“Namun apa yang ingin saya ceritakan bukan tentang masyarakat, tetapi lebih kepada kehidupan saya yang datang dari dua negeri berbeza budaya dan tutur kata. Contoh orang negeri utara bercakap agak sukar difahami oleh orang dari selatan, apa lagi jika dari Pantai Timur, mahupun Sabah dan Sarawak.’’ Itu cerita Hanijuwita ketika kami bertemu.

“Nak dijadikan cerita saya orang selatan berkahwin dengan orang Pantai Timur. Saya bukan sahaja tak faham budaya mereka, malah bahasa mereka yang teruk-teruk itu memang susah nak faham. Jadi bila sekali-sekali ikut suami balik kampungnya, saya jadi macam orang ulu, mendengar tetapi tak pernah faham apa perbualan mereka.

“Lebih teruk lagi perangai mentua saya dan anak-anak gadisnya bila bercakap, macamkan berbisik, hinggakan saya tak terdengar apa yang mereka katakan. Paling teruk kalau bercakap sama ada tengah marah atau bertanya seperti orang berbisik, bukan bercakap, langsung tak dengar, cuma mimik muka menunjukkan mereka tengah marah. Suara tak dengar. Saya bukan pekak, tetapi saya lihat adik-adik ipar saya faham walaupun tak dengar suara ibunya.

“Pernah juga saya cuba berbual dengan mentua saya, tetapi dia tak mahu jawab. Saya benar-benar tak faham, apa masalahnya, adakah kerana saya bersuara agak kuat sikit, atau dia tak faham bahasa, rasanya nada saya taklah kuat, mungkin mereka tak suka.

“Pernah juga saya cuba ubah nada percakapan saya, dia cuma pandang, tapi tak jawab juga. Akhirnya saya mengalah, memang saya tak boleh berbual dengan keluarga ini terutama mentua saya, jadi untuk memudahkan hubungan kami, saya hanya akan bercakap dengan adik ipar saya atau dengan suami Jay apabila saya ingin bertanyakan sesuatu, jika tak perlu – baik saya diam.

“Paling saya hairan bila mereka berbual panjang anak beranak, dan saya datang duduk sama ingin mendengar perbualan dan memahami gaya bahasa mereka, biasanya mentua saya terus diam. Macamkan mereka sedang berbual sesuatu rahsia, bila saya hadir, maka perbualan itu terhenti begitu sahaja.

“Kalau sekali dua keadaan seperti itu saya mungkin boleh faham, mereka tak ada modal nak berbual lagi. Tetapi kalau memanjang saya datang dan mereka berhenti berbual, tentu saya rasa hairan. Dan tak salah kalau saya katakan mereka bercakap perkara rahsia. Saya datang bukan nak dengar rahsia mereka, tetapi cuba memahami gaya bahasa mereka. Tak salahkan?

“Tetapi satu lagi perangai mentua saya, suka panggil Jay keluar bilik dan mengajaknya pergi kedai atau ke rumah saudara mereka pada waktu malam, ini memang saya tak faham.

“Bayangkan, kami masuk bilik selepas jam 10 malam, lepas 20 minit kemudian adik Jay akan ketuk pintu dan Jay akan beritahu saya, dia nak ke kedai beli teponglah, gula dan entah apa-apa barang lagi. Ataupun Jay beritahu emaknya ajak ke rumah saudara sekejap. Alasannya esok saudaranya akan ke KL tak jumpa lagi. Soalnya kenapa tak pergi jumpa pada siang hari, kenapa tunggu sampai malam hari baru nak bertandang ke rumah orang. Ini saya tak faham. Dan mengapa tak ajak saya ikut sama kalau ke rumah saudara mereka?

“Pernah juga adiknya ajak makan di luar, kenapa malam baru keluar, mungkin kedai dah tutup. Tetapi mereka tetap keluar dan balik entah jam berapa saya pun tak tahu. Apa yang pasti saya syak mereka berbual dan tak mahu saya dengar perbualan mereka.

Teringin

“Saya pernah sound pada suami kalau nak keluar makan ajaklah saya sama, atau keluar lebih awal lagi, mengapa dah malam baru nak keluar. Pekan mereka bukan macam KL, 24 jam ada kedai masih dibuka lagi dan manusia tak tidur. Tapi Jay kata apa salahnya dia bawa adiknya makan di luar sekali sekala. Kerana emaknya ada bersama menemani mereka. Dan Jay beri alasan, biarlah saya tidur sebab letih.

“Kalau ajak Jay pergi pasar pun saya tak pernah diajak sama. Alasan Jay biar saya bantu adik siapkan benda-benda nak masak. Pada saya bukan susah sangat kalau setakat buang kulit bawang merah, bawang putih dan halia. Sedangkan untuk ke pasar Jay minta duit saya sebab duitnya dah habis. Sebenarnya saya teringin juga keluar ke pekan. Tapi tak dibenarkan.

“Saya mula terasa hati dengar sikap mentua saya ini ketika awal perkahwinan kami lagi, sebab apa yang saya masak dia tak sentuh, awalnya saya fikir mungkin tak ikut seleranya, tetapi kalau sepanjang tahun perangainya tak berubah, saya terasa pelik juga.

“Terasa lebih pelik bila Jay tak mahu ikut saya balik kampung selepas setahun kami berkahwin, macam-macam Jay beri alasan. Setahun lepas kahwin saya hamil, mentua saya macam orang meroyan bila tahu saya mengandung. Kalau datang rumah saya dia tak senang duduk, kejap ajak Jay ke rumah anaknya di Serdang, sekejap di PJ, tapi tak lama, lepas makan dia balik.

“Di rumah saya mereka tak suka saya sediakan makanan, mereka nak masak sendiri. Tetapi masalahnya bila mereka memasak, ruang dapur saya berselerak macam kapal pecah. Dapur tempat masak berkecah tak dibersihkan, bahan masakan bersepah tak disimpan di tempat asalnya. Pinggan mangkuk lepas makan bertimbun dalam sinki tidak bercuci. Anak dara ada tapi mereka tak mahu tolong cuci pinggan.

“Saya terpaksa bersihkan dapur sendiri. Saya dah lali dengan kerenah mereka setiap kali datang ke rumah kami. Nak mengamuk fikir mentua, terpaksalah telan dan simpan dalam hati. Hujung minggu mereka ke rumah anak menantu yang lain pulak. Jay hantarkan. Keluar pagi malam baru balik. Kadang-kadang mentua tidur semalam di rumah menantu biasanya tidak bermalam langsung.

“Saya pernah beberapa kali ikut Jay ke rumah biras. Tetapi saya dapat tahu mentua saya tak berani ke dapur, semua makan minum disediakan di meja, mereka makan selepas itu duduk di ruang tamu berbual atau berbaring di bilik yang disediakan. Begitulah halnya bila waktu makan tengah hari atau malam, tak seorang pun ahli keluarga mentua membantu di dapur.

“Saya fikir mungkin kerana menantu mereka ada pembantu rumah. Bila saya tanya pada ipar mengapa mentua tak ke dapur. Ipar beritahu dia tak izinkan. Sebab mereka bukan membantu, sebaliknya lebih banyak buat sepah yang menyusahkan mereka berkemas.

“Contoh lepas kisar cili, pengisarnya dibiarkan di lantai, ubi kentang bercampur bawang, di letak dalam bekas yang sama. Begitu juga sayur terbiar atas meja dari pagi sampai petang.

“Kata ipar ini lagi, dulu dia pun tak ada pembantu, tapi selepas beranak-pinak dia cari pembantu. Sejak itu dia tak benarkan mereka ke dapur lagi. Pernah mentua tak mahu makan sebab nak masak sendiri, dia tak peduli. Bila lapar nanti mereka akan makan juga.

“Nak ajak anaknya makan di luar anaknya pulak baru berhenti kerja, jadi mereka terpaksa diamkan diri. Kata kakak ipar lagi, dia berterus terang dengan mentua menceritakan dia terpaksa berjimat sementara suaminya dapat kerja, tak boleh makan luar lagi. Terdiam mereka.

“Bila saya ceritakan masalah saya, kakak ipar kata dia boleh ramal itulah perangai mentua kami. Sebab kami menantu bukan pilihan, mentua kami suka menantu senegeri dengan mereka. Satu bahasa, satu gaya hidup. Tapi saya bukan seperti kakak ipar, dia berani terus terang dan tak peduli kalau mentua tak sukakan dia.

“Masalah saya hingga dah beranak satu pun masih takut bersuara, dan selalu membawa diri bila mereka berkumpul dan berbual anak-beranak. Oleh sebab rumah menantu lain mentua saya tak berapa berkenan, maka rumah sayalah jadi sarang mereka berkumpul dan bercerita. Nak ambil pembantu rumah saya tak mampu, jadi saya biarkan aja rumah bersepah ikut suka mereka.

“Saya kemas rumah setelah mereka balik. Jika tidak bilik jadi kubu saya bersama anak yang masih kecil, saya tak tahu sampai bila saya boleh jadi seperti ini. Namun saya senang hati, saya tak perlu masak ketika mereka ada di rumah. Dan saya tidak akan keluar duit belanja pasar, biarlah Jay uruskan keluarganya sehingga dia sendiri jemu satu hari nanti.

“Saya dapat rasakan ibu Jay memang tak sukakan saya dan sentiasa menghasut Jay supaya berkahwin dengan gadis pilihannya dari negerinya. Dengan perangai mentua suka campur tangan dalam rumah tangga dan anak menantu, saya rasa tak hairanlah ramai ibu-ibu muda hari ini bencikan mentua hingga membawa perceraian.’’

Itu cerita Hani tentang perangai mentuanya, kerana itu dia amalkan falsafah duit dia hanya untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu melabur wang untuk memikat hati mentuanya. Padanya itu satu pembaziran kerana kalau buat baik macam mana pun mentua tetap tidak sukakan dirinya.