Malah kalau sudah berpuluh tahun berkahwin pun, masih ada yang dilanda masalah. Sebab salah seorang bermain kayu tiga dan melanggar janji untuk setia sampai ke hujung nyawa.

Tidak dinafikan, teknologi dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batasan turut memainkan peranan berlakunya masalah dalam rumah tangga.

Telefon antara penyebab utama berlaku pergaduhan antara suami isteri pada masa ini. Berdering di tengah malam, mesej masuk, dan sikap suami yang keluar dari bilik menjawab telefon turut mengundang rasa cemburu isteri.

Apa kata kita ikuti kisah minggu ini, kiriman Tini (bukan nama sebenar) untuk dikongsi dengan pembaca. Kata Tini, anda fikirlah sendiri setelah membacanya. Perlukah saya cemburu, marah atau mengambil keputusan drastik untuk berpisah?

Ini ceritanya.

“Saya berusia awal 40-an, bekerja di sebuah syarikat insurans. Mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan dengan seorang lelaki yang sangat aktif dengan kerja kebajikan dan politik.

“Pendek kata hidupnya bukan untuk rumah tangga, saya dan anak-anak tetapi untuk dirinya dan keseronokannya bergiat aktif dalam politik dan kerja kebajikannya.

“Saya pula tidak ada masa untuk semua itu walaupun di pejabat, saya aktif dalam sukan dan kerja sosial. Tapi setakat pejabat sahaja tidak lebih dari itu. Tumpuan saya kepada rumah tangga dan anak-anak.

“Suami kerap out station, ke luar negara atas urusan kerja, katanya. Dan tentunya bukan berseorangan, mesti ada teman, termasuk wanita.

“Saya bukan isteri yang kaki cemburu, jauh sekali nak halang suami dengan kesibukan luar biasanya itu. Saya tidak pernah tanya ke mana dia hendak pergi, dengan siapa dan bila balik. Sebab saya tahu, kalau ditanya, akan bertukar jadi pertengkaran.

“Saya biarkan sahaja. Tapi saya tahu setiap pergerakannya tanpa perlu saya selidik. Dalam banyak perkara, sikap suami yang begini bukan buat saya cemburu atau marah tetapi meluat.

“Mana tidaknya, kalau tengah malam telefon berdering, berselang seli dengan mesej yang masuk. Bingit telinga kita dibuatnya. Nak tidur pun tak senang.

“Suami pula bila bunyi telefon, kalutnya menjadi-jadi, macam lipas kudung. Duduk tak senang. Gelisah pandang kita. Mahu tak mahu, kalau kita tidak berganjak dari bilik tidur, dia yang akan keluar.

“Telefon tentunya tak tinggal. Berjam-jam bercakap sambil berembun di luar rumah, kononnya tak ada line, liputan dalam rumah tak elok, pada hal takut kita dengar perbualan mereka.

“Siap bersayang sayang lagi, ketawa manja-manja. Sekejap dengar suara, sekejap perlahan. Macam budak umur 17 tahun bercinta. Nak berlakon depan kita. Macam kita budak kecil.

“Isteri sekarang bukan macam dahulu, jadi orang bodoh, duduk rumah menangis kalau dapat tahu suami ada perempuan lain. Keadaan sudah berubah, isteri boleh buat suami merana jika dia hilang sabar.

“Malah mereka boleh terima jika suami buat hal. Sebab kalau tidak boleh terima, dia orang bukan peduli pun, bukan ada perasaan belas kasihan dan sayangkan isteri dan rumah tangga. Cari silap isteri adalah. Semua isteri buat serba tak kena.

“Kita sebagai isteri kena sabar dan tabah, kalau larat bertahan, jika tidak, buatlah keputusan. Jangan biar diri dipermainkan lelaki sampai ke akhir hayat. Ada peluang selamatkan diri.

“Saya juga tidak kisah dengan apa yang suami hendak buat.

Bukan saya tidak tahu dia ada perempuan lain, berkepit 24 jam ke hulu ke hilir, alasan mesyuarat dan perjumpaan. Sibuk mengalahkan wakil rakyat, pada hal jadi tukang meriahkan majlis sahaja.

“Saya pelik dengan wanita sekarang, tidak ada perasaan malu langsung. Tidak kira suami orang, tunang orang ke, ada peluang himpit, mereka akan himpit. Sanggup hilang maruah, asal seronok.

“Saya hendak tanya, wanita jenis apa yang sanggup telefon suami orang malam buta, dan bercakap selama berjam-jam, sedangkan dia tahu isteri orang itu ada di dalam rumah.

“Agaknya mereka tidak ada kerja hendak buat di rumah. Maklumlah makan di hotel dan restoran mewah selalu. Duit tentu penuh dompet. Rezeki mesti melimpah ruah.

“Kalau wanita yang ada budi bahasa dan pandai menjaga akhlaknya tentu tidak berbuat demikian, hormatkan isteri orang dan telefon hanya di siang hari, bila perlu.

“Saya berpesan kepada wanita yang suka kacau suami orang di tengah malam supaya ubahlah perangai, jaga maruah sebagai perempuan dan hormatilah hak wanita lain.

“Ingat, hari ini kita susahkan hidup orang, satu hari nanti orang pula akan susahkan hidup kita. Dunia ini berputar, tidak mustahil satu hari nanti, anda menerima balasannya pula. Sebelum terlambat, muhasabah diri, pilih mana baik dan mana buruk. ” kata Tini menamatkan ceritanya.

Saya angkat tabik dengan kejujuran Tini dalam menangani masalah rumah tangganya. Tidak nampak rasa marah atau cemburu. Nampaknya Tini seorang wanita yang fokus dan ada pendirian.

Mudah-mudahan rumah tangga Tini kembali pulih dan terhindar dari segala kesulitan. Semoga Allah berkati hidup Tini dan anak-anaknya. Jika anda ada cerita yang hendak dikongsi, sila emel kepada saya.

Menutup catatan, pesanan saya, berubah itu mudah, tapi untuk mengekalkan perubahan yang dibuat itu, mungkin payah.

Salam