungkin wang bukan mendatangkan kerisauan, tetapi perasaan, tekanan jiwa, dan pembahagian kasih sayang terlalu rumit untuk diselesaikan.

“Saya kahwin dengan Raslan lebih 25 tahun lalu, kini usia kami dah masuk angka lima siri, dah tua. Sepanjang perkahwinan hidup kami tidak banyak dugaan, yang kecil-kecil semua boleh kami atasi, anak tak bawa masalah, jadi hati saya tidak pernah dilanda kerunsingan, segalanya tersedia, walaupun saya juga berbelanja untuk keluarga. Namun itu semua bukan masalah, asalkan Raslan tidak buat masalah dan setia kepada saya.

“Pada saya kalau Raslan tak suka balik kampung saya, tak mahu bermesra dengan keluarga saya pun itu bukan masalah. Kerana pada saya biasalah suami kita orang luar dia tak faham keluarga kita tentulah dia tak rapat, terutama dengan adik beradik dan ipar duai saya.

“Tahun pertama kahwin sahaja Raslan mahu tidur semalam di rumah emak saya, tahun kedua sampai sekarang, dia memang tak suka balik kampung saya. Biasanya ketika anak-anak kecil dahulu, dia akan hantar saya balik kampung kemudian dia balik ke rumah emak ayahnya. Walaupun adik beradik tak berapa suka dengan perangainya, tetapi pada saya itu bukan masalah yang penting asalkan dia izinkan saya balik kampung itu sudah baik.

“Awalnya memang adik beradik dan saudara mara bercakap pasal perangai Raslan, tetapi akhirnya mereka diam, sebab tahu itu perangainya dan saya pulak tak complain. Kata emak asalkan saya bahagia itu sudah cukup.

“Raslan tak pernah pergi kenduri kendara apa lagi perkahwinan kaum keluarga saya, tetapi saya mesti dan wajib hadir dalam sebarang majlis keluarganya. Kadang tu Raslan kena keluar belanja untuk kenduri emaknya, tapi pada saya apa salahnya, itu tanggungjawabnya. Inilah pengorbanan besar saya selama lebih  25 tahun kami berkahwin.

“Satu kebaikan Raslan dia tak lupa tanggungjawab beri makan minum pada anak-anak, tetapi syaratnya saya mestikan serahkan pendapatan saya padanya. Kedua tak boleh ada ramai anak. Kata Raslan kita nak cari anak yang berkualiti bukan kuantiti. Kalau anak ramai bawa masalah buat apa? Saya mengikut saja. Untuk itu pelbagai cara saya terpaksa lakukan untuk tidak dapat ramai anak. Saya berkorban demi kebahagiaan Raslan. Sebab itu anak kami cuma dua orang.

“Kerana arahan Raslan juga, anak-anak tidak mesra kalau balik kampung saya, mereka lebih rela duduk di rumah daripada ikut saya balik kampung sama ada untuk majlis kenduri, perkahwinan mahupun hari raya. Biasanya saya balik sendirian. Kerana Raslan juga tidak galakkan anak-anak balik kampung, biar mereka belajar untuk masa depan.

“Itulah perjalanan hidup saya sepanjang 25 tahun berkahwin. Kerana terlalu beringat, berjimat cermat kami dapat beli rumah yang luas dan selesa, dan sebuah kondo. Kata Raslan bila tua nanti kami akan duduk di condo untuk kami berdua saja, rumah untuk anak-anak supaya mereka boleh bina kehidupan baru bersama keluarga mereka nanti. Kalau mereka tak mahu kami jual.

“Pendek kata Raslan telah atur kehidupan kami cukup baik dan sempurna itu yang saya yakin dan percaya kepadanya. Tetapi siapa boleh menduga, kita manusia hamya merancang,  Allah yang menentukan. Ketika usia bertambah lanjut dan ketika kegembiraan berada dipuncaknya kerana anak sudah bekerja dan masuk IPTA tup-tup saya dapat berita Raslan ada kekasih.

“Rupanya Raslan sudah lama bercita-cita dan merancang untuk kahwin lagi, hanya saya yang tidak tahu. Kerana saya percayakan dia seratus peratus.

“Pada awalnya, saya tak percaya berita Raslan nak kahwin lagi. Kawan yang beritahu mulanya  takut-takut nak cerita pada saya. Katanya sudah lama mereka tahu, tetapi mereka tidak sampai hati nak beritahu saya, sebab saya terlalu percayakan Raslan. Malah mereka juga bimbang kalau saya melenting dan marahkan mereka pula. Ialah umur dah tua dan dekat nak pencen takkan suami sanggup tinggalkan saya untuk kahwin lagi.

Kahwin lagi

“Bila saya tanya Raslan tentang kebenaran berita yang saya dengar, dengan selamba Raslan berkata; “kalau saya kahwin pun apa salahnya? Sebab saya mampu zahir dan batin. Saya sudah sediakan segalanya untuk kehidupan awak. Awak cuma izinkan saya kahwin lagi!’’ Terkejut beruk saya dengar pengakuannya. Saya tak terfikir dia menjawab dengan selamba.

“Ketika itu hanya air mata yang keluar, saya kehilangan suara. Lemah tubuh badan, langsung tidak ada kekuatan. Saya terduduk. Kerana saya langsung tak percaya Raslan boleh menganiaya saya seperti ini. Kerana saya menangis dan tidak bersuara, Raslan terus beritahu dia akan kahwin sama ada saya izinkan atau tidak! Katanya lagi sudah sampai masanya dia mahu bahagiakan hidupnya, kerana selama ini dia berkorban untuk membahagiakan saya. Lantas dia tinggalkan saya sendirian dalam tangisan.

“Malam itu Raslan tak balik rumah. Kalau dulu dia tak balik saya tak kisah, tetapi kali ini saya syak dia mesti bersama kekasihnya. Saya tak tahu apa harus saya lakukan, saya bingung. Tanya anak-anak mereka bersimpati tetapi tidak tahu apa perlu dilakukan.

Yang si abang terdiam, yang si adik termenung. Saya tak tahu pada siapa saya nak mengadu.

“Nak mengadu pada emak sudah meninggal, mengadu pada adik-beradik, hubungan saya dengan mereka renggang. Bukan kerana saya tak sukakan mereka, tetapi kerana saya ikut arahan Raslan pinggirkan adik beradik, sebab mereka hanya akan menyusahkan hidup kita. maka tak hairanlah mereka juga tidak ambil peduli kehidupan saya.

“Nak bercerita dengan kawan-kawan, saya tak ada kawan rapat, sebab selama ini saya hanya hambakan diri pada Raslan dan ikut arahannya. Kata Raslan berbaik dengan adik beradik ada batasnya, kalau tidak kita akan terikat dan sentiasa menolong mereka yang mengadu susah. Adik beradik lebih banyak menyusahkan, kata Raslan. Saya patuh. Kini setelah Raslan tinggalkan saya kepada siapa saya nak mengadu?

“Kini baru saya sedar dan ingat kembali nasihat emak, kata emak; “sayangkan suami ada batasnya, sebab hubungan isteri dengan suami ada tali, bila bila masa suami boleh potong tali. Boleh buat kita jatuh terhempas atau terbelit,’’ Kini baru saya faham apa makna kata-kata emak, tetapi semuanya sudah terlambat. Saya benar-benar sendirian hadapi masalah ini.

“Bila saya lihat keliling baru saya sedar saya tidak ada simpanan, sebab selama ini semua pendapatan saya serahkan kepada Raslan untuk uruskan keluarga. Kini baru saya tahu, harta yang saya ada cuma sebuah kondo yang masih terhutang, atas nama saya. Tetapi rumah milik Raslan sendiri. Dulu Raslan pernah beritahu dia ada beli tanah di kampungnya, malah rumah pusaka emaknya juga Raslan beli daripada adik beradiknya.

“Bila termenung sedarlah saya bahawa saya tidak memiliki apa-apa. Kebahagian berumahangga yang saya harapkan cuma sementara. Raslan telah atur startegi bahagiakan dirinya sendiri. Selain duitnya hanyak, hartanya juga terkumpul. Yang rugi saya kerana selama ini jadi Pak Turut.

“Sebelum berkahwin, saya merayu pada Raslan fikirkan masa depan kami anak beranak, jawapan Raslan mudah, dia tak buang saya sebaliknya tempatkan saya di kondo yang dibeli atas nama saya, anak-anak tak terabai, mereka sudah bekerja dan ada pelajaran. Insya-Allah mereka boleh berdikari tak jadi mat rempat atau merempat. Dia telah atur semua yang terbaik untuk kami, sekarang dia hendak fikirkan masa depannya dia mahukan kebahagiaan untuk dirinya.

“Awalnya saya enggan pindah saya sedia bermadu, tetapi kata Raslan dia tak mahu lihat saya  kecewa, dan isteri barunya enggan bermadu. Jadi demi kebahagiaan lebih baik saya duduk sendiri, anak-anak bebas untuk duduk bersama saya atau dengan dia.

Saya benar-benar kecewa kerana tidak ada simpanan hari tua kecuali KWSP. Namun  saya reda. Saya serahkan kepada Allah jika ini suratan tadir saya. Namun saya kesal kerana bodohkan diri sendiri.

“Walaupun  saya sudah tiga tahun diceraikan, saya disuruh pindah duduk kondo, isteri baru Raslan tinggal di rumah kami bersama anak-anak. Saya tak tahu bagaimana nak bantah, sebab tak ada kawan boleh tolong beri nasihat. Lagi pun saya malu pada kawan sebab selama ini saya kira saya paling bahagia hidup bersama Raslan.

“Rupanya saya tertipu di sebalik kebijaksanaan tipu helah manusia yang pandai merancang untuk masa depannya yang lebih baik.’’ Itu luahan hati Nurhayati untuk menghilangkan kesedihan di jiwa di samping mencari ketenangan jiwa. Sedihnya masih ada wanita terpelajar yang tertipu kerana percayakan cinta.