Kita ikuti kisah ini, kisah kehebatan cinta dua insan seperti mana diceritakan oleh empunya cerita Akma (bukan nama sebenar). Begini kisahnya.

“Saya berusia 50 tahun masih bekerja sebagai pegawai akaun di sebuah syarikat swasta di utara tanah air. Saya masih bujang tidak berkahwin setelah berpisah dengan kekasih lebih 20 tahun.

“Bekas kekasih, Zafrin (bukan nama sebenar) seusia saya. 
Kami sekampung, sama-sama belajar dari sekolah rendah hingga sekolah menengah sebelum masing-masing membawa haluan sendiri 
setelah tamat peperiksaan MCE kini Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya jatuh cinta dengan Zafrin sejak remaja lagi, semasa kami di tingkatan 3, begitu 
juga dengan dia. Cinta saya berbalas, tetapi kami tidak tunjuk kepada orang hubungan kami. Kawan-kawan rapat 
sahaja yang tahu.

“Zafrin pelajar cemerlang di sekolah. Dia lulus cemerlang di dalam peperiksaan MCE sementara saya hanya lulus biasa. Kejayaannya memang telah saya jangka. Dia pelajar harapan sekolah. Disebabkan kejayaan cemerlangnya itu, Zafrin mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di luar negara selama lima tahun.

“Saya tambah yakin dengan hubungan kami apabila Zafrin sendiri berjanji tidak akan tinggalkan saya dan akan kembali untuk melamar saya. Tetapi 
janji manusia tidak sama 
dengan janji Allah. Setahun di sana, saya terima surat Zafrin minta putus hubungan kerana dia ada orang lain yang sama-sama belajar di sana.

“Bayangkan perasaan saya ketika itu. Sedih sangat-sangat. Tetapi saya simpan sendiri, tidak siapa tahu yang saya dan Zafrin telah putus cinta. Saya buat macam biasa walaupun keluarganya rapat dengan keluarga saya dan selalu bercerita tentang kejayaan anak mereka di luar negara.

“Saya lalui hidup dengan tabah. Syukur saya juga dapat tawaran ke universiti. Kurang sikit beban fikiran saya memikirkan cinta yang patah di tengah jalan. Soal jodoh saya tutup rapat rapat dalam hati.

“Dua tahun di luar negara Zafrin balik kampung sekali gus melangsungkan pernikahannya dengan gadis dari Pantai Timur. Saya tidak pergi ke majlis kahwinnya.

“Selepas itu saya tidak ambil tahu lagi tentang dia. Saya pula selepas itu dapat kerja di utara juga, jauh dari kampung. Saya tidak mahu bertembung dengan Zafrin andainya dia balik kampung bersama isterinya.

“Allah perkenankan permintaan saya. Kami tidak berjumpa lagi selepas itu. Sehinggalah 20 tahun kemudian. Awal tahun ini, saya berjumpa dengan dia di masjid. Terkejut saya apabila dia menegur. 
Dada saya berdebar-debar. 
Sebak pun ada.

“Akan tetapi saya tidak melayan sangat sebab takut dikata orang kampung. Lagipun saya semakin tua, malu kalau orang kampung nampak. Saya cuba kawal perasaan walau hati teringin sangat hendak berbual dengannya. Peliknya saya tidak nampak pula isteri atau anak-anaknya. Mungkin mereka di rumah.

“Sebelah petangnya, dia muncul di rumah saya. Ayah sambut dia dengan mesra sekali. Begitu juga mak. Saya tidak keluar bilik sebab saya tidak mahu menangis di hadapan 
mak dan ayah. Setelah dia balik mak dan ayah panggil saya. Macam-macam ayah tanya 
saya tentang Zafrin. Saya hanya jawab yang perlu sahaja.

“Baru saya tahu cerita yang dia telah kematian isterinya kira-kira tiga tahun lalu sebab sakit kanser. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata berusia antara 15 dan 18 tahun. Kedua-duanya sedang menuntut 
di luar negara, bijak macam ayahnya juga.

“Tujuan dia datang bertemu ayah dan mak untuk melamar saya menjadi isterinya. Satu berita yang sangat mengejutkan saya. Tidak pernah saya duga perkara ini akan berlaku dalam hidup saya tetapi Allah telah menyusunnya dengan begitu baik sekali.

“Ayah menunggu kata putus saya untuk memberinya 
keizinan melamar saya. Dia terkejut apabila ibu dan 
bapanya beritahu yang saya masih belum berkahwin. Dia merasa bersalah kerana meninggalkan saya dahulu. “Saya minta izin ayah untuk berjumpa Zafrin dan mendengar sendiri dari mulutnya. Zafrin minta tempoh untuk menunggu kepulangan anak anaknya untuk bercuti. Dia mahu anak-anaknya kenal saya dahulu sebelum kami bernikah. Saya merasa sangat tenang. Teringat balik masa 
kami sama-sama menunggang basikal untuk ke sekolah, bermain di padang sebelah petang dengan kawan-kawan.

“Dua minggu selepas itu kami berjumpa. Dia kenalkan anak-anaknya kepada saya. Mereka sangat peramah dan nampak sangat sopan. Zafrin kenalkan saya sebagai ibu baharu mereka pun mereka senyum. Mungkin dia sudah ceritakan hal saya kepada mereka.

“Lega hati saya. Urusan melamar dilaksanakan seminggu kemudian. Ayah dan mak Zafrin sendiri yang datang meminang saya. Dan dua minggu selepas 
itu kami disatukan dalam satu majlis sederhana tapi meriah, dihadiri kawan-kawan sekampung, rakan sekolah dan saudara mara. Heboh satu kampung bila saya kahwin dengan Zafrin. Kisah cinta kami rupanya ramai yang tahu. Saya tersenyum memikirkan cerita lama ini walaupun malu masih ada.

“Saya behenti kerja atas permintaan Zafrin. Saya mahu memberi sepenuh perhatian kepada rumah tangga kami. Anak-anaknya walaupun jauh sentiasa bertanya khabar saya. Sayang saya kepada mereka semakin mekar dari hari ke hari. Malah inilah kebahagiaan yang saya dambakan. Syukur kepada Allah.

“Perkahwinan kami ini saya anggap jodoh dan takdir Allah. Saya terima kata maaf dari 
Zafrin kerana memutuskan hubungan kami dahulu. 
Saya tidak mahu ungkit 
kisah lama. Saya mau fokus dengan kehidupan kami sekarang. Semoga rumah 
tangga saya kekal hingga ke jannah.

“Terima kasih abang, sudi memperisterikan saya. Impian saya Allah makbulkan walaupun setelah 20 tahun kita terpisah,” kata Akma menamatkan ceritanya.

Menarik kisah cinta Akma 
dan Zafrin. Hanya mereka 
yang tahu perasaan itu. Saya pasti ramai lagi yang mengalami kisah cinta seperti ini. 
Hebatnya aturan Allah 
untuk dua insan ini. Semoga rumah tangga mereka bahagia dan sentiasa di di dalam ramat rahmat dan kasih sayang Allah. Saya bangga dengan kesabaran Akma.

Menamatkan catatan, pesanan saya, setiap kepayahan akan berakhir dengan kebahagiaan andai diterima dengan redha 
dan penuh kesabaran di 
awalnya. Jaga Allah dan Allah akan jaga kita.

Salam

Normala Hamzah

[email protected]